Thursday, July 3, 2008

Apabila Ketaatan Terhadap Allah Mengatasi Segala-galanya..


Dengan nama Allah yang Maha pemurah & Maha mengasihani. Segala pujian hanya berhak bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat & salam keatas Nabi Muhammad s.a.w, keatas keluarga & para sahabatnya serta sekalian yang mengikuti mereka itu hingga ke akhir zaman.

Tergerak di hati ini untuk memberi sedikit ulasan tentang jawapan saudara Halim kepada bekas muslimat pondok Pasir Tumboh tempoh hari. Mudah-mudahan dapat memberi manfaat untuk kita semua, aamin…

Terlebih dahulu saya memperkenalkan diri ini kerana Ibnu Sirrin pernah bermadah: ان هذاالعلم دين فانظروا عن من تأخذون دينكم " "
bererti: "Sesungguhnya ilmu ini (ilmu tentang agama) tidak lain melainkan ianya adalah agama itu sendiri. Maka perhatikanlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu."

Saya berasal daripada Kota Bharu Kelantan. Pernah mempelajari ilmu agama di pondok Falahiyah Jertih, lebih kurang selama 5 tahun. Seterusnya, di pondok Pasir Tumboh Kota Bharu, semenjak tahun 1996 hingga sekarang masih lagi di situ. Saya merupakan seorang pelajar & salah seorang daripada tenaga pengajar pondok Pasir Tumboh. Juga merupakan guru kepada saudara Halim.

Tujuan saya susunkan ungkapan-ungkapan ini adalah semata-mata untuk menjelaskan persoalan “ Adakah pengesyoran yang diutarakan oleh saudara Halim itu tepat??” Iaitu jangan diendahkan suruhan ibu bapa kepada kawan bekas muslimat tersebut supaya meneruskan pengajiannya di Universiti dimana mereka melarang hasratnya untuk belajar agama di pondok. Saudara Halim menguatkan pengesyorannya itu dengan sabda Nabi yang bermaksud:”Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta (Allah).”

Oleh itu, saya cuba membuat penilaian dari dua aspek, iaitu pencampuran di antara pelajar-pelajar lelaki & perempuan IPT dan ilmu asas fardu ain.

PENCAMPURAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN

Telah maklum diketahui umum bahawa menyatukan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam institusi pengajian, sama ada dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi adalah kebiasaan yang menular di Negara kita ini. Tambah pula segala aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran & kokurikulum pun sedemikian jua. Lebih-lebih teruk lagi, Asrama lelaki & perempuan berdekatan tanpa ada apa-apa penghadang. Cerita-cerita yang saya dengar sendiri daripada murid-murid saya dari kalangan pelajar-pelajar universiti tempatan dalam aliran agama bahawa mereka menyatakan perkara yang tidak enak didengari apabila kita timbangkan dengan neraca syariat.

Pelajar-pelajar jurusan agama ini menyatakan bahawa menjadi kebiasaan pelajar-pelajar membuat hubungan istimewa sesama mereka. Ini kerana, bila setiap hari melihat pelajar perempuan di dalam satu kelas atau pelajar perempuan yang lain pada sesuatu tempat dalam kampus.

Lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang mempunyai rupa paras menawan, menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Sehinggakan ada yang mengirim bunga untuk menawan hati sigadis jelita tersebut. Perhubungan begitu mudah, dengan telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam misi menakluki hati pelajar yang diminati serta sebagai alat yang dapat melayan perasaan pasangan-pasangan yang bercinta ini. Terdapat juga pelajar yang menjalin hubungan ‘istimewa’ dengan pensyarah muda yang memiliki rupa, yang baru menjawat tugas sebagai seorang pensyarah. Dalam kelas menghormatinya sebagai pendidik, dalam telefon bimbit dijadikannya sebagai seorang kekasih yang dirindui.

Lebih parah lagi ada yang berdating sambil berpegangan tangan dan terdapat kes ditangkap berdua-duaan dalam tandas. MasyaAllah!! Na’uuzibillah min zalik! Bukanlah semata-mata saya membongkar perkara-perkara aib sedemikian untuk melekeh & mencela. Saya terpaksa berbuat demikian, hanyalah bertujuan menyatakan hukum syariat tentang pencampuran pelajar lelaki & perempuan. Harap maaf!!! ‘Perkara yang baik dijadikan teladan dan perkara yang buruk dijadikan sempadan.’Inilah realiti yang berlaku serta diakui sendiri oleh pelajar-pelajar IPT, baik dari aliran agama mahupun aliran biasa (lebih parah). Ini kerana, jawapan yang saya terima adalah sama di kalangan pelajar IPT yakni pencampuran pelajar lelaki-perempuan itu membawa kepada elemen-elemen yang tidak baik.Terdapat juga pelajar lelaki menyusup masuk ke dalam bilik pelajar perempuan dan sebaliknya.

Kenapakah perkara ini tidak boleh berlaku? sedangkan semenjak dari kecil lagi muda-mudi kita dikotori fikiran mereka itu dengan tunjuk ajar yang negatif di sisi agama oleh syaitan yang besar iaitu TV & seumpamanya melalui rancangan-rancangan & filem-filem yang dipertontonkan. Didikan buruk yang menyalahi dengan syara’ yang terdapat di dalamnya seperti budaya berasyik-asyik dalam percintaan, adengan-adengan pergaulan bebas yang terbabas daripada batasan-batasan agama Allah Taala. Tidak kurang juga didikan membuka aurat dengan berpakaian yang ketat, singkat & menyingkap segala yang sepatutnya ditutup. Sehingga maruah harga diri seorang muslimat tidak kelihatan lagi melainkan dilihat seperti ciri-ciri perempuan orang kafir yang seperti binatang, bebas tanpa ikatan agama. Begitu juga dengan bahan-bahan cetak yang memainkan peranan penting dalam merosakkan moral muda-mudi kita.

Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya(zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri.
Allah Taala melarang keras hambanya melakukan muqadimah zina dan zina itu sendiri dalam firmanNya, yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina!”(surah al Israa:32)

Imam Ibnu Kastir menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsir beliau dengan katanya: “Allah Taala berfirman(dengan ayat ini) yang mana Ia melarang hambaNya daripada melakukan zina, menghampiri zina, melakukan sebab-sebab kearah zina serta segala perkara yang boleh membawa kepada penzinaan.”

Tersebut dalam kitab Hasyiah Futuhat ilahiyah pada menerangkan ayat ini: “Kerana ayat ini memberi pergertian larangan daripada melakukan muqadimah zina seperti bersentuhan, bercium, melihat(lelaki pandang kepada perempuan atau perempuan melihat kepada lelaki)…”

Firman Allah Taala, yang bermaksud: “Katakan kepada kaum muslimin, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka(daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah Annur:30)

FirmanNya lagi, yang bererti: “Katakanlah kepada kaum muslimat, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka(daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah Annur:31)

Al-Hafiz Ibnu Qayim Aljauziah menyatakan dalam kitab Addaa Wa ddawaa’ m/s 163,bahawa ‘pandangan’ merupakan salah satu daripada punca-punca kemasukkan maksiat pada hamba Allah. Beliau menerangkan hal tersebut dengan katanya: “Adapun pandangan-pandangan itu ianya menarik kepada syahwat & utusannya (syahwat). Kawalan pandangan ialah asas bagi penjagaan alat kelamin (daripada melakukan perkara haram), maka sesiapa melepaskan pandangannya tanpa kawalan nescaya ia meletakkan dirinya ke tempat kebinasaan-kebinasaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, bermaksud: “Janganlah engkau ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya tidak mengapa bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak harus(haram) bagi engkau pandangan kali kedua.”

Ibnu Qayim menjelaskan lagi: “Pandangan itu asal kebanyakkan terjadinya bala bencana yang menimpa manusia. Ini kerana, ianya mendatangkan lintasan, seterusnya lintasan itu mendatangkan ingatan, seterusnya ingatan itu menerbitkan syahwat, seterusnya syahwat menerbitkan keinginan yang kuat maka jadilah azam yang teguh, lantas berlakulah perbuatan(zina) selagi tiada sesuatu yang menghalangnya. Kerana inilah, dimadahkan “Sabar pada memejam mata (tiada melihat perkara haram) ialah terlebih mudah daripada sabar terhadap kesakitan yang akan terjadi selepasnya…”

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban & Ishak bin Rahawaih daripada Asmaa binti Yazid, yang bermaksud: “Bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan…” Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan hadis ini adalah hadis hasan.

Hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani).Al-Hafiz Ibnu Hajar membilang hadis ini sebagai hadis hasan.

Membuat hubungan percintaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah terlebih dahulu adalah haram. Allah Taala melarang hambaNya daripada apa bentuk perkara, sama ada dengan melihat ,membuat hubungan, menyentuh dan lain-lain yang merupakan habuan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. Membuat hubungan intim hingga asyik dalam percintaan adalah merupakan muqadimah zina. Keasyikkan dan mabuk di alam percintaan ini membawa kekancah yang terlebih keji.

Ibnu Qayim menyatakan bahawa keasyikkan cinta pada sesuatu itu tidak dapat memberi kemaslahatan kepada dunia dan akhirat bahkan kemudaratannya bersangatan.
Beliau menerangkan di antara beberapa sebab keburukan yang terjadi daripada keasyikkan itu, dengan katanya: “Bahawa kerosakkan segi keduniaan dan keakhiratan bagi orang-orang yang asyik mabuk dengan sesuatu itu (asyik percintaan lelaki dengan perempuan atau asyik mabuk dengan perkara maksiat) terlebih cepat daripada api menghanguskan kayu yang kering. Ini adalah kerana hati itu, setiap kali ia berdekatan dengan keasyikkan dan kuat perhubungan dengannya necaya jauhlah ia daripada Allah. Sejauh-jauh hati daripada Allah adalah hati orang-orang yang asyik dengan sesuatu. Apabila hati itu jauh daripada Allah, maka datanglah kepadanya kerosakkan-kerosakkan dan Syaitan mengambil alih memerintah hati tersebut dari segenap segi serta dapat mengerasinya. Syaitan tidak akan membiarkan dengan memberi kemudharatan yang semungkin ia dapat berikan kepada hati itu melainkan ia lakukannya. Maka apakah lagi diandaikan pada hati yang telah dapat musuhnya menguasainya dan bersungguh-sungguh menyesatkan dan membinasakan makhluk Allah?? Apakah yang dapat diandaikan pada hati yang jauh daripada penjaganya(Allah) sedangkan tiada ada kebahagiaan, kejayaan& kegembiraan melainkan dengan menghampiriNya serta di dalam penjagaanNya??

Disebabkan keasyikkan inilah, mereka sanggup merelakan & melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Syariat sepertimana keasyikkan cinta Zulaikha yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, membuat ia bertindak di luar batasan.
Firman Allah,bermaksud: “Zulaikha memujuk-mujuk Yusuf untuk melakukan perbuatan sumbang ketikamana Yusuf di dalam biliknya (Zulaikha) & ia mengunci pintu biliknya itu, seterusnya berkata kepada Yusuf: “Kemarilah padaku…”(Yusuf:23). Ini adalah disebabkan keasyikkan cintanya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf. FirmanNya Taala yang menceritakan perbualan perempuan-perempuan di Bandar Mesir terhadap Zulaikha, bermaksud: “…sesungguhnya Zulaikha itu terlalu asyik mencintai hambanya (Yusuf)…”(Yusuf:30).

Bertitik mulai daripada percampuran lelaki dengan perempuan itulah yang membawa kepada muqadimah-muqadimah zina yang lain seperti melihat, membuat hubungan,bersentuhan dan lain-lain serta boleh membawa kearah penzinaan itu sendiri. Kerana inilah, Allah Taala melarang hambaNya daripada pencampuran antara lelaki dengan perempuan melalui penurunan ‘Ayat Hijab’.
FirmanNya,bererti: “ Apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka itu(isteri-isteri Nabi),maka pintalah kepada mereka melalui belakang tabir (penghadang). Demikian itu, terlebih membaiki & membersihkan hati kamu & hati mereka (isteri-isteri Nabi).” (AlAhzab:53).

Imam Qurtubi berkata: “Allah Taala menghendaki dengan ayat ini bahawa (meminta melalui belakang tabir) terlebih membersihkan hati daripada segala lintasan yang tidak baik,yang mendatangi bagi kaum lelaki pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita & yang mendatangi bagi kaum wanita pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum lelaki. Yakni, demikian itu terlebih menafi & menjauhkan daripada tomahan serta terlebih teguh pada kawalan(daripada berlaku perkara yang ditegah)…”

Ayat Hijab ini umum hukumnya bagi sekalian Muslimat,bukan hanya untuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Ini kerana, apabila golongan sebaik-baik umat iaitu para sahabat & isteri-isteri baginda disyarakan hijab penghadang antara mereka maka umat yang terkemudian, yang mana kemungkaran berleluasan terlebih utama lagi dengan hukum ini. Lebih-lebih lagi,telah diyakini dengan secara umum bahawa berlakunya muqadimah zina & seterusnya penzinaan,apabila tiada mengasingkan antara lelaki dengan perempuan seperti yang berlaku di insitusi-insitusi pengajian.

Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ayat Hijab ini umum hukumnya, dengan katanya: “Pada ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Taala membenarkan meminta kepada isteri-isteri Nabi s.a.w disebalik tabir, apabila terdapat sesuatu hajat atau pun masalah agama yang diminta fatwa daripada isteri-isteri baginda. Termasuklah sekalian perempuan (tidak hanya isteri-isteri Nabi) dalam hukum sedemikian dengan pergertian yang difahami daripada ayat tersebut&juga dengan apa yang terdapat di dalamnya asas-asas syariat iaitu dari segi diri wanita itu adalah aurat, sama ada badannya&suaranya(di sisi mazhab Syafie: suaranya aurat jika seseorang lelaki terasa enak apabila mendengarnya)…”

Sebagai menguatkan bahawa ayat Hijab ini bersifat umum,terdapat di antara beberapa riwayat hadis tentang sebab turunnya ayat ini, riwayat yang menunjukkan bahawa pencampuran itu membawa kepada perkara-perkara yang tidak elok. Hadis yang dikeluarkan oleh Nasaie daripada Mujahid seterusnya daripada Aisyah,yang bererti: “Adalah aku makan ‘Haisan’(bubur yang dibuat daripada tamar,minyak sapi&gandum) bersama Nabi s.a.w di dalam satu mangkuk maka Umar melewati kami lalu baginda menjemputnya&ia pun makan bersama.Kemudian,tersentuh tangan Umar dengan tanganku lantas ia berkata: “Bagus-bagus!!” atau “Wah-wah!!”(nada tidak menyukai).Umar menambah lagi: “Jika diikutkan kehendakku terhadap isteri-isteri Nabi ini, aku harap mereka tidak dilihat oleh mata manusia, lalu diturunkan ayat Hijab.”

Nabi s.a.w mengambil perhatian serius dan memberi penekanan yang berat terhadap percampuran tersebut sehinggakan kelibat kaum Hawa ini pun,baginda tidak membenarkannya.Ini sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari daripada sanadnya yang berhubung kepada Az-Zuhri daripada Hindun Bt. Haris seterusnya daripada Ummu Salamah r.dh anha,berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w,apabila memberi salam(di dalam solat),lalu kaum perempuan bangun berdiri ketika telah selesai salam baginda.Baginda tetap sejenak di tempat duduknya sebelum bangun berdiri.Kata Perawi(Az-Zuhri): “Kami berpendapat(wallahu ‘aklam) perbuatan Nabi tersebut supaya kaum wanita beredar sebelum dapat dilihat oleh seorang pun daripada kaum lelaki.”(Sahih Bukhari: bab solat kaum wanita di belakang kaum lelaki)

Justeru itu, bertepatanlah apa yang dikatakan oleh saudara Halim bersandarkan dengan Hadis Nabi, yang bermaksud : “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta(Allah).” Ini adalah kerana terdapat pencampuran diantara pelajar lelaki dan wanita dalam Universiti yang ternyata merupakan maksiat terhadap Allah. Hanya dengan aspek ini sahaja sudah memadai pada mengingkari arahan ibu bapa muslimat tersebut.


ILMU ASAS FARDHU AIN

Mempelajari ilmu Tauhid yang dikenali dengan sifat 20 adalah diwajibkan bagi setiap individu muslim. Ini adalah disepakati oleh ulama’ Ahli Sunnah Waljama’ah sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar mereka itu. Saya mempunyai beberapa sahabat yang bergelar ustaz, sama ada lepasan dalam negeri mahupun luar negeri. Mereka meminta saya mengajar ilmu sifat 20 kepada mereka, lalu saya memperkenankan. Saya dapati sahabat saya yang bergelar ustaz ini tidak memahami ilmu tersebut dengan pengakuan daripada mereka sendiri. Ini bermakna para ustaz sendiripun tidak terlepas daripada tuntutan ilmu fardhu ain. Saya percaya bahawa ustaz-ustaz yang lain pun sedemikian, jika tidak mempelajari ilmu tauhid tersebut daripada mereka yang betul-betul memahami seperti pelajar lepasan Pondok.

Oleh itu, apatah lagi bagi mereka yang tidak mempelajari ilmu agama, yang mana tempat pengajian mereka tidak dapat memenuhi kewajipan menuntut ilmu fardu ain tersebut. Begitu jugalah sebagaimana yang telah dialami oleh muslimat tersebut. Tindakan beliau keluar daripada Universiti untuk mempelajari ilmu asas fardhu ain adalah bertepatan disebabkan Institusi Pondok yang dapat memenuhi hasratnya untuk menguasai ilmu tersebut.

Maka amat wajarlah bahawa saudara Halim memberi pengesyoran supaya jangan diendahkan suruhan ibu bapa muslimat itu untuk meneruskan pengajiannya di Universiti serta tetap istiqamah dalam hasratnya ke Pondok. Ini disebabkan pengajian Universiti,tidak dapat melepas dirinya daripada tuntutan-tuntutan yang diwajibkan.Ilmu asas Fardhu ain ini jika ditangguh mempelajarinya,membawa kepada sehari-harian dalam berdosa. Ternyatalah benar sebagaimana saudara Halim menyandarkan pengesyorannya melalui sabda Nabi s.a.w,yang bermaksud: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta(Allah).”

Akhir kalam,kebenaran kedua-dua aspek yang saya huraikan itu,diri para pelajar sendiri yang mengalami situasi tersebut dapat menilainya.Saya juga pernah mengalami situasi percampuran antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan,sewaktu di alam persekolahan dahulu.Kita sendirilah yang dapat melihat gejala-gejala yang tidak elok itu berlaku. Begitu jua mengenai ilmu asas fardhu ain, yang mana mereka yang bergelar ustaz itulah sendiri yang menilaikannya, dengan secara insaf.
Firman Allah,bermaksud: “ Bahkan! Manusia itu sendiri menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri,sekalipun ia mengutarakan dalihan-dalihan penafian.”(surah Al-Qiyamah:16)

Lantaran itu, kembalilah! kearah Tuhan Rabul ‘izzah,Tuhan semesta alam, yang mencipta serta mentadbirkan kita dengan sifat rahmanNya,dengan membaiki segala kesilapan, kealpaan dan kegelinciran kita yang tersimpang jauh daripada landasan SyariatNya…

Hendaklah kita berpegang teguh dengan syariat Allah, walau apa jua keadaan sekalipun.Contohilah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang meninggalkan kemewahan dan pangkat kedudukan demi menyelamatkan agama mereka daripada tekanan pemerintah&pengaruh masyarakat.Sebuah kisah teladan yang diabadikan oleh Allah untuk umat di akhir zaman sebagai suatu gambaran yang luhur mengajar erti pengorbanan terhadap agama apabila keikhlasan hati dalam mentaati Allah mengatasi segala-galanya……

WALLAHU’ALAM….
artikel ini adalah petikan semula utk sama2 berkongsi dgn sahabat2
(rujukan dari ustaz-ustaz lajnah pondok pasir tumbuh)

0 comments:

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all