Sunday, August 30, 2009

30 OGOS 2009 GENAP 25 TAHUN USIAKU….

Alhamdulillah….terlebih dahulu daku bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih lagi memberi peluang kepadaku untuk merasai nikmat Iman dan Islam serta masih memberi ruang kepadaku untuk memperbaiki Iman dan Amal. Alhmdulillah….di bulan yang mulia ini usiaku sudah genap 25 tahun. Namun terdapat persoalan yang selalu bermain di fikiran ini, selama 25 tahun Allah bagi kehidupan ini, sudah banyak manakah aku telah sumbangkan untuk islam. Bagaimana pula hubunganku dengan Allah, adakah semakin hari semakin meningkat atau sebaliknya yang berlaku. Ya Allah….ampunilah dosa-dosaku seandainya selama ini daku banyak lalai dan alpa dengan kehidupan dunia yang sementara ini.

Teringat pula nasihat ayah angkatku tentang kehidupan ini, katanya : zul, sebenarnya mati itu Allah telah tetapkan, cuma kita menanti masa yang ditentukan sahaja. Hari demi hari yang berlalu ini sebenarnya telah dekatkan diri kite untuk kembali pada Allah, cuma kita je tak sedarkan diri, kita sentiasa merasakan umur kita panjang. Lalu kita alpa tanpa membuatkan persediaan yang secukupnya. Bila kembali berjumpa dgn Allah, barulah kita menyesal kerana melihat betapa sikitnya bekalan yang kita bawa. Allah s.w.t sendiri telah menceritakan keadaan ini didalam surah as-sajdah. Beliau telah memberikanku satu zikir yang menjadi azimat buatku bila aku sedih dan berduka, mafhum zikirnya berbunyi Allah tengok aku, Allah bersamaku dan Allah sedang perhatikanku. Semoga Allah memberkati kehidupan Ayah angkatku yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membimbing diri ini kerah jalan yang diredhai Allah.

Justeru aku telah membuat dua fasa untuk diriku yang perlu aku capai, pertamanya fasa kehidupan dan kedua adalah fasa kematian . Untuk fasa kehidupan aku bahagikan kepada 3 bahagian iaitu ilmu pengetahuan, keluarga dan kerjaya. Sementara fasa kematian pula lebih fokus kepada ibadat dan sumbangan kepada masyarakat. Semua ini terkandung didalam master plan kehidupanku. Sebagai mana perancangan kita untuk berjaya didalam pelajaran, Sebagai seorang insan yang bergelar hamba Allah kita juga perlu ada perancangan untuk berjaya di akhirat. Di akhirat nanti kita akan berjaya sekiranya kite termasuk dikalangan ahli syurga, sebaliknya kite akan gagal sekiranya kita dihumban kedalam neraka.

Namun perjalanan untuk ke syurga penuh dengan mehnah dan tribulasi yang terpaksa ditempuhi. Walaubagaimanapun, daku telah nekad utk merempuh sahaja tembok2 yang menjadi penghalang untuk aku memperolehi keredhaan Allah. Biarlah aku mati untuk mempertahankan Islam, asalkan jangan Islam mati disebabkan perbuatanku. Lagipun segala apa yang ada pada diriku bukannya milik aku, sebaliknya ia adalah milik Allah. Apabila sudah tiba masa dan waktunya pasti Allah akan mengambilnya kembali daripadaku. Kadangkala daku semakin resah apabila melihat apa yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini, seolah-olah mereka tidak yakin akan kewujudan Allah s.w.t Sebagai contohnya bala H1N1 pada hari ini, masyarakat cuma nampak Virus tersebut berpunca daripada babi, sebaliknya mereka tidak nampak bahawasanya bala tersebut datang dari Allah s.w.t Daku cukup hairan kenapa manusia begitu takut kepada penyakit daripada pencipta penyakit itu sendiri. Sedangkan penyakit itu langsung tidak boleh memberi manfaat @pun mudarat melainkan dengan keizinan Allah s.w.t. Alangkah baiknya sekiranya ketakutan dalam hati kita itu hanya ada pada Allah.

Astargfirullah......betapa jauhnya keyakinan kami kepadamu yang Allah. Kadangkala daku termenung seorang diri memikirkan adakah daku layak untuk menjadi kekasih Allah, sedang tanggungjawabku sebagai hambaNYA pun belum dilaksanakan dengan sepenuhnya lagi....ya Allah!!! Ampunilah hambaMU yang dhaif ini. Janganlah engkau membiarkan daku keseorangan mengharungi liku-liku kehidupan ini,kerana aku yakin hanya engkau sahaja pembimbing yang terbaik untuk hambaMU ini. Sempena kedatangan bulan yang mulia ini, engkau tarbiyahlah diri hambaMU ini, supaya daku menjadi insan yang bertakwa kepadaMU. Sesungguhnya hanya Engkaulah segala-galanya buatku ya Allah, aku teringin untuk sentiasa bersamaMU....

Sunday, August 23, 2009

Kesilapan Yang Biasa Berlaku di Bulan Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan keperihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Friday, August 21, 2009

RAMADHAN YANG DIRINDUI SUDAH TIBA…..

Bismillahirrahmannirrahim…. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberi peluang kepada diri ini untuk meyambut bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Kedatangannya sentiasa dinantikan, namun pemergiannya membuatkan kita akan menangis untuk berpisah dengannya. Mungkin perasaan ini hanya wujud kepada mereka-mereka yang mencari cinta Allah. Sedangkan ahli maksiat tidak merasa apa-apa dengan kehadiran bulan ini. Bagi mereka mungkin bulan ramadhan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain.

Namun jauh di sudut hati, diriku terasa sebak apabila bulan ramadhan sudah tiba. Ntah mengapa aku pun tidak tau. Mungkin terkenangkan suasana bulan ramdhan yang lepas. Terasa rindu pulak suasana sewaktu aku bersama-sama dengan sahabat dan sahabiyah sama-sama bentang tikar untuk buat persiapan bagi ahli jemaah menunaikan solat sunat tarawikh dan iftar. Setiap petang begitulah rutin kami, bertugas mengikut jadual yang telah disediakan. Apapun aku mengharapkan ramdhan kali ini lebih baik lagi kepada diriku daripada ramdhan yang lepas. Mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah kepadaku dalam bulan ini, supaya daku dapat tingkatkan amal ibadahku, bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran, sebaliknya ingin meraih cinta Allah.

Kadangkala trasa sayu juga memandangkan ramadhan kali ini merupakan ramadhan yang terakhir aku berada di bumi UPSI. Selepas ini ntah dimana pula aku akan dipostingkan. Bagiku tidak kisah kemana sahaja dihantar, asalkan diriku hidup dengan peribadi seorang muslim serta melaksanakan amanah Allah sebagai hamba dan khalifahNYA di muka bumi ini. Insyaallah aku akan sentiasa berpegang teguh dengan prinsip diriku, iaitu ”Biarlah daku mati untuk Islam, asalkan jangan Islam mati disebabkan perbuatanku.”

Wednesday, August 12, 2009

H1N1: Bala atau Kelemahan Saintis?

Sehingga hari ini, saya melihat kerajaan Malaysia mula panik dengan serangan virus H1N1 ini yang telah meragut lebih 20 nyawa. Langkah pencegahan melalui kaedah sains nampaknya tidak berkesan untuk menghalangnya daripada merebak.

Maka, datang pula cadangan untuk mengadakan Solat Hajat besar-besaran di seluruh negara. Walaupun idea ini bukan datang daripada kerajaan, akan tetapi masih kedapatan rakyat yang percaya dan yakin bahawa sains bukan segala-galanya untuk menentang virus ini. Alhamdulillah, ada lagi rakyat yang masih mendambakan sesuatu daripada Sang Pencipta.

Sewaktu mula-mula penyakit menyerang negara ini, ramai yang menuduh dan mengaitkannya dengan babi. Mana tidaknya, apabila nama asalnya “ Virus Selsema Babi” sebelum ditukar dengan nama “Virus Selsema H1N1”.

Mulalah segelintir masyarakat mula menuduh bangsa yang sangat rapat dengan binatang ini iaitu, bangsa Cina. Sungguh menebalnya sifat perkauman di kalangan rakyat Malaysia. Malangnya selepas beberapa ketika, bangsa yang jijik dengan babi, bangsa Melayu, telah diserang dengan virus ini.

Sehingga menyebabkan beberapa kampus UiTM ditutup. Di kampus ini, sah-sahlah dipenuhi dengan bangsa Melayu. Apakah bangsa Melayu hari ini makan babi? Tentunya tidak secara umumnya.

Lantas peristiwa dan keadaan sebegini mula membuatkan saya kembali berfikir, mengapa masyarakat Melayu-Muslim menerima bahana penularan wabak ini? Walaupun tidak ada statistik yang tepat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan penularan wabak ini.

Mungkin untuk mengelak sikap prejudis kepada sesuatu bangsa yang bakal mencetuskan perbalahan kaum. Namun, dengan angka-angka dan kaedah-kaedah mengelak jangkitan yang didedahkan oleh pihak kementerian terbabit, kita dapat membuat sedikit rumusan yang mungkin kurang tepat.

Pertamanya. Virus ini berjangkit melalui udara hasil interaksi manusia seharian. Jadi untuk mengelak jangkitan ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjauhi daripada tempat-tempat yang penuh sesak dengan manusia.

Bahkan ditambah lagi dengan nasihat untuk memakai topeng muka. Antara tempat yang bersesak-sesak manusia di dalamnya adalah di kelab-kelab malam. Sedar atau pun tidak, umat Melayu yang mengaku Islam semakin berani melawan perintah Allah. Mereka tanpa segan silu mengunjungi tempat-tempat maksiat ini atas nama kebebasan.

Soal minum arak, wallahualam, walaupun banyak pendedahan berani selebriti-selebriti tanah air. Anehnya, terlibat dengan demonstrasi menentang kezaliman tidak boleh, tapi menganjur dan mengunjungi konsert-konsert liar tidak mengapa.

Nah, masih ego mahu melawan larangan Allah?

Keduanya. Setakat penilitian saya (mungkin benar, mungkin tidak benar), kebanyakkan mereka yang diserang penyakit ini adalah mereka yang dalam lingkungan usia remaja dan ke atas.

Tidak kedengaran bayi-bayi yang baru lahir dijangkiti, dan mungkin jumlah jangkitan pada peringkat kanak-kanak sangat kecil walaupun banyak sekolah ditutup.

Mungkin bayi yang baru lahir tidak kena jangkitan wabak ini adalah disebabkan kadar keaktifan penghasilan antibodinya yang sangat tinggi. Ada kemungkinan juga, ini adalah satu peringatan daripada Allah kepada Generasi Muda yang dalam lingkungan usia belia remaja.

Kelompok ini banyak terlibat dengan salah laku seks atau gejala zina. Jika berjangkit dalam keluarga, mungkin itu perkara biasa disebabkan genetik yang sama. Tapi jangkitan berlainan genetic ini sangatlah malang. Inilah peringatan Allah kepada manusia supaya kembali kepada-NYA. Cuma nak sedar atau tidak sahaja.

Ketiganya. Hari ini, masyarakat Malaysia didedahkan dengan kaedah-kaedah menjauhi jangkitan H1N1 ini. Antaranya kaedah membasuh tangan yang betul, menutup hidung dan mulut sewaktu bersin dan batuk.

Maksudnya, penyakit ini juga sangat berkait rapat dengan penjagaan kebersihan diri sendiri serta diri dan masyarakat. Kebersihan adalah lambang sebuah bangsa yang bertamadun. Masyarakat Malaysia sangat jauh dengan budaya menjaga kebersihan ini.

Daripada sinilah, kita akan mula mengorak langkah baru, mengembalikan nilai-nilai dan akhlak sebagai seorang manusia yang tahu adab dan tatasusila.

Secara saintifiknya, badan kita mempunyai sistem pertahanan badan yang sangat unggul. Tetapi semakin meningkat dewasa, badan kita semakin lemah melawan penyakit lebih-lebih lagi penyakit melibatkan virus.

Ini kerana, jika kita menyedari sewaktu kecil kita diberikan suntikan imunisasi untuk memberikan badan kita antibodi melawan penyakit bawaan virus. Tapi sesudah mengikat dewasa, kita banyak mengharap kepada antibodi diri sendiri sahaja.

Kita meninggalkan kerja-kerja “Amar Makruf Nahi Mungkar” dalam konteks hubungan sesama manusia. Diri kita mungkin sudah baik, akan tetapi masyarakat sekeliling kita? Apakah itu bukan tangungjawab kita? Atau dengan kata lainnya, “Mati kubur lain-lain” dan “Jangan jaga tepi kain orang”.

Bukan semua masalah manusia dan dunia ini mampu diselesaikan dengan sains. Banyak perkara yang tidak mampu diselesaikan dengan akal manusia, kerana yang mangawal atur dan mengurus tadbir alam semesta ini adalah Allah. Walaupun Islam tidak pernah sesekali menolak rasional dan logik sains.

(oleh: Wan Afifi Wan Zainudin graduan Uni. Malaya )

Sunday, August 9, 2009

Untuk Diri Yang Berilmu

Alahai diri,

Kau berilmu, tapi kamu melupakanya,

Alahai diri,

Kau banyak ilmu, tapi sedikit sekali dekat pada Ilahi,

Alahai diri,

Ilmumu sedikitpun tak beri manfaat kepada diri,

Alahai diri,

Ilmumu tak dapat membentuk peribadi,

Alahai diri,

Banyak ilmu, tapi sentiasa rugi,

Bodohnya diri dalam banyaknya ilmu,

Alahai diri,

Kau cinta dunia dan lupa mati,

Alahai diri,

Tak ingatkah mati?

Ilmu banyak, tapi buta hati,

Alahai diri,

Kau tahu, tapi buat tak reti,

Alahai diri,

Sampai bila nak jadi begini,

Takut kau mati,

Dalam keadaan buta hati.

Alahai diri,

Di mana ilmu mu?

Bila mahu gunakan?

Alahai diri,

Aku takut kau disiksa di akhirat nanti,

Kerana ilmu, tanpa amali.

Alahai diri,

Jangan jadi orang yang rugi,

Alahai diri,

Engkau belum mati,

Masih sempat bertaubat lagi,

Jangan dekati dosa lagi,

Nanti kau rugi,

Alahai diri,

Waspadalah! Syaitan sentiasa menanti,

Kepada sesiapa yang lupa diri,

Ada ilmu tanpa amali,

Alahai diri,

Tulisan ini bukan untuk dinyanyi,

Bukan pula untuk tatapan diri,

Tapi untuk membaiki diri.

Alahai diri,

Ruginya engkau kalau tak memahami,

Kau berilmu tapi kau tak mahu ikuti,

Alahai diri,

Jangan kau jadi orang yang rugi,

Usah kau lupa diri,

Ingatlah Tuhan, dan ingatlah mati,

Wahai diri,

Muhasabahlah diri,

Rendahkan hati,

Bertaubatlah pada ilahi,

Jangan kau hampiri dosa lalu,

Wahai diri,

Aku harap kau mengerti,

Kehendak iman menuju Ilahi,

Demi syurga abadi,

Demi kebahagiaan dan keselamatan hakiki,

Aku mahu diredhai,

Oleh Rasul dan Ilahi,

Setiap masa dan ketika,

Jangan kau hampakan diri ini,

Alahai diri,

Inilah nasihatku pada diri,

Semoga engkau memahami,

AMPUNKAN AKU YA RABBI….

Kepimpinan Mahasiswa : Ukhuwah, Mahabbah dan Tajarrud ilaLlah (ketulusan niat dan tekad perjuangan semata-mata kerana Allah).

Saat ini, siapakah pemimpin mahasiswa kita?
Adakah dia seorang ulama?
Adakah dia seorang cendiakawan?
Atau dia hanya sama seperti kita?
Masih enak dibuai mimpi mekar jiwa remaja?
Hakikatnya, pemimpin mestilah berbeza.
Dia mesti tegas dalam beragama,
Punyai prinsip dan jelas hala tuju inspirasinya untuk semua.
Dia adil dalam meletakkan amanah pada haknya.
Pada diri pemimpin mahasiswa itu,
Ada ketenangan wajah mengubat duka rakan sekampusnya,
Ada kasih setia yang mengalir tanpa ada bezanya,
Ada keikhlasan dalam menunaikan tanggungjawabnya…
Jadi, tanyalah minda soal pada hati?
Siapa sebenarnya pemegang watak kepimpinan mahasiswa kami?

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all