Sunday, August 17, 2008

MUHASABAH SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Sesungguhnya puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu syiar yang menyatukan kaum muslimin. Ini mengingatkan mereka bahawa Rab mereka adalah satu, deen mereka satu, kiblat mereka satu, dan tujuan mereka juga satu. Lebih daripada itu, Ramadhan membuktikan bahawa mereka adalah umat yang satu, berbeza daripada umat manusia yang lain. Ia juga mengingatkan mereka bahawa umat yang berselerak ini tidak boleh kekal dalam perpecahan menjadi lebih dari 50 buah negara boneka yang kecil. Mereka juga tidak boleh kekal tanpa Khilafah yang menyatukan mereka, serta tidak boleh terus-menerus hidup tanpa penerapan syariat Islam yang menjadikan mereka kuat dan mulia.

Dengan datangnya bulan Ramadhan yang diberkati, sepatutnya kaum Muslimin berfikir sejenak sebagaimana yang dilakukan setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan dengan melakukan pembaikan diri (muhasabah) dan pengkajian. Perbaikilah diri kita sebelum kita dihisab oleh Allah Subhanahu wa Taala. Apakah jasa dan sumbangan yang telah kita berikan terhadap Islam sehingga saat ini? Adakah kita telah berusaha menghidupkan semula hukum-hukum Islam yang telah hilang? Adakah kita telah mematikan bid’ah dan menghidupkan sunnah? Adakah kita telah melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar? Adakah kita turut serta dalam mengembangkan dakwah Islam serta menggabungkan diri dalam aktiviti-aktiviti untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah? Atau adakah kita hanya redha dengan keadaan yang ada dan berdiam diri dengan sistem kufur yang diamalkan? Dan adakah kita langsung tidak mahu terlibat dengan aktiviti-aktiviti untuk menerapkan syariat Islam, sebaliknya pasrah hidup di bawah syariat (hukum) kufur?

Umat Islam pada ketika ini ditekan dan dizalimi dengan lebih dahsyat jika dibandingkan dengan waktu-waktu sebelum ini. Pada masa yang sama, umat Islam merasakan seolah-olah sudah tidak ada sesiapa pun yang dapat melepaskan diri mereka daripada keburukan yang menimpa selain Allah Subhanahu Wa Taala. Umat merasakan bahawa kini semua pihak telah datang mengerumuninya dengan rakus, merobek dan memakan dagingnya. Hal ini telah dikhuatiri dan disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabdanya:

“Kelak bangsa-bangsa lain akan datang mengerumuni kalian sebagaimana orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan”. [HR Abu Daud daripada Tsauban].

Setelah memuhasabah diri, kaum Muslimin wajib mengkaji keadaan mereka pada saat ini lalu membandingkannya dengan keadaan yang mereka alami pada Ramadhan yang sebelumnya, iaitu mengkaji perkara-perkara yang menguatkan dan yang melemahkan diri mereka. Mereka hendaklah memahami unsur-unsur yang mampu meninggikan, memuliakan dan membangkitkan diri mereka serta mendorong ke arah cita-cita bahawa pertolongan Allah itu adalah dekat. Di samping itu menjauhkan diri daripada unsur-unsur kemunduran, kehinaan dan ketinggalan yang boleh melambatkan sampainya pada keberhasilan, bahkan yang boleh menjadi penghalang kepada jalan kejayaan. Umat wajib meneliti sebab-sebab tersebut sehingga mereka dapat menghindari perkara-perkara yang melemahkan atau yang menghina diri mereka atau yang dapat menghalang datangnya pertolongan Allah ke atas mereka, lalu mengambil sebab-sebab yang dapat menguatkan, meninggikan dan memuliakan mereka.


Bertaqwa Kepada Allah

Allah telah mewajibkan kita berpuasa agar kita menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu Wa Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (TMQ al-Baqarah [2]:183).

Allah telah menentukan hikmah bagi orang yang berpuasa iaitu ‘taqwa’. Taqwa seperti yang didefinisikan oleh sebahagian Salafus Sâlih adalah: ‘Takut kepada Allah Yang Maha Agung (al Jalîl), menerapkan wahyu yang diturunkan (at Tanzîl), dan mempersiapkan diri terhadap hari keberangkatan/kematian (ar Rahîl). Takut kepada Allah mampu menjadikan seseorang individu

itu dekat kepada Allah dan tunduk kepadaNya. Ia diselimuti oleh suasana penuh keimanan yang kuat. Ketahuilah bahawa peperangan terbesar yang pertama di dalam Islam adalah perang Badar yang ditempuhi oleh kaum Muslimin pada bulan Ramadhan ketika perasaan mereka diliputi oleh taqarrub (dekat) kepada Allah. Berkenaan dengan hal ini, Allah telah berfirman:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (TMQ al-Baqarah [2]: 216).

Akan tetapi para sahabat radhiallahu anhum telah memikul beban yang berat itu dengan rasa tenang dan gembira. Dalam hal ini para sahabat radhiallahu anhum merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Mereka adalah generasi terbaik daripada umat terbaik yang diturunkan untuk seluruh manusia. Puasa mereka sedikitpun tidak menghalang untuk menjalankan kewajiban-kewajiban lain yang lebih berat, seperti berperang dan perbuatan-perbuatan berat lagi mulia yang lain. Bahkan perkara-perkara tersebut semakin mendekatkan diri mereka kepada Allah dan menambahkan lagi dorongan pada diri mereka untuk berkorban, baik harta ataupun nyawa. Sejarah telah mencatatkan bahawa perang Badar Kubra terjadi pada bulan Ramadhan. Begitu juga dengan penaklukkan kota Makkah al-Mukarramah yang juga terjadi di bulan yang diberkati ini.

Para sahabat memahami bahawa Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan ke atas kaum Muslimin serta menjadikannya sebagai bulan untuk berlumba-lumba melakukan amal kebaikan dan amal soleh. Mereka sangat berpegang teguh dengan sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam:

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah membukakan (dan menurunkan) untuk kalian rahmat, mengosongkan (menghapuskan) kesalahan-kesalahan, mengabulkan doa. Allah subhanahu wa taala melihat persaingan antara kalian dan para Malaikat menyenangi kalian. Allah akan menyirami kalian dengan kebaikan. Dan sesungguhnya celakalah bagi sesiapa yang telah diharamkan ke atasnya rahmat Allah ‘azza wa jalla. [HR Thabrani daripada Ubadah bin Shamit].

Itulah yang diraih oleh orang-orang yang bertakwa daripada generasi salaf umat ini, yakni berupa keagungan dan kemuliaan daripada Allah ke atas amal-amal mereka. Hal ini telah termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ketahuilah bahawa pertolongan/kemenangan yang Allah janjikan kepada mereka terjadi di bulan Ramadhan dan ia merupakan kemenangan/pertolongan yang paling besar iaitu penaklukkan kota Makkah. Itulah yang diberitakan oleh Allah di dalam kitabNya yang mulia:


“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu melihat manusia memasuki deen Allah dengan berbondong-bondong”.
(TMQ an-Nashr [110]: 1-2).

Dan firmanNya lagi: “Dan Allah menolong kamu terhadap mereka serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. (TMQ at-Taubah [9]: 14).

Demikianlah hal ini telah menunjukkan pengajaran bahawa Allah Subhahu Wa Taala akan menolong orang-orang yang menolongNya, yakni Dia menolong orang-orang yang berpegang teguh kepada deenNya.


Turunnya al-Quran

Allah Subhanu Wa Taala telah menurunkan al-Quran di bulan Ramadhan. Allah memberi petunjuk melalui al-Quran tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengikutinya, dan menyesatkan sesiapa sahaja yang menyimpang daripadanya. Di dalam al-Quran itu terdapat petunjuk dan penjelasan kepada petunjuk (berisi keterangan-keterangan tentang hukum), dan juga sebagai pembeza (antara haq dan batil). Allah berfirman:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan tentang petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)”. (TMQ al-Baqarah [2]: 185).

Lebih daripada itu, Allah juga telah menjelaskan tentang segala sesuatu sehingga tidak ada satu masalah pun kecuali ada hukum yang menjelaskan berkenaannya, walaupun masalah tersebut sentiasa muncul dan jenisnya bermacam-macam. Allah berfirman:


“Dan Kami turunkan kepadamu al-kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu”.
(TMQ an-Nahl [16]: 89).

Allah telah mensyariatkan Islam kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai satu-satunya agama yang benar, bukan seperti yang disangka oleh kaum kafir. Islam adalah deen yang mengatur hubungan manusia dengan Rabnya, yang mengatur hubungan dengan dirinya sendiri, dan yang mengatur hubungannya dengan sesama makhluk baik manusia mahupun makhluk-makhluk yang lain. Aktiviti menerapkan wahyu yang diturunkan oleh Allah termasuklah penerapan hukum-hukum syariat (Islam) secara total di pelbagai aspek kehidupan manusia, baik secara individu, berkelompok mahupun bernegara dan ini merupakan penyebab hakiki untuk kemuliaan Islam serta kaum muslimin. Di dalam penerapan itulah terdapat keagungan dan kewibawaan mereka di hadapan musuh-musuhNya. Allah berfirman:


“Padahal kekuatan (kemuliaan) itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui”.(TMQal-Munafiqun[63]:8).

Sebaliknya, semakin jauhnya kaum muslimin daripada Islam dan hukum-hukumnya, itulah penyebab hakiki kelemahan mereka, kemunduran dan kenestapaan diri mereka. Firman Allah:

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” (TMQ Taha [20]: 124).

Sekarang kaum muslimin telah pun sedar bahawa Islam bukanlah semata-mata syiar-syiar ibadah ritual, tetapi ia merupakan deen yang sempurna. Ia merangkumi akidah, syariat, hukum, politik, dan risalah ke seluruh dunia. Berkenaan hal ini Allah subhanuwataalaberfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu deenmu, dan telah Aku cukupkan ke atasmu nikmatKu, dan Aku meredhai bagimu Islam sebagai deenmu”.(TMQal-Mâidah[5]:3).

Kaum muslimin juga telah sedar tentang kewajiban menegakan Khilafah yang akan menerapkan Islam secara total. Begitu juga kaum muslimin kini telah sedar bahawa kafir Barat telah membuat pelbagai tipu daya terhadap Islam serta hendak memadamkan cahayanya. Akan tetapi, merugilah usaha Barat dan seluruh kekufurannya itu kerana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (deen) Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain daripada menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan deen yang benar untuk dimenangkanNya ke atas segala deen (agama dan ideologi), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.(TMQat-Taubah[9]:32-33).

Semoga laknat Allah sentiasa menimpa golongan kuffar musuh-musuh Islam dan semoga pertolongan serta rahmatNya sentiasa tercurah ke atas golongan yang berusaha meninggikan agamaNya.
Amin ya Rabbal ‘alamin.

0 comments:

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all