Tuesday, April 21, 2009

Apabila Kemungkaran Dilihat Sebagai Kemuliaan

Salam ukhwah, salam perjuangan, salam dakwah kepada pembela-pembela dakwah Islam, kepada pejuang-pejuang yang ditekan tetapi tetap mempertahankan Islam, kepada mereka yang ingin berfikir dengan jauhnya tentang hala tuju ummat.

Hari ini, ketika ini dan saat ini, ketika kemungkaran dan maksiat menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan ummat yang kita sayang, DIMANAKAH KITA? Dimanakah kita yang mengatakan bahawa kita meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan, Rasulullah sebagai model ikutan, Allah sebagai tujuan dan Jihad fi sabilillah sebagai penamat kehidupan?

Amat jelik sekali pada masa ini, ketika ummat yang lantang berkata kononnya kita menegakkan negara Islam di kalangan pemimpin-pemimpin kita, mereka yang dengan lantang mengatakan kita ikut langkah Islam dalam negara ini turut sama leka dalam jalan taghut, malah amat menyedihkan lagi bila mana maksiat itu dilihat sebagai perkara biasa.

Saudaraku, syaitan akan mengindahkan pandangan manusia di atas maksiat yang kita lakukan. Perhubungan tanpa batasan atas nama cinta sejati antara dua insan dipandang indah oleh masyarakat, dipandang cantik oleh sahabat handai malah dipopularkan oleh ramai di kalangan kita dan bahkan dipandang mulia. TETAPI, perhubungan untuk membina baitul muslim secara baik dan suci tanpa ikatan dan perhubungan yang keji dipandang kolot dan ketinggalan zaman bahkan tidak lagi sesuai dengan zaman ini.

Para pemuda-pemudi dan pejuang yang membawakan dakwah Islamiyah, yang ingin meletakkan kefahaman yang betul kepada ummat dipandang sebagai orang penyibuk bahkan mungkin sekali akan dilabelkan sebagai terroris. Para pendokong yang ingin membawa semula ummat Islam kepada Islam dipandang sebagai lebai-lebai yang kuno, kolot dan ketinggalan zaman. Bahkan senang sekali dikatakan : “aku enjoy...enjoy gak, ibadat...ibadat jugak”. Jadi adakah kehidupan kita ini membedakan dengan kehidupan Islam? Bukankah sebagai muslim, kehidupan kita adalah Islam dan Islam itu adalah kehidupan. Bahkan untuk enjoy pun bukankah lebih cantik sekali kalau ianya selari dengan jalan Islam. Tiada pergaulan tanpa batasan, tiada unsur lucah. Bahkan dakwah juga dapat disampaikan melalui hiburan.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil, tidak semestinya lagu nasyid sahaja perlu ada unsur dakwah. Bukankah lebih cantik kalau lagu rock juga ada unsur dakwah. Tidakkah lebih jelik apabila ketika ada segolongan pihak yang ingin membuat tugas menyedarkan ummat tentang hakikat Islam ini dihalang dengan kuatnya. Tetapi mereka yang ingin melakukan konsert , pesta , keraian yang bukan-bukan dibenarkan dengan suka hatinya? Dimanakah kononnya Islam yang dilaung-laungkan??? ADAKAH ISLAM ITU TERTEGAK DENGAN KATA-KATA??? ADAKAH ISLAM ITU TERTEGAK DENGAN CERAMAH DAN JUALAN AIR LIUR SAHAJA???

Saudaraku, Islam itu adalah kehidupan kita, saat kita mengucapkan kalimah shahadah, kita telah berikrar dan mengikat perjanjian untuk menerima Islam sepenuhnya. Tiada istilah “part time Muslim”. Hari ini aku ikut jalan kafir, esok aku ikut jalan Islam. Tiada istilah pengasingan Islam daripada kehidupan. Tiada pengasingan Islam itu daripada pemerintahan kerana Islam ini lengkap. Bermula daripada aspek kehidupan seharian, pemerintahan malahan kematian. Ketika kita bershahadah, kita telah berikrar pada aqidah kita bahawa kita sanggup mengikut Islam. Tetapi adakah shahadah itu sekadar hanya kata-kata kosong???

(sekadar perkongsian)

Menuju Ke Syurga Bukan Mudah...

“Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).

Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.

Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.

Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.

Nah, di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu.


Betapa tak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu.

Kebahagiaan di dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.

Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.

Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.

Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.

Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.

Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw “Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat.” Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka. Wallahu ‘Alam. .

Wednesday, April 15, 2009

Agama dan Politik Dipisah atau Diapit?

“Agama dan politik tidak boleh dibawa bersama, agama adalah agama dan politik adalah politik, dua-dua tidak sama. Orang agama hanya duduk di masjid, biar orang yang macam kami ini sahaja yang menerajui negara. Kamu semua mana tahu apa kami buat.
Dalam al-Quran tiada cerita pasal politik.”

Mungkin ini antara kata-kata yang pernah kita dengar atau pernah kita terdengar daripada tokoh-tokoh politik Malaysia. Keluhan demi keluhan dapat saya dengari di sekeliling saya apabila suara-suara ini berkumandang dalam pelbagai medium. Saya tidak tahu mana silapnya kita semua dalam memahami konsep politik dan agama.

Adakah kita memang tidak pernah diajar mengenai agama sejak dari bangku sekolah?
Tidak mungkin.

Adakah kita terlalu sensitif atau proaktif apabila membincangkan isu ini secara umum? Sehinggakan pelbagai peraturan dan sekatan dilakukan bagi menyekat pencambahan ilmu dalam bidang politik di kalangan para pelajar khususnya mahasiswa.

Jika begitu apa yang boleh dibincangkan? Setelah pintu untuk memahami secara ilmiah konsep politik ditutup rapat-rapat.

Selain itu, dengan mengenakan syarat bahawa perbincangan tentang politik boleh dibahaskan, tetapi hanya berputar pada skop yang kecil dan yang ‘baik-baik’ saja, maka adakah itu dipanggil wacana ilmiah?

Sedangkan kita tahu dunia politik ada pelbagai ragam dan recam.

Berbalik kepada isu di atas iaitu adakah agama dan politik ini dibataskan, saya mahu mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak tentang perkara ini.

Adakah agama tidak ada tempat dalam politik dan politik itu hanya untuk orang-orang yang bukan beragama?

Saya tidak pasti adakah persoalan ini sesuai untuk ditanya ataupun tidak tetapi pada hemat saya, pemikiran atau ideologi untuk memisahkan politik dengan agama adalah sesuatu yang pelik dan jumud.

Hanya mereka yang tidak beragama sahaja memisahkan dua pentas ini dari kehidupan. Sejarah membuktikan bahawa pemisahan ini adalah inisiatif daripada golongan anti-gereja. Kekecewaan mereka terhadap penguasa gereja yang hanya bertumpu dan berkisar kepada urusan keagamaan sehinggakan melupakan kemajuan dari segi politik dan pembangunan membawa kepada pemberontakan. Setelah beratus tahun peristiwa itu berlaku, ia berulang kembali dalam abad-abad yang moden ini.

Pemisahan antara politk dan agama amat ketara. Ulama’ yang muktabar pandangan-pandangan mereka terhadap politik tidak pernah diambil peduli. Tidak seperti semasa zaman kegemilangan Islam, Ulama’ dan Umara’ memainkan peranan yang besar dalam pembentukan negara yang aman dan maju.

Kaedah siasah (politik) Islam mula dianggap tidak sesuai untuk zaman moden yang mencabar ini. Mereka menoleh ke belakang mencari kaedah-kaedah lama yang ditinggalkan Machiveli, Marxism dan lain-lain bagi perjalanan politik mereka. Negara-negara Islam yang mengikut corak politik kotor dan ‘tidak peduli’ tanpa berlandaskan tuntutan agama sudah mula kelihatan. Parti-parti yang di dalamnya terdapat Muslim, bercakaran sesama sendiri kerana perbezaan yang kecil. Persamaan dalam sudut akidah mula diketepikan dan nasihat-nasihat yang baik dari pihak lawan ditinggalkan kerana takut. Takut dengan bayang-bayang sendiri. Jika kita boleh duduk semeja dan berbincang semeja dengan orang yang bukan seakidah, tetapi kenapa kita tidak boleh duduk semeja untuk membincangkan kebaikan bersama di kalangan seakidah? Itulah yang terjadi apabila agama dan politik dipisahkan sejauh selat Tebrau. Mana mungkin negara diberkati Allah.

Zikir dan fikirlah, demi anak bangsa kita pada masa hadapan.

“Jika amanat disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya”. Ada yang bertanya “bagaimana mensia-siakannya? Baginda menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”.(Bukhari)

Dasar PPSMI Perlu Dimansuhkan....

Perlu Dicari Akar Umbi Masalah

Semenjak demonstrasi yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mac yang lepas, isu PPSMI semakin hangat diperkatakan. Ada yang terus menyatakan bantahan dan ada juga yang mempertahankan keperluan dasar PPSMI. Namun, daripada pemerhatian peribadi, rata-rata pandangan yang mempertahankan dasar PPSMI dibuat berdasarkan kepentingan politik ataupun dengan berdasarkan pemikiran yang simplistik.

Harus difahami bahawa isu PPSMI bukan isu politik. Pihak yang berterusan membantah isu PPSMI juga bukanlah pihak yang mempunyai kepentingan politik. Seandainya ditelusuri sejarah isu ini, maka kita akan dapati bahawa pihak yang benar-benar berterusan memperjuangkan agar dasar PPSMI dimansuhkan, semenjak daripada mula-mula timbulnya cadangan untuk melaksanakan dasar ini, bukanlah parti-parti politik tetapi badan-badan bukan kerajaan (NGO), para sasterawan dan para intelektual negara. Hal ini bermakna bahawa bantahan yang dibuat bukanlah berdasarkan kepada apa-apa kepentingan sebaliknya hanyalah bertunjangkan rasa cinta kepada bangsa dan keprihatinan akan masa depan umat.

Adalah penting untuk difahami dengan jelas bahawa bantahan yang disuarakan terhadap dasar PPSMI tidak sama sekali bererti penolakan terhadap kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang penting di dunia pada hari ini. Secara umumnya boleh diperhatikan bahawa persepsi ini wujud; bahawa seolah-olah pihak yang membantah dasar PPSMI ini adalah pihak yang menentang Bahasa Inggeris. Hal itu tidak benar sama sekali. Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris tidak dinafikan, malah memang perlu digalakkan. Malangnya, pelaksanaan dasar PPSMI bukanlah langkah yang betul; bukan hanya pelaksanaan dasar ini tidak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar tetapi akan membawa kesan-kesan lain yang cukup kritikal, khususnya dalam konteks budaya dan pandangan alam.

Dasar PPSMI bukanlah penyelesaian untuk masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar kerana dasar ini lahir daripada corak pemikiran yang normal dan simplistik. Dasar ini tidak menyentuh permasalahan dasar. Dalam proses penyelesaian masalah, antara langkah awal yang penting adalah proses mengenalpasti punca masalah yang sebenar. Kegagalan mengenalpasti punca permasalahan yang sebenar akan menyebabkan tindakan yang salah diambil, lantas gagal menyelesaikan masalah. Cara berfikir secara simplistik, dengan gaya pemikiran yang normal yang biasanya akan mudah membuat sesuatu kesimpulan atau keputusan dengan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, akan menyebabkan punca masalah yang sebenar gagal untuk dikenalpasti.

Dalam isu yang sedang diperkatakan ini, masalah yang ingin ditangani adalah kelemahan para pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris, sekaligus menyukarkan mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan Sains dan Teknologi kerana kebanyakan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Setelah masalah dikenalpasti, langkah seterusnya adalah untuk mengenalpasti pula punca permasalahan yang sebenar. Dalam mengenalpasti punca masalah, adalah penting untuk kita tanyakan:

" Mengapakah para pelajar kita gagal menguasai Bahasa Inggeris walaupun setelah mereka mempelajari bahasa itu di sekolah semenjak Darjah 1 hingga Tingkatan 5 - sejumlah 11 tahun kesemuanya! "


Tempoh 11 tahun itu adalah satu tempoh yang sangat panjang untuk mempelajari bahasa. Bukankah perkara ini memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah? Seterusnya, kalaupun kita meletakkan kegagalan menguasai disiplin ilmu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai masalahnya, kita pasti akan bertemu dengan punca permasalahan yang sama apabila difikirkan secara rasional dan berdasarkan pandangan para intelektual.

" Apakah kegagalan menguasai Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu adalah disebabkan Bahasa Inggeris tidak dijadikan bahasa pengantar bagi pengajian kedua-dua subjek tersebut, ataupun disebabkan memang para pelajar tidak mahir berbahasa Inggeris? "



Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Pelaksanaan dasar PPSMI dibuat dengan mengakui bahawa para pelajar kita pada hari ini tidak mahir berbahasa Inggeris. Nah, apakah mungkin para pelajar kita memahami konsep-konsep Sains dan Matematik yang diajar dalam satu bahasa yang mereka tidak mahir? Maka, akar permasalahannya adalah pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan rujukan bagi disiplin Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya di peringkat asas (sehingga ke peringkat pengajian SPM), kita sudah sedia mempunyai rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu. Perkara ini dinyatakan dengan tidak menafikan bahawa terdapat juga rujukan-rujukan bagi bidang Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi dalam Bahasa Melayu, walaupun bilangannya sedikit. Apa yang penting sekarang ini adalah, seandainya negara ini ingin melahirkan lebih ramai graduan yang mahir dalam disiplin Sains dan Matematik, konsep-konsep asas yang akan membawa kepada kefahaman dalam ilmu-ilmu Sains dan Matematik itu perlulah dikuasai oleh para pelajar. Untuk menguasai konsep itu pula, bahasa pengantar yang paling sesuai digunakan adalah Bahasa Melayu kerana itulah bahasa percakapan harian yang rasmi bagi masyarakat di negara ini. Justeru, apabila diajarkan sains dan matematik itu dalam Bahasa Melayu, para pelajar akan lebih mudah menangkap konsep-konsep yang perlu mereka fahami.

Kita tidak harus memandang rendah akan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lihatlah kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain universiti, bagaimana mereka telah melahirkan ramai graduan dalam bidang Sains dan Matematik serta mempunyai pensyarah-pensyarah yang berkelayakan dan universiti-universiti tersebut melaksanakan pengajiannya dalam Bahasa Melayu – sejak sekian lama! Mungkin akan timbul persoalan:

" Mengapakah kita masih jauh terkebelakang dalam sains dan teknologi? "

Sudah tentu adalah tidak adil, malah tidak wajar, untuk kita menyalahkan bahasa pengantar dalam hal ini. Ada banyak faktor yang lain yang perlu diberikan perhatian serius. Seperti:

" Adakah benar universiti kita mengamalkan sistem akademik yang benar-benar berdisiplin sehingga mampu melahirkan graduan yang mahir dan mampu bersaing di pentas antarabangsa? "

Kemudian, jika ada:

" Adakah kemahiran dan pengetahuan yang meluas di kalangan para graduan itu dimanfaatkan secara optimum dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi di negara ini? "

" Adakah kita masih tidak meyakini kemampuan anak tempatan, lantas masih menggunapakai pakar daripada luar negara? "

" Apakah para pelajar kita diberikan ruang dan kebebasan berfikir yang betul-betul luas sehingga mampu mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatifnya? "

" Adakah para pelajar kita sudah terdidik dengan sikap yang betul sebagai seorang penuntut ilmu? "

" Apakah kemudahan fasiliti dan peralatan yang diperlukan bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam disiplin ilmu sains dan matematik mencukupi di negara ini? "


Isu Dasar Menjadi Persoalan

Penentangan terhadap dasar PPSMI ini juga bukanlah semata-mata penentangan terhadap pelaksanaan dasar tersebut tetapi lebih kepada penentangan terhadap dasar itu sendiri. Soal pelaksanaan, dalam apa jua dasar dan pada apa jua peringkat, pasti akan punya kelemahan dan kekurangan kerana itulah sifat manusia. Justeru, soal pelaksanaan tidak memerlukan kepada penentangan yang terlalu agresif. Malah, seandainya isu ini adalah isu pelaksanaan, maka yang lebih sesuai adalah semua pihak duduk bersama-sama untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut. Namun, isu ini adalah isu dasar. Selain daripada ketidakmampuan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk membina kefahaman terhadap konsep-konsep dalam ilmu sains dan matematik, dasar PPSMI juga akan menyebabkan Bahasa Melayu menjadi semakin terpinggir. Hal ini merupakan satu hal yang cukup kritikal. Walaupun pihak yang mempertahankan dasar PPSMI berulang kali menegaskan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI tidak bermaksud untuk mengenepikan kepentingan Bahasa Melayu, namun itu sekadar alasan yang bersifat retorik semata-mata. Hakikatnya, apabila Bahasa Melayu dikeluarkan daripada pengajian sains dan matematik, maka di manakah kedudukan Bahasa Melayu? Di mana lagi Bahasa Melayu akan digunakan?

Ilmu Sains dan Matematik adalah ilmu asas yang akan mencapah kepada terlalu banyak bidang yang lain seperti kejuruteraan, komputer, perubatan, pelayaran, pemetaan, geologi dan lain-lain. Apabila Bahasa Melayu dibuang daripada pembelajaran ilmu-ilmu itu, maka bukankah Bahasa Melayu hanya akan digunakan di pasar-pasar dan di jalanan? Bukankah itu merendah-rendahkan martabat Bahasa Melayu? Maka, bagaimana mungkin kita mahu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi? Malah, untuk jangka masa yang panjang, dikhuatiri akhirnya Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan. Apabila keadaan ekonomi dan teknologi masyarakat sudah berkembang, siapakah agaknya yang masih mahu menggunakan Bahasa Melayu – sebuah bahasa jalanan dan bahasa pasar – sebagai bahasa pertuturan harian mereka?



Bahasa Dan Budaya

Penting untuk difahami bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Apabila Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris diangkat tarafnya terlalu tinggi, maka akhirnya budaya masyarakat Barat yang menggunakan Bahasa Inggeris itu akan menyerap masuk secara langsung ke dalam masyarakat di negara ini. Sememangnya tidak semua yang daripada Barat itu adalah negatif, banyak juga yang positif. Namun, lakukanlah penilaian secara objektif; unsur-unsur daripada Barat yang begitu banyak mendominasi kaca-kaca televisyen, corong-corong radio, halaman-halaman dalam majalah dan dada-dada akhbar, apa dia? Bukankah filem-filem daripada Hollywood, yang hampir kesemuanya pasti memaparkan pergaulan bebas lelaki dan wanita (paling tidak, pasti ada adegan bercumbu antara lelaki dan wanita), yang begitu banyak ditayangkan di panggung-panggung wayang? Ditambah lagi dengan VCD dan DVD yang boleh diperolehi dengan begitu mudah? Bukankah artis-artis daripada Barat yang tidak mampu menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada masyarakat di negara ini, begitu banyak menghiasi dada akhbar dan majalah, malah lagu-lagu mereka diputar berulang kali dalam radio? Ditambah lagi dengan teknologi Internet yang membolehkan masyarakat di negara ini mendapat capaian kepada pelbagai bahan yang tidak sihat, yang majoritinya daripada Barat. Kita tidak boleh memisahkan hal budaya ini daripada bahasa. Budaya bangsa Melayu, budaya bangsa lain, budaya bangsa Asia, adalah budaya yang sifatnya cukup lemah-lembut dan kaya dengan adab. Tetapi tunjangnya bukan Bahasa Inggeris! Lihatlah apa yang terjadi kepada jatidiri orang Melayu di Singapura apabila Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama mereka.

Perkaitan antara bahasa dan budaya ini dijelaskan secara terperinci dan jelas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, antaranya dalam karangannya yang berjudul ‘Risalah Untuk Kaum Muslim’. Bahasa itu bukanlah sekadar perkataan-perkataan kosong, tetapi bahasa adalah medium penyampaian mesej. Perkataan dan istilah dalam bahasa itu membawa makna yang tersendiri, dalam konteks yang tersendiri, yang akhirnya membawa kepada pembentukan pandangan alam seseorang itu.



Islamisasi dan Bahasa Melayu

Dalam konteks agama Islam pula, ada sebab yang cukup utuh mengapa Bahasa Melayu itu perlu dipertahankan. Selain daripada berbahasa Melayu itu digandingkan dengan beragama Islam sebagai ciri bangsa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang penting juga adalah Bahasa Melayu ini adalah sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi di rantau ini. Sebagai sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi, maka peranan Bahasa Melayu di rantau ini adalah sangat penting dalam pembentukan pandangan alam Islam seseorang itu. Begitu banyak perkataan dalam Bahasa Melayu adalah berakar daripada bahasa Arab yang Islamik. Istilah bahasa Arab yang Islamik digunakan di sini kerana bukan semua yang berbahasa Arab itu adalah orang Islam dan juga kerana bahasa Arab itu sendiri telah melalui proses Islamisasi tatkala Rasulullah Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan dengan membawa kitab Al-Qur’an.

Penggunaan istilah-istilah yang telah berakar teguh dalam Bahasa Melayu, tidak mungkin boleh digantikan dengan begitu sahaja oleh Bahasa Inggeris yang merupakan satu bahasa asing di rantau ini. Sebagai contoh, istilah “taqwa” tidak boleh disamakan dengan istilah “pious”, kerana sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Qur’an istilah “taqwa” terkait dengan kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan istilah “pious” adalah satu istilah yang terlalu umum yang malah digunakan dalam agama selain daripada Islam, selain daripada tidak membawa perkaitan dengan Tuhan. Begitu juga istilah “akhlak” tidak boleh disamakan dengan “ethic”, “ikhlas” tidak boleh disamakan dengan “sincere”, “adil” tidak boleh disamakan dengan “justice”; dan sebagainya lagi. Termasuklah, “Allah” tidak boleh diterjemahkan sebagai “God”. Apabila Bahasa Melayu sudah tidak lagi dianggap penting, maka istilah-istilah di atas akan terganti lantas merosakkan pandangan alam umat Islam di negara ini.



Ikutilah Yang Lebih Mengetahui

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah, bahawa semenjak daripada mula-mula dasar PPSMI ini diperkenalkan, ramai di kalangan para intelektual yang telah membantah dasar ini. Nah, seandainya pandangan para intelektual yang didukungi oleh hujah-hujah mereka yang cukup kuat dan ilmiah tidak didengari, maka pandangan siapakah yang digunapakai? Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menyatakan bahawa apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan pakarnya, maka kita akan menghadapi saat kehancuran. Daripada disiplin Sains dan Matematik, kita ada pakar fizik bertaraf antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman (UKM) yang menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI. Daripada bidang bahasa pula, kita ada Profesor Bahasa Melayu dan ahli linguistik tersohor, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang berterusan membantah pelaksanaan dasar PPSMI. Maka, seandainya pandangan pakar-pakar seperti mereka tidak kita dengari, pandangan siapa lagi yang kita mahu ikuti?

Jawatan, pangkat dan kedudukan tidak menjamin tahap keintelektualan seseorang. Malah dalam Islam pun kita diajar bahawa seorang pemimpin itu (umara’) harus mendengar nasihat dan pandangan daripada seorang ilmuan (ulama’) dalam membuat keputusan dan tindakan. Bukanlah satu keaiban untuk mengaku bahawa kita tersilap dan memperbaiki kesilapan itu.

Ayuh, batalkan dasar PPSMI demi masa depan umat!
Allah jua Yang Maha Mengetahui!

(sekadar perkongsian)

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all