Tuesday, June 21, 2011

Cinta Suci...

Tidak sempurna keimanan seseorang, sehingga ALLAH dan RasulNYA lebih disayangi dari dirinya sendiri, hartanya, keluarganya dan manusia seluruhnya. (Al-Hadith)
Mencintai ALLAH s.w.t. dan RasulNYA bukan sekadar pada ucapan, tetapi mestilah diiringi dengan ketaatan. Ramai dari kita yang berselawat dan berarak semasa Maulid Nabi, kononnya untuk menzahirkan kecintaaan kepada Rasulullah SAW yang dicintai, tetapi pada masa yang sama syariat agama tidak kita patuhi; Pantang larang ALLAH s.w.t. tetap kita langgari dan
perintahNYA tetap kita engkari. Kalau beginilah caranya kita melahirkan
kecintaan, maka jauhlah kita dari apa yang ALLAH s.w.t. beritakan. Firman ALLAH s.w.t. di dalam Al-Quran: Katakanlah (wahai RasulKU)! Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH,
ikutlah aku (Nabimu), nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu.

ALLAH Maha pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali Imran, 3 : 31)
Bila seseorang mengikuti perintah Nabi SAW, bererti ia mencintai akan
Islam, sebaliknya jika kita mengengkari apa yang Nabi SAW ajari,
bermakna agama Islam kita benci. Sesungguhnya tiada yang lebih Rasulullah SAW
cintai dari umat-umatnya yang mematuhi segala apa yang Baginda SAW
ajari. Pernah sekali Rasulullah SAW bersabda yang bererti:
Semua umatku masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Siapa yang
mentaati akan aku akan masuk syurga dan siapa yang mengengkari aku bererti ia
enggan (masuk syurga). (Hadith Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Dan Rasulullah SAW bersabda lagi: Sesiapa yang menghidupkan akan sunnahku adalah bersama ia bersamaku di dalam syurga. (Hadith Riwayat Ad-Daraquthny dari Aisyah r.a.)

Malangnya pada zaman sekarang, hukum ALLAH s.w.t. kita tidak pandang;
sunnah Rasulullah SAW kita letak belakang; Sistem buatan manusia jua
yang kita pegang walaupun dalam Al-Quran telah ada undang-undang. Sedangkan
dalam Al-Quran ALLAH s.w.t. telah tegaskan bahawa Islamlah cara hidup
yang telah ALLAH s.w.t. sempurnakan. Firman ALLAH dalam Al-Quran:
Pada hari ini orang kafir telah berputus asa (dalam usaha memesongkan
kamu) dari agama kamu. Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada
mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKU. Pada hari
ini telah AKU sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah KU cukupkan
kepadamu ni'matKU, dan telah KU redhai Islam itu menjadi agama
(peraturan hidup) bagimu. (Surah Al-Maidah, 5 : 3)
Kita mengaku beragama Islam dan beriman dengan Al-Quran, namun dalam
kehidupan seharian, Islam diamalkan bila ada kepentingan. Dalam
pemerintahan, agama Islam hanyalah tinggal dengan jabatan. Ada mahkamah
syariah, namun hukum Islam mahkamah buat endah tak endah. Syariah kata
penzina mesti direjam sampai mati atau disebat seratus kali, tiba-tiba
mahkamah syariah hukum penzina dengan denda yang ringan sekali. Rasanya
mahal lagi denda mencemar alam, dari denda mencemar kehormatan Islam.
Jika inilah amalan kita, mungkin kita masuk dalam golongan yang ALLAH
s.w.t. terangkan dalam kitabNYA: Dan barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, kami biarkan ia
berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan KAMI
masukkan ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.
(Surah An-Nisa, 4 : 115)

Begitu pulalah dengan kecintaan kita kepada kedua ibubapa.
Sewajarnyalah kita menyatakan kecintaaan kita dengan berbuat baik kepada mereka, baik
semasa mereka masih ada, dan terlebih lagi semasa mereka telah
meninggal dunia. Sesungguhnya roh orang yang telah tiada amat ternanti-nanti akan
kiriman dari anak-anaknya. Mengenai kiriman kepada roh-roh mereka yang
kita cinta, Nabi SAW telah bersabda: Pada suatu ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba beliau didatangi seorang lelaki dari Bani Salamah, ia bertanya: Wahai
Rasulullah! Apakah masih tetap ada perbuatan baik terhadap kedua orang
tuaku yang dengannya saya berbuat baik kepada keduanya setelah mereka
meninggal? Baginda menjawab: Ya! solatlah atas mereka, mintalah ampunan
bagi mereka, tunaikanlah janji mereka sepeninggalan mereka,
sambungkanlah sanak saudara yang disambungkan hanya kerana mereka, dan hormatilah
Tuhan mereka. (Hadith Riwayat Abu Dawud dari Abu Usaid Malik bin Rabiah As
Saidi r.a.)

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
Apabila seorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya
melainkan daripada tiga sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu
pengetahuan yang dapat diambil kemanfaatan daripadanya dan anak soleh
yang akan mendoakan untuknya. (Hadith Riwayat Muslim dari Abu Hurairah
r.a.) Dalam membuat kiriman, pastikanlah bahawa kiriman itu kiriman yang
meringankan penderitaan. Janganlah pula kita kirimkan kiriman yang
menambahkan kesakitan. Sabda Rasulullah SAW:
Takutlah kamu kepada ALLAH, dan janganlah kamu menyakitkan orang yang
telah mati dengan amalan-amalan jahat kamu. (Al-Hadith)
Apabila seseorang yang kita cintai meninggal dunia, tidak cukuplah
hanya mengadakan tahlil sekali sekala, atau menziarahi kubur dipagi raya.
Seharusnya kita memperbanyakkan amalan kebaikan, agar roh mereka
dilimpahi kesejahteraan, dan jauhilah dari melakukan amalan-amalan
kejahatan yang menambah penyiksaan. Itulah sebaik-baik kiriman untuk
orang yang kita cintai, dan itulah yang dinamakan cinta yang suci.

Tugas Suami Isteri Membentuk Keluarga Bahagia...

Perkahwinan dan membentuk rumahtangga adalah perkara
yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia. Perkahwinan melahirkan zuriat.
Sesuai dengan fitrah manusia sebagai makhluk yang istimewa maka agama Islam yang maha suci telah menetapkan garis panduan yang harus diikuti oleh manusia, baik lelaki mahu pun perempuan.

Pembentukan rumahtangga yang bahagia dan teratur amatlah dipandang berat dan diberi keutaman dalam Islam. Kerana rumahtangga yang sempurna sahajalah dapat menjamin lahirnya generasi berguna untuk memimpin negara kelak.
Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21 bermaksud:

"Dan setengah daripada kekuasaan Allah bahawa Allah
telah menjadikan bagi kamu isteri-isteri (perempuan) supaya kamu berumahtangga
bersamanya dan Allah jadikan di antara kamu perasaan kasih sayang dan bertimbang rasa, sesungguhnya keadaan demikian menjadi tanda dan pengajaran bagi mereka yang berfikir."


Hidup berkeluarga

Ayat di atas, jelaslah agama Islam menggalakkan umatnya bernikah dengan cara itu sahajalah dapat menjamin kebahagian hidup antara lelaki dan perempuan.Secara kasarnya, rumahtangga itu bermakna hidup berkeluarga antara suami isteri dan anak-anak dan menjadi satu bentuk
masyarakat yang kecil. Rumah tangga yang diredhai Allah pula bermaksud rumahtangga
yang dibina menurut lunas-lunas dan hukum-hukum Allah s.w.t. dan harus diikuti oleh setiap individu. Pada hakikatnya, bukanlah satu perkara yang mudah untuk membentuk sebuah rumahtangga yang aman damai menurut lunas-lunas
Islam. Banyak juga yang kita dengar dan lihat sebuah rumahtangga yang dibina atas
asas kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama
lain, tetapi berakhir dengan penceraian dan porak peranda. Inilah satu hakikat yang harus diterima oleh kita semua. Kita semua maklum, untuk membentuk rumahtangga yang
bahagia, memerlukan kesedaran dan tanggungjawab di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, suami isteri haruslah bersedia bertolak ansur dan mengetahui hak-hak serta tanggungjawab masing-masing. Dengan mengetahui hak-hak dan tugas masing-masing,
setiap pasangan itu akan mengetahui batas dan tugas yang harus dilakukan untuk kebaikan bersama. Hak di sini bermakna nilai atau keistimewaan untuk orang-orang tertentu, manakala tanggungjawab pula bermaksud beban tugas yang harus dilaksanakan oleh seseorang. Hak dan
tanggungjawab adalah dua asas utama yang saling berhubung kait antara satu sama lain.
Hak suami adalah menjadikan tugas isteri untuk melaksanakannya dan hak isteri pula menjadi tugas suami memikulnya. Manakala hak anak menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa dan hak kedua ibu bapa pula menjadi tanggungjawab anak melaksanakannya. Sekiranya suami atau isteri menyedari hak dan melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing, sebuah rumahtangga itu akan menjadi sempurna.
Di antara hak-hak bersama suami isteri adalah seperti
berikut:

# Amanah: Antara suami isteri hendaklah ada sifat-sifat amanah dan memelihara kepentingan antara satu sama lain.

# Antara satu sama lain hendaklah saling percaya mempercayai dan tanpa perasaan curiga dan syak wasangka. Dengan cara ini terjalinlah rumahtangga yang harmoni dan aman.

# Kasih sayang dan bertimbang rasa antara satu sama lain.

# Pergaulan antara suami isteri hendaklah dengan cara yang baik dan ramah tamah, perlunya sikap tolak ansur dan saling mengerti antara satu sama lain.

# Setiap pihak hendaklah bertolak ansur dan memahami masalah yang dihadapai. Hanya dengan perasaan simpati dan bertimbangrasa sahajalah segala masalah akan dapat diselesaikan.

Si suami hendaklah mengetahui kewajipan mereka terhadap isteri dan kewajipan-kewajipan itu pula hendaklah dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Antara kewajipan si suami terhadap isteri dapatlah digariskan sabagaimana berikut:

# Pergaulan yang baik dengan isteri. Si suami hendaklah menyara nafkah, memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal untuk isterinya. Di samping itu si suami juga hendaklah
mendidik isterinya dan memberi didikan agar si isteri menjadi orang yang sopan santun
dan mentaati agama. Selaras dengan ini Tuhan berfirman dalam surah an-Nisak ayat 34 bermaksud:

" Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyu) hendaklah kamu menasihati mereka dan jika mereka masih berdegil pulaukan mereka di tempat tidur dan kalau mereka juga masih berdegil pukullah mereka (dengan pukulan ringan
yang bertujuan mengajarnya) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah
kamu mencari-cari jalan menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." Ayat itu jelaslah Islam menyuruh si suami bergaul dengan isteri
dengan sebaik-baiknya. Si suami dibenarkan memukul isteri semata-mata untuk tujuan mengajarnya.


# Si suami juga dikehendaki memberi bimbingan dan pelajaran agama yang sewajarnya kepada isteri. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jaga olehmu akan diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka."

# Menjaga rahsia isteri. Si suami wajib menjaga rahsia isteri jangan membuka rahsia isteri baik di depannya mahupun di belakangnya.

# Si suami hendaklah mendidik isteri, melatih isteri dengan cara hidup, pergaulan dan juga berpakaian. Si suami adalah diamanahkan untuk membentuk isteri, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dan lelaki (Suami) adalah gembala (pemimpin) keluarganya dan beliau akan
disoal mengenai kepemimpinannya."

# Sekiranya si suami beristeri lebih daripada satu, si suami hendaklah berlaku adil, baik di segi nafkah zahir mahu pun batin dan adil di segenap sudut. Setelah mengetahui secara rengkas kewajipan si suami terhadap isteri, eloklah pula kita mengetahu kewajipan isteri terhadap
suami. Di antara kewajipan isteri terhadap suami adalah seperti berikut:

# Taat dan mematuhi kehendak suami. Tetapi patuh kepada perintah suami selagi kehendak itu tidak bercanggah atau melanggar hukum-hukum Allah. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sekiranya aku diperintah akan seseorang menyembah akan seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh perempuan menyembah suaminya."

# Si isteri juga hendaklah memelihara maruah diri dan
kemuliaan si suami. Si isteri dikehendaki menjaga diri dan maruah baik di depan atau di belakang suami. Di samping itu si isteri hendaklah mengatur perbelanjaan dan urusan rumahtangga serta menjaga harta benda suami.Sehubungan dengan ini Rasulullah s.aw. bersabda yang bermaksud:

"Sebaik-baik wanita ialah isteri yang apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya dia menjaga harta engkau dan menjaga maruah dirinya."

# Si isteri juga hendaklah sentiasa berada di rumah. Ini amatlah penting kerana sebaik-baik isteri ialah mereka yang tidak keluar tanpa keizinan suami dan menjaga pandangan,
pendengaran dan berpakaian elok yang tidak menyolok mata. Dengan cara itu mudah-mudahan akan terhindarlah daripada fitnah.

Monday, June 20, 2011

Sedang Mencari Sumber Kekuatan...

Bismillah hirrahman nirrahim....
Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w serta buat para sahabat baginda r.a,

Ntah mengapa, tiba-tiba pagi ini hati yang kecil ini teringin menaip sesuatu di ruangan blog ini yang sudah lama tidak di postkan dengan artikel-artikel terbaru, mgkin kesibukan yg mengahalang untuk diri ini meneruskan penulisan. Walaubagaimanapun syukur alhamdulillah, pagi ini diberikan kekuatan oleh Allah untuk menulis sebagai santapan rohani bagi hati yang sudah kering dengan ilmu2 agama.

Setiap hari apabila duduk termenung dan muhasabah, diriku sentiasa tertanya-tanya apakah yang aku mahukan dalam kehidupan ini. Mungkin terlalu rindu dengan kehidupan yang lalu, yang penuh dengan pengsian rohani daripada adik2 pelajar tahfiz. Walaupun mereka masih kecil, namun bibir mereka tidak lekang dengan zikrullah. Terasa kerdil diri ini bila berhadapan dengan Ilahi, terlalu rindu untuk mengecapi kemanisan iman yang telah dirasai sebelum ini.

Kehidupan yang mencabar selalu menuntut mujahadah yang tinggi. namun, persekitaran yang tidak sihat kadangkala boleh menghakis keimanan dalam diri, malahan boleh membuat kita menjadi beku untuk bergerak kerja untuk Islam. Mana mungkin hati yang sudah gelap boleh memberi sinar untuk perjuangan Islam kerana pembantu-pembantu agama Allah adalah dikalangan mereka hamba-hamba Allah yang terpilih. Sangat beruntung kepada hamba-hamba yang dipilih oleh Allah untuk membantu perjuangan Islam.





Thursday, May 5, 2011

MENUDUH ORANG DENGAN SUMPAH LAKNAT


1. Menuduh orang lain dengan suatu tuduhan perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat. Kerana ia boleh memberikan implikasi yang besar kepada yang dituduh. Bahkan keluarga dan maruah yang dituduh akan tercalar. Sebab itulah Islam membezakan di antara hukum menuduh seseorang melakukan zina dikenakan had qazaf, dengan hukum menuduh seseorang telah kufur tanpa dikenakan sebarang hukuman had.

2. Sumpah dalam bahasa Arab disebut al-yamin, al-halaf atau al-qasam yang bermaksud komitmen. Ia juga membawa arti komitmen terhadap sesuatu hukum dengan menyebut nama Allah yang Maha Agung. Ia tidak disyaratkan untuk memegang al-Quran ketika melakukan sumpah. Tetapi ia mestilah dengan menyebut nama Allah sama ada wallahi, wabillahi atau watallahi. Tidak boleh menggunakan selain nama Allah atau sifat-sifatNya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Maidah ayat 106:


Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah kamu tahan mereka selepas selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (demi Allah).

3. Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa nabi SAW bersumpah dengan sifat-sifat Allah seperti ‘Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya’. Namun nabi SAW melarang seseorang bersumpah dengan selain daripada Allah SWT. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:

Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT melarang kamu daripada bersumpah dengan ayah-ayah kamu, barangsiapa yang ingin bersumpah maka
hendaklah bersumpah dengan Allah, atau hendaklah diam. (Riwayat Muslim)

4. Terdapat pelbagai hukum tentang bersumpah ini. Para ulama’ mazhab Hanafi dan Maliki menyatakan bahawa hukumnya harus, tetapi jika terlalu banyak bersumpah maka ia dicela. Manakala ulama’ mazhab Shafie pula menyebut bahawa asal hukum bersumpah adalah makruh kecuali dalam perkara ketaatan, pendakwaan di hadapan hakim dan keperluan agama. Selain itu, nabi SAW menjelaskan kepada kita terdapat juga sumpah ghamus, diriwayatkan daripada Abddullah bin ‘Amru RA bahawa nabi SAW bersabda:

Dosa besar itu ialah syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh orang dan sumpah ghamus. (Riwayat al-Bukhari)

Ia disebut sebagai ghamus maknanya tenggelam kerana dengannya seseorang akan tenggelam di dalam neraka. Imam al-Kasani (587H) menyatakan:

Adapun hukum bersumpah dengan Allah SWT berbeza-beza mengikut jenis sumpahnya. Sumpah ghamus hukumnya wajib kaffarah dengan bertaubat dan istighfar kerana ia sangat berani. (al-Kasani, Bada’i al-Sana’i)

5. Laknat pula berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut perkataan laknat, dan kesimpulannya hanya Allah Azza wa Jalla yang berhak untuk melaknat seseorang atau kaum yang melakukan kezaliman, pendustaan, kekufuran dan kerosakan. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 44:

Dan (apabila ahli-ahli syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami, semuanya benar. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh tuhan kamu itu semuanya benar?. Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua kumpulan itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah menimpa ke atas orang-orang yang zalim.

6. Telah berlaku di Malaysia pada minggu lepas, individu bersumpah laknat sambil memegang al-Qur’an di dalam sebuah masjid, dengan tujuan menuduh seseorang yang lain. Persoalannya ialah adakah wujud sumpah laknat dalam Islam? Dan bolehkah menuduh orang lain dengan bersumpah?. Bagi persoalan ini, asasnya adalah sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kemudian kita perlu memahami pula bahawa sumpah yang diiringi dengan laknat hanya berlaku dalam dua keadaan sahaja, iaitu sama ada li’an di antara suami isteri atau yang kedua ialah mubahalah. Yang lebih penting untuk diperhatikan ialah kedua-keduanya perlu dilakukan di antara dua belah pihak yang perlu hadir bukannya seorang sahaja.

7. Li’an berlaku jika seorang suami ingin menuduh isterinya melakukan zina. Asal dalam tuduhan zina ialah penuduh mesti mendatangkan empat orang saksi dengan syarat-syarat tertentu. Ini salah satu kaedah mensabitkan kesalahan zina selain daripada iqrar (pengakuan) dan qarinah (bukti iringan). Oleh kerana mendatangkan empat orang saksi bagi seorang suami adalah sukar maka Islam memberi kelonggaran (rujuk asbab al-nuzul) dengan menggantikannya dengan hukum li’an, iaitu sumpah sebanyak empat kali dan yang kelima adalah sumpah dengan laknat. Tiada suami yang sengaja menuduh isterinya melakukan zina secara bermain-main melainkan ia serius, kerana kesannya adalah perpisahan. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Nur ayat 6-9:

Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah empat kali: bahawa sesungguhnya dia daripada orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa daripada isteri (yang dituduh) itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah empat kali: bahawa sesungguhnya suaminya (yang menuduh) itu adalah daripada orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika suaminya daripada orang-orang yang benar.

8. Manakala Mubahalah, ia pernah berlaku pada zaman nabi SAW. Baginda SAW mengajak penganut nasrani daripada Najran supaya melakukan mubahalah, ia berkaitan dengan nabi Isa. Pada awalnya kaum nasrani Najran bersetuju, tetapi akhirnya menarik diri dan bersetuju membayar jizyah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 61:

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (nabi Isa), sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah, supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

9. Imam al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan:

Dan demikian itu, nabi SAW datang bersama-sama Hasan, Husin dan Fatimah berjalan di belakangnya, dan Ali di belakang Fatimah, baginda berkata: Jika aku berdoa maka hendaklah kamu beriman. Ia adalah makna bagi ayat ‘dan marilah kita bermubahalah’ iaitu bersungguh-sungguh berdoa. Daripada Ibn ‘Abbas, Abu Ubaidah dan al-Kasa’ie: marilah kita melaknat. Dan asal bagi ibtihal (mubahalah) ialah bersungguh-sungguh dalam berdoa dengan laknat atau selainnya. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

10. Adapun menuduh orang lain melakukan zina maka hendaklah dengan baiyinah (bukti). Baiyinah ini berbeza-beza mengikut konteks, jika dalam hal luqatah (barang yang tercicir) seseorang yang mendakwa ia kepunyaannya, maka baiyinah dengan menyebut sifat-sifat barang tersebut, manakala dalam konteks ini maka empat orang saksi menjadi baiyinah. Adapun bagi yang dituduh, jika ingin menolok tuduhan maka hendaklah bersumpah. Inilah kaedah yang diajar oleh nabi SAW, diriwayatkan bahawa nabi bersabda:

Baiyinah (bukti) bagi yang menuduh dan yamin (sumpah) bagi yang ingkar (dituduh).

11. Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa nabi pernah meminta kepada seorang yang menuduh untuk melakukan sumpah bukannya dengan baiyinah sebagaimana kaedah umum di atas. Seorang sahabat nabi SAW telah dibunuh oleh seorang Yahudi, maka saudara mangsa membuat tuduhan tetapi tiada sebarang bukti, maka nabi SAW memintanya bersumpah. Dalam hal ini ia berkaitan dengan tindakan nabi SAW sebagai seorang qadhi atau hakim. Oleh itu kalaupun diterima bahawa seorang penuduh atau pendakwa boleh bersumpah maka ia mestilah dengan arahan qadhi atau hakim di dalam mahkamah, kerana konteksnya berbeza. Ini berdasarkan kepada kaedah pembahagian tindakan nabi SAW kepada tiga, iaitu sama ada sebagai ketua negara, hakim atau rasul.

Oleh itu, perlu diperhalusi sesuatu konteks sebelum kita membuat kesimpulan umum bagi sesuatu perkara. Inilah yang dinyatakan oleh Abu al-Khatab berkaitan dengan sumpah, katanya:

Bersumpah itu disyariatkan pada semua hak melainkan sembilan perkara; iaitu nikah, rujuk, talak, hamba, al-wala’, al-istilad, keturunan, qazaf dan qisas.

12. Jelas bahawa Islam adalah agama yang menjaga maruah manusia dan sangat tegas mempertahankannya. Oleh sebab itu, jika penuduh gagal mendatangkan empat orang saksi maka secara automatik ia telah menjadi qazaf (melempar tuduhan). Walaupun yang dituduh adalah lelaki tetapi ia diqiaskan kepada wanita sebagaimana dalam ayat, maka hukumnya sama. Pada waktu ini penuduh yang bakal dikenakan hukuman sebat, bukannya yang dituduh. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 4:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

13. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Hilal bin Umaiyah menuduh (qazaf) ke atas Syarik bin al-Sahmaa’ lalu dibawa berjumpa nabi SAW, baginda bersabda:

Empat orang saksi, jika tidak belakangmu akan disebat. (Riwayat al-Nasa’ie)

Dalam hal ini Ibn Qudamah al-Hanbali (620H) menegaskan:

Jika tidak cukup bilangan saksi bagi tuduhan zina, maka ke atas mereka (pendakwa) hukuman sebat menurut pendapat kebanyakan para ilmuan. (Ibn Qudamah, al-Mughni)

Kesimpulannya

1. Menuduh orang lain hendaklah dengan bukti bukannya dengan cara bersumpah, jauh sekali dengan sumpah laknat.
2. Hendaklah mengikut tatacara dan prosedur sumpah yang disyariatkan.
3. Hukuman had qazaf adalah sangat berat.


(Sumber : http://hjanhar.blogspot.com/ )

Wednesday, April 27, 2011

...:: SEORANG LELAKI BERNAMA SUAMI ::...



' Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani '

Assalamu`alaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan yang menyingkap rahsia-rahsia yang tersembunyi, yang mengetahui keadaan hati-hati, yang membolak-balikkan hati tetapi Maha Pengampun atas dosa-dosa hambanya. Selawat dan salam dicurahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W., keluarga, para sahabat serta umat baginda yang tidak pernah jemu mengerah keringat demi kelangsungan agama yang tercinta ini.

Alhamdulillah, pertama dan selamanya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan mawaddah-Nya, dapat meneruskan lagi kehidupan ini. InsyaAllah catatan kali ini berkisarkan tentang Rahsia Cinta Wanita Solehah buat ...:: Seorang Lelaki Bernama Suami ::... Walaupun diri ini masih tidak memunyai pengalaman dalam alam berumah tangga, namun terdetik dihati ini untuk berkongsi sedikit sebanyak dengan sahabat-sahabat, mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca...


~ Rahsia Cinta Wanita Solehah ~


Alangkah baiknya jika kita renungkan dulu Nasihat Rasulullah s.a.w. untuk Suami dan Isteri :

" Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan hati apabila engkau memandangnya. Dia juga mematuhimu apabila kamu memberi perintah. Apabila kamu pergi, dia menjaga dirinya dan hartamu "

" Takutlah kepada Allah dalam memimpin isterimu. Sesungguhnya mereka adalah amanah paling dekat denganmu. Barangsiapa membiarkan isterinya lalai dari mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya "

" Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia. Manakala orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti "

Subhanallah !!! Siapa tak mahu jadi wanita solehah kan? Orang lelaki pula tentulah kita nak yang soleh. Wanita solehah untuk lelaki yang soleh. Jadi... bagaimana nak jadi solehah ye? Mudahkah atau sukarkah? Jom baca dan meneliti pengisian berikut :



Acapkali pasti ada yang bertanya, bagaimanakah saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah?

Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran?

Jawapan rahsianya ialah :-


Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap. ^_^ tapi ana & suami tercinta lain pula situasinya, insyaAllah berjauhan sementara je demi menyahut seruan perjuangan menuntut ilmu Allah s.w.t.

Bukan perkara yang sukar mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta tertinggi itu.

Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit. Subhanallah !!!

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga. Alhamdulillah...Ya Allah...

Sesungguhnya, beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Syukran Lillah...

Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi. Ameen Ya Allah...

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa mencurahkan kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing ...:: Seorang Lelaki Bernama Suami ::...(*~*)

Pelihara hubungan jarak jauh


Assalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Bagaimana untuk memelihara dan mengekalkan hubungan jarak jauh yang dilalui?

Pelbagai perasaan yang merunsingkan, menyedihkan dan memeningkan apabila berada dalam situasi cinta jarak jauh ini. Malah dalam buku bertajuk : Cinta dan Kebahagiaan Rumahtangga hasil tulisan Richard Templer ada menyatakan bahawa dalam situasi sedemikian haruslah mencari bahagia sendiri. Manusia mestilah bahagia dengan diri sendiri, sebelum dapat membahagiakan orang lain.

Sebenarnya, tinggal berjauhan lantaran tuntutan pekerjaan atau pendidikan bukan bermakna anda tidak boleh berbuat apa-apa. Bak kata orang ' jauh di mata, dekat di hati '. Inilah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan rumah tangga jarak jauh. SubhanAllah!

Lantaran itu, tinggal berjauhan boleh memberikan kebahagiaan sekiranya setiap pasangan saling berkorban antara satu sama lain. Masing-masing juga perlu memberi sokongan padu antara satu sama lain demi menggarap masa depan keluarga. Kepercayaan antara suami isteri juga signifikan dalam mengemudi bahtera dunia ini. Hal ini disebabkan, ia menjadi satu kewajipan penting dalam memelihara hubungan jarak jauh.

Percayalah pada diri sendiri bahawa boleh mengatasi masalah keluarga dan percayalah bahawa pasangan tetap menjaga dirinya. Tanpa kepercayaan yang kuat semuanya boleh hancur. Kemungkinan ketakutan muncul apabila anda memikirkan pasangan akan berlaku curang apabila berada berjauhan. Na`uzubillah.

Oleh itu, usahlah risau sebaliknya berfikirlah secara positif bahawa pasangan anda mempunyai perasaan yang sama dan kerinduan yang sama. InsyaAllah. Kalau sentiasa berfikiran negatif dan su`zhoon ini akan merugikan dan menjadikan diri tertekan. Malah boleh memudaratkan dan membenamkan semangat serta kepercayaan yang selama ini dipegang bagi pasangan yang berjauhan.

Selain itu sibukkan diri. Dengan wasilah ini, ia boleh membantu mengurangkan kesunyian. Carilah aktiviti yang sesuai dengan diri anda untuk dilakukan supaya waktu yang terluang dapat terisi dengan sebaiknya. Meskipun berjauhan, kita perlu bijak membahagikan waktu dan masa untuk berkomunikasi dan berhubung seperti melalui telefon, emel, khidmat pesanan ringkas ( SMS) dan sebagainya.

Tetapi, janganlah terlalu kerap menghubungi sehingga pasangan berasa terganggu dan tidak dipercayai. Oleh itu, batasi hubungan agar rasa rindu tetap terpelihara dengan baik. Selain itu, agar hubungan terpelihara libatkan anak dalam berkomunikasi kerana anak adalah antara faktor pengikat suatu hubungan. Misalnya, ketika menelefon berilah peluang si kecil untuk berbual dan mendengar suara ibu atau ayahnya.

Selain itu, jangan jadikan jauh sebagai alasan. Cinta perlukan komitmen. Cinta juga adalah tanggungjawab. Walaupun jauh, berusahalah cari masa untuk berjumpa dengan pasangan. Sebagai contoh, si suami bekerja di Borneo manakala si isteri pula bekerja di Semenanjung, cuba cari kesempatan yang sesuai untuk berjumpa dan bercuti...^-^ Paling tidak pun apabila ada cuti panjang menjelang. Janganlah tidak berjumpa langsung. Sudah pasti rindu di hati akan semakin memberontak apabila berjauhan. Tetapi ingatlah, jangan jadikan jarak jauh itu sebagai pemusnah cinta murni itu. Sebaiknya, jadikan ia sebagai satu cabaran yang akan memberikan kita lebih bersemangat untuk meneruskan cinta. Allahu Akbar!

Boleh disimpulkan, jauh itu bukan satu perkara yang tidak baik. Cumanya, ia boleh menjadi salah satu platform untuk memupuk rasa kasih sayang dan mengajar pasangan menjadi seorang kekasih yang setia. Oleh itu, jangan lupa ye untuk mendoakan pasangan kita seusai solat kerana Allah yang menentukan segala-galanya. Hanya kepada-Nya lah sumber kekuatan cinta kita. Wallahu`alam.



' Binalah jambatan menuju hidup mulia, rumahtangga bahagia'

SUAMI : KETIKA ISTERIMU MENANGIS, GENGGAMLAH ERAT TANGANNYA



Jika isteri menangis dihadapanmu….
“hargailah dia sebelum terlewat…”

Jika seorang isteri menangis dihadapanmu,
itu bererti dia tidak dapat menahannya lagi…
Jika kau memegang tangannya saat dia menangis, dia akan tinggal bersamamu sepanjang hidupmu..
Jika kau membiarkannya pergi, dia tidak akan kembali menjadi dirinya yang dulu, selamanya!

Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah, kecuali di depan orang yang sangat dia sayangi, dia akan menjadi lemah!

Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah, hanya jika dia sangat menyayangimu.
Dia akan menurunkan rasa EGOnya.

Wahai suami-suami,
jika seorang isteri pernah menangis keranamu,
tolong pegang tangannya dengan penuh pengertian.
Kerana dia adalah orang yang akan tetap bersamamu sepanjang hidupmu
di saat kau terpuruk terlalu dalam …

Wahai suami-suami,
jika seorang isteri menangis keranamu,
tolong jangan menyia-nyiakannya.
Mungkin kerana keputusanmu,
kau merosakkan kehidupannya.

Saat dia menangis didepanmu,
saat dia menangis keranamu.
Lihatlah jauh ke dalam matanya.
Dapatkah kau lihat dan kau rasakan SAKIT yang dirasakannya keranamu ?

Apakah keistimewaan perempuan ini ?

Di sebalik KELEMBUTANYA dia memiliki kekuatan yang begitu dahsyat..

TUTUR katanya merupakan KEBENARAN..

SENYUMANnya adalah SEMANGAT bagi orang yang dicintainya. .

PELUKAN & CIUMANnya bisa memberi KEHANGATAN bagi anak-anaknya..

Dia TERSENYUM apabila melihat temannya tertawa..

Dia TERHARU, Dia MENANGIS apabila melihat KESENGSARAAN
pada orang-orang yang dikasihinya. ..

Dia mampu TERSENYUM di sebalik KESEDIHANnya. .

Dia sangat GEMBIRA melihat KELAHIRAN..

Dia begitu sedih melihat KEMATIAN..

TITISAN air matanya bisa membawa PERDAMAIAN.

Tapi dia sering dilupakan oleh SUAMI kerana 1 hal…

Bahawa “Betapa BERHARGAnya dia”…

Sebarkan ini ke SELURUH ISTERI-ISTERI yang solehah dan SUAMI-SUAMI yang kamu kenal agar mereka tidak lupa bahawa ISTERI mereka

begitu berHARGA… Dan sangat berHARGA. Wallahu`alam.

Semuanya hanyalah kerana-NYA...Amen Ya Rabb...

~MEMBERI YANG TERBAIK, MENJADI YANG TERBAIK~

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all