Monday, November 16, 2009

Diriku Bermonolog Lagi....

Alhamdulillah….pagi semalam aku telah selesai exam untuk paper yang terakhir di bumi upsi, resultnya nanti aku hanya tawakkal pada Allah. Selepas ini insyaallah bakal berpraktikum di kuantan sebagai latihan sebelum di campakkan di medan yang sebenar. Namun, terdapat beberapa persoalan yang sering bermain difikiranku, selama 4 tahun aku belajar disini, sejauhmanakah hubunganku dengan Allah. Memandangkan nasihat dari guruku sentiasa bermain difikiran, katanya “ilmu yang sebenar adalah ilmu yang boleh membawa kite hampir untuk dengan Allah, dan tujuan kite belajar ilmu adalah untuk mengetahui mana satu perintah Allah dan mana satu larangan Allah”. Kata-kata ini membuatkan diriku tertanya-tanya adakah ilmu yang aku belajar selama 4 tahun disini telah membawa diriku hampir kepada Allah ataupun hanya sekadar maklumat semata-mata. Jika sekadar maklumat semata-mata maka aku perlu melakukan sesuatu terhadap ilmu yang telah dipelajari, mungkin selepas ini aku perlu merentasi kurikulum yang ada dengan menerapkan unsur-unsur tauhid dalam subjek yang aku akan mengajar di sekolah nanti. Memandangkan aku akan mengajar pelajar-pelajar nonmuslim di sekolah nanti mungkin aku perlu menerangkan keindahan ajaran Islam kepada mereka disamping diriku sendiri perlu menunjukkan qudwah dengan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan sebaik-baiknya. Mungkin ini salah satu agenda dakwah yang perlu aku lakukan kepada pelajar-pelajar nonmuslim.

Namun kadangkala terasa sedih juga bila aku bermuhasabah selama 4 tahun aku disini, terasa amat sedikit aku memberi sumbangan untuk agama Allah. Bagaimana aku nak berhadapan dengan Allah nanti, bila dipersoalkan tentang tanggungjawab yang telah diamanahkan. Allahuakbar…..astargfirullah……ampunilah diriku ya Allah….apapun aku perlu teruskan perjuangan ini walau apapun yang akan berlaku kerana Allah tidak melihat pada hasil, namun Allah akan lihat pada usaha yang dilakukan. Aku perlu tekad untuk meneruskan risalah nabi . Sekurang-kurangnya ada usaha-usaha yang aku lakukan untuk membantu agama Allah. Walaupun kadangkala diuji dengan pelbagai ujian yang boleh membuatkan diri ini terasa lemah, namun sirah nabi menjadi penawar. Bila melihat kepada perjuangan Rasulullah s.a.w yang dicaci, dihina, dibaling dengan batu oleh penduduk Thaif hingga mengalirkan darah, membuatkan kesusahan yang aku alami hilang serta merta. Begitu mulianya dirimu wahai kekasih Allah, walaupun diperlakukan sedemikian rupa oleh musuh Allah, namun baginda tidak bertindak untuk membalasnya. Malahan baginda mendoakan hidayah untuk penduduk Thaif,

Kadangkala ujian yang datang itu sebenarnya Allah hendak menguji sejauhmana tahap iman kite. Tidak selamanya rasa sakit itu tidak berharga,sehingga harus dibenci. Kerana kemungkinan rasa sakit itu akan mendatang kebaikan pada seseorang. Sesungguhnya ketelusan sebuah doa muncul tatkala kesakitan yang perit, ketulusan tasbih yang sentiasa terucap datang dari hati yang sakit. Begitu juga penderitaan dan bebanan yang dialami oleh seseorang pelajar yang menuntut ilmu, yang pada akhirnya menjadikan seorang pelajar itu seorang ilmuan yang terkemuka. Demikianlah kerana dia telah bersusah payah diawal perjalanannya, sehingga ia boleh menikmati kesenangan diakhirnya. Di dunia ini ramai orang yang kaya kerana mereka mampu menjadikan penderitaan sebagai perantaraan mencapai kekayaan. Oleh kerana itu, jangan takut dengan penderitaan dan jangan khuatir dengan kesengsaraan kerana kadangkala penderitaan itu memberi kekuatan kepada kite dan akan menjadi sebuah kenikmatan pada kite suatu hari nanti.

Aku teringat seorang penyair yang sentiasa hidup dalam kesengsaraan dan penderitaan. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, ia sempat melantunkan sebuah puisi yang begitu menyentuh hati dan jauh dari kata-kata yang berlebihan. Dialah Malik bin Ar-Rayyib. Sambil meratap ia bersyair :

Apakah kalian tidak melihatku,

Yang telah menjualkan kegelapan

Dengan cahaya hidayah?

Aku berperang sebagai perajurit Ibnu ’Affan

Hanya bagi Allah aku pasrahkan permata hatiku

Ketika aku meninggalkan anak dan hartaku

Di sisi dua jurang.

Wahai para sahabatku,

Perjalanan hidupku telah mendekati maut

Saatnya bagiku untuk tidur sepanjang malam

Hidupku hanya tinggal hari ini

Atau tersisa sebahagian malam

Maka janganlah kalian mempercepatkan pemergianku

Kerana segalanya kini sudah jelas

Pembaringanku tergores hujung gigi

Setiap kali ku mengiringkan tubuhku

Sedangkan hujung kainku

Selalu dibasahi air mata

Janganlah kalian membenci diriku

Semoga Allah memberkati kalian

Ditempat mana kalian berada....

Semua itu adalah kerana ia mengalami sendiri kehidupan yang pahit dan bebanan berat yang ia bicarakan.

.......maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya). (al-fath :18)

Sekadar perkongsian dari hamba yang sedang bertatih dalam medan perjuangan.....

Mujahideen

Tuesday, November 10, 2009

Bersabarlah adik-adikku.....

Alhamdulillah hirabbil alamin, Allah yang memberikan nikmat hidayah dan islam...
Selawat dan salam pada Rasulullah s.a.w yang menunjuki jalan berduri namun manisnya tak ternilai... tentu menyelami sirahnya takkan pernah habis dapat digali mutiara berharga di dalamnya. Serta mendalamkan cinta kita buat baginda…


Dunia dakwah dan tarbiyah kita ini sangat banyak mengajar kita akan sebuah kehidupan yang panjang, warna warni dan tentu misteri...Kadang2 kita rasa jalan yang kita lalui ini pasti mencapai kejayaan.Tatkala melihat wajah adik-adik halaqah kita memandang kita penuh syahdu, meminta-minta jirusan hidayah ke dalam kekontangan hati mereka...Maka kita gembira melihat mereka mengelilingi halaqah kita. Kita merasa seronok berkongsi apa yang menjadi keindahan buat jiwa kita...


Dunia Islam, tarbiyah dan dakwah…
Dan kita tanam pada jiwa mereka, mereka perlu menjadi pewaris kepada dakwah ini, agar mata rantai islam takkan terputus-putus… Kita berharap sangat akan ada pewaris kepada tugasan Rasul ini...Namun, sedetik itu jugalah Allah yang memegang hati manusia ini membolak balikkannya… Dan diri kita tersadung, terjelepuk serta terkedu. Di manakah silap kita sehingga mereka terus berpaling dari kita?

Bagaimana agaknya Rasulullah, kekasih kita tatkala melalui kota Thaif...

Dengan sandalnya..

Dengan panas teriknya...

Mungkin dengan seekor unta menjadi peneman,

Dengan kepayahan lamanya perjalanan…

Baginda berjalan, penuh berharap,

penuh dahaga dan lapar,

kiranya ada tuan rumah sudi menerimanya bertandang,

bukan sekadar memberi roti dan air,

namun mahu menadahkan telinga mendengar kalimah sebuah risalah...

bayangkan Rasulullah, berjalan adikku…berjalan…Allahuakbar...

berhari-hari,

penuh penat,

penuh harap,

akan ada manusia mendengar risalahNya...

Namun hadiah mereka kepada baginda adalah batu-batu kerikil yang menghunjam ke tubuh baginda yang suci itu! Batu-batu yang melukakan kaki dan tubuhnya!!…Kesedihan apa lagi yang paling dahsyat selain dari itukan? ( Tak dapat bayangkan kita di tempat rasulullah kan?)Sehingga malaikat terus menjadi marah dan geram pada Thaif, dan lantang mahu menebalikkan bumi Allah itu…dan Baginda hanya berkata :


‘ Jangan, mungkin anak cucu mereka pasti akan menerima risalah Allah ini…’


Ya Allah…. selawat ke atas manusia suci itu… yang menanggung sengsaranya emosi dan fizikal di jalan dakwah ini…kerana cintanya pada Allah, dan risalah ini...baginda berjalan menempuh perjalanan yang panjang, penuh sukar...kerana mahu manusia merasai apa yang dia rasai dalam jiwanya yang sasa itu…Merasai nikmat sebuah hidayah Islam...

Nikmat mengenali Rab, Ilah dan Khaliq sekalian alam; itulah Allah rabul jalil...Nikmat keluar dari belenggu jahiliyah yang sempit, kepada keluasan Islam tanpa batas… walaupun terpaksa berhadapan dengan sakitnya hati, jiwa dan fizikal kerana tentangan Thaif, namun atas nikmat itu, dirasai ujian itu terangkat, dan dilupai terus! Tak mahu langsung dibalas oleh bantuan malaikat.


Kerana nikmat itu!

Dan kerana nikmat itu jugalah, kita tempuhi jalan ini,
Penuh mehnah, ranjau, kepayahan, kesusahan, keperitan dan kepedihan..
Dan kita datang, saban minggu, mengajari mereka, mendidik mereka, dan mereka memberi harapan pada kita, bahawa mereka mahu tsabat di atas jalan ini...Namun takdir Allah menentukan, akhirnya mereka pergi jauh dari kita...membawa diri,mencari identiti dan makna diri, tak mahu terikat pula dengan ‘belenggu’ islam/dakwah/tarbiyah ini...dan akhirnya mereka makin jauh, dan amat sukar digapai oleh kita...dan tentu kita amat sedih dan tertanya-tanya :

apa salahnya pada tarbiyah kita berikan pada mereka?

atau adakah ini balasan Allah pada dosa-dosa kita?

pada kurangnya tahajud, hafazan, dan tilawah?

atau kerana kita lupa sangat-sangat…

yang sebenarnya kita mahu mengajak mereka mengenali allah, meletakkan ubudiyah mereka teratas kepadaNya… cuma yang kita fikirkan mungkin, kita nak sangat pelapis di jalan dakwah ini.. ( sebab kita sangat sedikit, dan kerja dakwah sangatttttttttt banyak, dan kita nak ramai orang tolong dakwah ini….!!)

dan tentu kita nak mereka rasa, bestnya hidup dalam dunia dakwah ini!, dunia yang memang memelihara kita dari lagha dan kepenatan hidup di dunia…
ataupun inilah dia….

supaya kita rasai sangat, apa yang Rasululllah rasai di Thaif

dan Rasul2 yang lain rasai di sepanjang perjalanan hidup mereka..


أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُم‌ۖ مَّسَّتۡہُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan , sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (2:214)


Tentu juga kerana Allah mahu menyucikan jiwa kita… dan membuatkan kita betul-betul faham, kenapa kita buat kerja dakwah ini…makin kuat kita diuji, makin dalam kefahaman kita di atas jalan dakwah ini, dan makin dekat kita dengan Allah, serta tsabat insyaallah…dan tugas kita hanya memberikan peringatan, mengajak mereka mengenal jalan yang lurus dan benar ini. Jalan yang pasti menghantarkan kita semuanya ke syurga insyaallah...namun memang lumrah, ada manusia menerima, ada yang menolak...dan apa yang kita dapat pelajari di sini adalah, tebarkanlah jala dakwahmu sebesar mungkin, namun berdoalah agar hidayah itu sampai pada mereka, dan berkekalan di dalam jiwa mereka...di dunia ini, berapa ramai sahaja yang akan menjadi pekerja Allah...lebih ramai yang menjadi penonton semata-mata...tak apalah jika Allah extractkan pada kita, kualiti manusia yang benar-benar Allah pilih untuk mengembani risalah ini. Moga-moga mereka akan dapat mengukuhkan saff Hunain kita ini...


Ingatlah ketika ramainya musuh menyerang hendap kaum muslimin di medan perang Hunain, ribuan orang muslimin di tika itu bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana terkejut besar apabila diserang tiba-tiba...sehinggakan Rasulullah berteriak..

‘ Wahai orang-orang beriman!!! Aku ini Rasulullah!! Aku ini Rasulullah!! Muhammad bin Abdullah!!Maralah bersama aku!!’

Kerana ketakutan yang amat, mereka tidak mendengar kata-kata baginda, sehingga Abbas terpaksa berteriak pula kepada mereka,

Wahai kaum Ansar! Wahai pasukan yang berbaih di bawah pohon samurah ( sewaktu perjanjian Aqabah)! Lantas ada yang terdengar dan terus menyahut:

ya! Kami sedia menerima arahan!
Sehinggakan ada dikalangan sahabat yang untanya tak mampu untuk berpusing semula ( barangkali kali takut juga?) turun dari untanya dan berlari mendapatkan Rasulullah…dan tahukah adikku, berapa ramai sahaja yang terus menerajui peperangan Hunain itu dan memperolehi kemenangan?

100 orang!

ya, dua kosong, 100!

dan bilangan asal tentera Islam adalah 12000 orang. 10000 adalah dari kaum madinah, dan 2000 adalah orang yang baru masuk Islam setelah fathu makkah…

Ya Allah, itu kiranya 0.1% je !!

dan akhirnya Allah turunkan rasa takut musuh kepada orang mukmin walaupun teramatlah sedikit orang mukmin di tika itu…. Dan atas dasar taqwa dan iman kepada Allah itulah, akhirnya mereka menang di Hunain…

Allahu akbar!!!

Kiranya, cukuplah dapat kita cari 0.1% itu! Mereka yang dapat bersama kita memikul beban dakwah ini bersungguh-sungguh hingga ke penghujung hayat mereka….dan tentu kita perlu tebarkan islam pada semua orang, tetapi jangan kecewa jika kita hanya mendapatkan 100 orang dari 12000 orang kita ajak…ataupun 1 dari 100 orang yang kita ajak…tak apa… Allah memilih hamba-hamba yang mahu diwariskan risalah ini…

Berdoalah,kita yang beramal.. keputusannya Allah yang beri...

mungkin dengan tak ramai pengikut ini, Allah nak bersihkan hati kita dari rasa bongkak, takbur dan yakin diri, supaya kita betul2 rasa, adik2 yang dapat menjadi pekerja dakwah ini, bukanlah kerana tangan kita pun yang mendidiknya, tetapi kerana hidayah Allah semata-mata...

Wallahua’lam...

Buat adik-adikku, bersabarlah…

Friday, November 6, 2009

Apakah esok itu untuk kita?

Jangan tunggu hari esok. Hari ini adalah hari kita. Kesempatan ini adalah milik kita. kita tidak tahu apa akan jadi sebentar lagi. Mati? Atau kita dilalaikan dengan dunia yang sentiasa memunculkan nikmat nikmat yang kita tak jangka sehingga kita diracun oleh syaitan untuk mengikutinya.

Teruskan akhi.

Teruskan ukhti.

Tiada masa rehat untuk kita. Rehat kita adalah kita berada dinuansa amal. Rehat kita adalah menyeru manusia.

Rehat kita adalah solat.

Rehat kita adalah tilawatul quran.

Rehat kita adalah bersama Almathurat.

Rehat kita adalah bersama komputer didepan kita menulis tazkirah dan peringatan kepada manusia.

Dan sesungguhnya tempat Rehat dan Rawat yang terbesar bagi kita adalah keberadaan dalam suasana Jamaah yang seperti jamaah Rasullulah SAW.

Jamaah menyuruh kita intima’.

Maka mari kita berintima’.

Bukan semua manusia Boleh berintima’ kecuali bagi mereka yang benar benar menyerah diri untuk ditarbiyah.

Intima’ kepada islam dan jamaah bukan bermakna ingin mengungkung kita.
Mengikat kita.


Sehingga kita rasa kita tidak merdeka. Tetapi adalah untuk merawat kita. Menjaga kita dari terkena virus virus yang merbahaya. Menjaga kita dari hasutan nafsu dan syaitan yang sentiasa menyerang kita bertubi tubi. Dalam terang dan dalam kegelapan.


Ingat! Akhi Ukhti.

Kita telah banyak berhutang kepada dakwah dan orang yang melakukan dakwah sebelum ini. Tanpa mereka, kita tak kan dapat kenal islam yang syumul. Kita tak kan kenal usrah. Kita tak kan kenal Jamaah yang kita berada sekarang. Kita tak kan kenal betapa wajibnya kita melaksanakan dakwah.


Kita masih belum merdeka lagi dalam hidup ini sebelum menjelaskan hutang piutang yang banyak ini. Kita bukan hanya menerima ” Lafzhah” sepatah dua patah tetapi kita menerima Islam dari murabbi terdahulu dari pengorbanan mereka.


Bertahun tahun.
Diatas susah payah mereka mendidik kita. tarbiyah kita.
Terkadang hancur hati mereka dengan sikap acuh tak acuh kita dibawah tarbiyah mereka. Mereka bersabar. Berdoa untuk kita. Sehingga kini kita jadi hamba yang berilmu dan berguna kepada deen ini berkat kesabaran mereka terhadap kita.


Apakah selepas ini kita diam. Dan beramal sendiri sendiri.

Infardhi.

Betulkah tindakan kita?

Puaskah hati kita? Dengan sikap mensolehkan diri kita sahaja.

Selamatkah kita?

Apakah hutang piutang kita selesai dihadapan Rabbul Jalil nanti?

Memang sepantasnya dan tanpa ragu ragu, jawapannya adalah tidak!

Kita harus memberikan contribution kepada dakwah ini sebagai bukti dan wujudnya intima’ kita kepada Islam.

Misi dakwah dibebankan kepada kita pula! Kita harus memikulnya dengan sesungguh hati tanpa berbelah bagi sebagai satu masuliyah.


Cerminan Alfahmu ( Kefahaman ) kita terhadap deen ini dan kepada gerakan dakwah ini adalah apabila kita mantapkan diri kita dengan kerja kerja dakwah yang tiada ujung ini.


Berubahlah. Berfikrahlah dengan fikrah sebenarnya. Mungkin kita tidak sama dengan Sabiqunnal Awwalun dari generasi saf awwal tapi kita harus bersyukur kerana kita menjejaki mereka.


Mari kita menyegerakan amal.

Bersegeralah melakukan amal amal soleh sebab fitnah akan datang bagai sepotong malam yang gelap. Seseorang yang paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Dan seseorang yang petangnya kafir, paginya menjadi mukmin. Dia menjual agama dengan harga dunia.
~ HR Muslim


Ikhwah Akhwat Fillah

Kemuliaan darjat kita disisi Allah disebabkan oleh kesungguhan kita merespon seruan kebajikan dan mengamalkannya tanpa banyak persoalan dan alasan.

Orang tua akan senang jika menyuruh anaknya mengerjakan sesuatu lalu dikerjakannya. Sebaliknya ia akan marah jika sianak menunda nunda mengerjakannya.

Demikian pula Allah. Seruan kebajikan dikumandangkan untuk segera diamalkan.

Asset waktu kita hanya sesaat ini ya akhi ukhti!

Milikilah saat ini.

Apa akan terjadi esok ?

Kita tidak tahu.

Kelmarin bukan milik kita lagi.

Segala kebaikan dan keburukan semalam tidak bisa kita ulang lagi.

Menjadi kenangan.

Jika baik. Bersyukurlah.

Buruk! Bertaubat dan perbaikilah!

Masih beruntung kalau kita bersyukur hari ini bukan penyesalan yang tidak ada artinya!
Esok adalah ghaib.

Kita tidak tahu. Hanya Allah yang tahu.

Kita tidak tahu apakah esok hari masih bisa menghirup udara pagi?

sekadar muhasabah diri....

Tertitisnya airmata ummah lantaran dakwah kehilangan da’i

Guruku ku pernah berpesan

Jangan kamu tinggalkan dakwah sekali pun kamu berjaya sehingga kehujung langit

Mungkin perkara ini berat untuk ku perkatakan namun atas masuliyah sebagai seorang aktivis dakwah ingin aku peringatkan kepada adik adik ku yang telah berjaya didalam dunia pelajaran agar jadikan dakwah sebahgian dari kehidupan.

Suffiyan Assauri, pada satu hari berada dalam keadaan sedih. Bertanya saudaranya ” kenapa kamu berkeadaan begini?” Jawab Suffiyan

Kita telah menjadi tempat perniagaan bagi putera puteri dunia. Apabila seseorang mempunyai kelulusan dan dilantik menjadi Qadhi, maka berlaku perkara menyedihkan. Islam telah mengajar mereka untuk merebut peluang peluang demi kepentingan dakwah. Tetapi apabila peluang peluang baik itu diterima, maka mereka menjadi lemah dan tidak bermaya lagi”.


Dakwah ini membuka peluang untuk seseorang sampai ke Universiti. Mereka diberi peluang oleh kerajaan dan diberi wang ringgit untuk belajar. Diluar negeri mereka dikawal dari pekerjaan yang tidak syarie. tetapi apabila pulang, mereka menjadi futur. Mereka mencari alasan untuk mengelak diri dari bekerja dibidang dakwah. Mereka yang cerdik dan berijazah meninggalkan medan dakwah, manakala yang lemah pula terus kekal. Akhirnya bebanan dakwah yang berat tidak terpikul. Manakala jemaah pula tidak cukup tenaga, tidak dapat bertindak segera dan berkesan terhadap keperluan2 segera.


Tidak sepatutnya bidang dakwah menjadi tempat perniagaan semata mata. Hingga bilamana ekonomi telah kukuh, maka da’i lari dari jamaah untuk elak diri dari dibebani. Ini kerana kerja dakwah menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Sesungguhnya amat ramai lepasan graduate yang menolak dari menerima beban dakwah ini. Seolah olah Universiti dijadikan papan catur dan medan perancangan musuh musuh islam untuk menghancurkan islam dan gerakan islam.


Marilah adik adik, jadikanlah degree kamu untuk berkhidmat lidinnillah untuk kepentingan harakah dan islam. Sungguh sedikit mereka yang mendapat kedudukan dan kemasyuran menjalankan kerja dakwah. Berikanlah sumbangan yang positif terhadap kerja kerja dakwah. Kita semua perlu cerdik apabila berhadapan dengan musuh musuh islam samada yang nampak atau yang tersirat dalam apa jua tindakan. Ingat sisa umur kita. saydina Ali berkata:


Sesungguhnya dunia ini telah berangkat pergi dan akhirat itu berangkat datang. Bagi tiap tiap satu, ada putera masing masing. Maka jadikanlah kamu putera puteri akhirat dan bukan putra putri dunia. hari ini hari amal dan tiada hisab, dan dihari akhirat hari hisab dan tiada amal. Beramal dan berjihadlah untuk hari akhirat kita. Umur kita adalah singkat. mungkin esok atau lusa kita berada diliang lahad.

Fikirkanlah. Insyaallah.

Wednesday, November 4, 2009

Rumahtangga Islam Pencetus Generasi Pejuang

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah, merupakan dua kewajipan asasi di atas jalan dakwah wajib kepada setiap muslim lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya. Iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang lelaki aqidah yang wajib dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut di ikuti. Kita sangat memerlukan rumah tangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan kepaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di masa pembentukan dan persediaan. Rumahtangga lah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Setiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapanya lah yang menjadikan Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi¡¨

Hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan pembangunan rumahtangga, tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu makalah atau dua makalah sahaja akan tetapi perlulah kita merujuk kepada kitab-kitab dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu Cukuplah di sini kita menerangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.


A: Pemilihan:

Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah, wajib lah ke atas keduanya, masing-masing memilih pasangannya. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang salihah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang salih, sebagai kongsi hidup suami isteri.Dari awal-awal lagi hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya,memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Iaitu seorang penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi markas dakwah dan
jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepada yang demikian dengan sabda baginda:

”Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".

Oleh kerana itu Rasulullah (s.a.w.), tidak mengakui hak wali yang menikahkan puterinya dengan seorang lelaki yang tidak di sukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang salih. ( didalam keadaan yang menepati syarat-syarat nya)


B: Beriltizam Dengan Batas-Batas Islam:

Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin\baharu atau berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak. Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala atau pun yang menjadi rintangan di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak di laksanakan akad-nikah itu di Masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari segala sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar. Akad nikah di dalam Mesjid tidak di gemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam. Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan juga akad nikah itu di dalam mesjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi perkara lumrah dan di sukai oleh manusia. Sesungguhnya itu lah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan.Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

C: Kebahagiaan Rumahtangga Yang Di Cita-Citakan:

Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.
Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir” (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.


D: Perkahwinan Itu Ibadat:

Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah. Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.


Oleh itu putera puteri Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang bermaksud:

" Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)


E: Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai:

Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh
dan ke pura-puraan. Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin
dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.


F: Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin Oleh Suami:

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura', tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ
وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ
”Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya; dan suami mempunyai satu kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah : 228)


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى
بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

”Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kuam wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan juga kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan harta mereka”. (An-Nissa': 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam. Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolak bandingnya hingga ke hari ini.


G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ
وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

”Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (At Tahrim : 6)

Rasulullah s.a.w bersabda:
” Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta'aala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:

" Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai
pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.


Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w. Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

I: Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya :

Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.


Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. La menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara
satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang
mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.

Untuk itu, mujahid mujahidah Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

TEGAKKANLAH RUMAH TANGGA MUSLIM
Jalan Dakwah
Mustaffa Masyhur

Sunday, November 1, 2009

JANGAN MERAJUK WAHAI DUAT

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup bukanya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya

Sembahlah Allah Yang Maha Esa

Tinggallah berhala yang tidak bernyawa

Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima

Nabi diejek dan Nabi dihina

Baginda tidak berputus asa

Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa

Umatnya masih menderhaka

Lalu dia pergi membawa hati

Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang

Membawa diri ke rantau orang

Malangnya laut bergelombang

Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan

Terjun ke laut penuh bergelora

Baginda ditelan ke perut Ikan Nun

Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya

Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa

Menangislah Nabi penuh duka

Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah Kisah seorang Nabi

Diuji Allah begitu sekali

Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang engkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.”(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Anbiyaa’:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali-‘Imran:139)

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all