Wednesday, October 29, 2008

Banyakkan Ajakan, Kurangkan Ejekan....

RAMAI orang minta orang lain berubah. Anak-anak mesti berubah. Remaja sering ditanya kenapa berdegil tidak mahu berubah-ubah? Malah, ada juga orang bertanya kenapa ekonomi tidak berubah, politik pun macam dulu tidak berubah-ubah. Pendek kata, semua kena berubah.

Sebenarnya rahsia perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Jika mahu ubah keluarga, ubahlah diri dulu. Jika diri berubah barulah keluarga terubah, masyarakat berubah, malah hendak ubah negara pun ubahlah diri sendiri.
Jika hendak ubah orang lain tetapi kita tidak ubah diri kita, orang akan ketawakan kita. Maksudnya asyik memikirkan kesalahan orang, keburukan orang, kelalaian orang tetapi lupa untuk membetulkan diri. Kita berani membuka keaiban orang, membincangkan keburukan orang tetapi jarang berani melihat keaiban diri sendiri. Tidak ramai orang berani mengakui kelemahan diri. Amat sedikit orang berterima kasih apabila ditegur dan dinasihati, sedangkan agama Islam didasari dengan saling nasihat menasihati. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam itu nasihat.”


Kita perlukan remaja dan pemuda yang hebat untuk mewarisi negara dalam menghadapi cabaran global yang kompleks. Remaja yang berjiwa besar ialah remaja yang boleh menerima dan berkongsi kekuatan dengan orang tua berpengalaman. Orang tua yang hebat juga ialah mereka yang memahami dan menghormati perasaan remaja. Pendek kata, mereka yang berjiwa besar menjadi ejen pengubah dan perubahan datang daripada diri sendiri. Inilah calon orang-orang besar. Kegigihan mengubah diri sendiri membuatkan orang lain melihat dan merasakannya, malah memberi pengaruh pada orang di sekitarnya. Dia menjadi dorongan serta simpati juga untuk berubah. Kita tidak boleh menguasai hati orang untuk berubah dan orang pun susah untuk menguasai diri kita. Paling penting kita menggunakan kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan orang yang rapat dengan kita.

Mula-mula ubah diri kita, isteri kita, anak-anak kita. Jika semua bertindak proaktif begini tersebarlah perubahan itu. Ramai orang berkata “susahnya hendak ubah remaja” , “isteri degillah” , “pekerja keras kepalalah.” Jawapan sebenarnya ada di dalam diri kita, asalkan jangan terlebih dahulu menyalahkan orang lain. Memang mereka pun ada salah, tetapi kita pun ada silap juga. Mungkin cara penyampaian yang tidak kena. Kekuatan mengajak memang disuruh tetapi jangan lupa kekuatan 'memberi contoh' amat penting. Rasulullah s.a.w. diutus untuk mengajak dan memberikan contoh baik. Kita pula banyak mengajak tetapi kurang memberi contoh yang baik.

Banyakkan ajakan, kurangkan ejekan.
Berinteraksilah, jangan berkonfrantasi.
Sayangilah jangan membenci.
Perubahan bermula dari diri sendiri.

sekadar renungan dari pecinta dakwah....

TIPS TSABAT....

Persoalan tsabat ini bukanlah sesuatu yang baru diperkatakan, lebih-lebih lagi bagi para daie. Saya rasa berpuluh, mungkin beratus buku telahpun menceritakan tentang isu tsabat. Maka ini jelas menunjukkan betapa besarnya isu tsabat, dan betapa kritikalnya isu ini sehingga ianya perlu diulang berkali-kali sebagai peringatan.

Seperti Uncle Tips, saya juga suka untuk berkongsi sedikit Tips, untuk tsabat dalam dakwah dan perjuangan kerana Allah s.w.t. Namun tips ini bukan dari saya sebenarnya (Saya tak sehebat Uncle Tips :D ), tetapi saya ambil dari buah fikiran seorang insan yang telahpun berpuluh-puluh tahun berjuang dalam dakwah ini, yang masih kekal dalam usaha mendidik manusia supaya menjadi seorang Muslim yang hakiki pada aspek jiwanya, tubuh badannya, dan tindak-tanduknya.Ini tidak dapat tidak, merupakan pati kepada usaha untuk menegakkan agama Allah s.w.t ini.

Sheikh Tal'at Muhammad Shinawi, kini berusia dalam lingkungan 78/79 tahun. Mula menggabungkan diri dalam gagasan dakwah Ikhwanul Muslimin sejak umurnya 15 tahun. Sempat dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dalam dakwah Ikhwan pada tahun 60-an, apabila Syed Qutb dan ramai lagi Ikhwan diseksa dan akhirnya digantung. Pernah dipenjara berulangkali oleh rejim pemerintah Mesir, dengan jumlah 18 tahun kesemuanya. Berjuang sejak Mursyid Am Ikhwan yang ke-2, Hassan Hudaibi, sehinggalah yang terkini, Mahdi Akif. Semoga Allah memberkati hidup beliau, dan menjauhkan beliau dari sebarang fitnah dalam hidupnya sebagai seorang pendakwah.

Seorang pernah bertanya kepada beliau, "Bagaimana kau mampu untuk Tsabat di jalan dakwah?"

Dikisahkan, beliau senyap beberapa detik, kemudian memulakan jawapannya:-

• Yang pertama sekali, Tsabat ini, ialah daripada Allah s.w.t. Kita tidak ada kemampuan untuk memastikan kita Tsabat, melainkan Allah lah yang memilih siapa di kalangan manusia yang ingin dikekalkan di jalan dakwah ini. Maka, daie perlu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t agar terus kekal dalam iman dan islam, serta kekal dalam dakwah ini.

• Sebaik-baik makhluk yang tsabat ialah Malaikat. Mereka ini (malaikat) tidak pernah gagal dalam kepatuhan kepada Allah s.w.t. Mereka sujud apabila disuruh, rukuk apabila disuruh, dan apa sahaja perintah Allah s.w.t, tidak mampu mereka ingkari, malah tidak sedikitpun terlalai dari apa sahaja suruhan Allah.

Bagi manusia, kita bukan Malaikat, namun ada darjat-darjat manusia yang Allah s.w.t letakkan, agar kita mengejarnya, dan menjadi sebaik-baik manusia. Ini ditandakan berulangkali dalam al-Quran, apabila Allah menandakan kecintaan dan kebersamaanNya kepada golongan-golongan tertentu dari kalangan manusia. Contohnya:-

ان الله مع الصابرين

(Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar)

ان الله لا يحب المسرفين

(Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir)

Dan pelbagai lagi ayat seumpama ini, yang kita boleh lihat sendiri di dalam al-Quran. Maka inilah ciri-ciri manusia yang kita mesti mujahadah ke arah mencapainya. Kita berusaha dengan segigihnya untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam diri kita. Dan ini semua adalah semata-mata untuk kita mendapatkan redha dan kecintaan Allah s.w.t, agar Dia memilih kita sebagai salah seorang yang kekal berjuang demiNya.

• Faham. Iaitu memahami apakah Dakwah,tujuannya, hakikatnya, tabiat thoriq, marhalahnya,matlamatnya, cabaran yang akan datang, agar kita tahu dengan jelas apa yang kita sedang dan akan kita lakukan.

Ini cukup penting, kerana apabila mehnah berlaku, kita akan tabah menghadapinya kerana kita telahpun memahami tujuan kita perlu menghadapinya, dan kita telah faham dengan jelas tujuan kita berdakwah. Mengetahui tabiat thoriq ini dengan memahami sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat, meneliti apa yang telah mereka lakukan, cabaran yang mereka hadapi, kerana sunnah thoriq ini akan sentiasa sama seperti mana dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta mereka yang menyusuli.

• Akhir sekali, serahkanlah segalanya kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang hamba, kita beriman sepenuhnya dengan kalimah لا حول ولا قوة الا بالله. Maka berpegang teguhlah dengan maksudnya, dan lafazkannya dengan penuh perasaan. Lafazkannnya dengan penuh rasa rendah diri dan cukup mengharap kekuatan dari Allah s.w.t, meyakini bahawa tiada kekuatan yang datang kepada kita untuk menghadapi apa sahaja, melainkan ianya datang dari Allah s.w.t sendiri.

Itu sahajalah yang saya mampu kumpulkan. Semoga menjadi manfaat kepada mereka yang ingin berusaha menyebarkan risalah Islam kepada semua ummat manusia. Agar tiada lagi perhambaan sesama manusia, dan agar semua manusia merasai keadilan Islam, keindahannya, dan kemanisan hidup dalam praktik Islam yang hakiki.

Semoga Allah merahmati mereka yang sentiasa meletakkan Allah s.w.t sebagai matlamat akhir, tidak melencong sedikit pun dari itu, dan sentiasa mengharap cinta dan redha Allah s.w.t. Semoga Allah memberi petunjuk kepada semua pendakwah, agar mengembalikan segala strategi, matlamat, dan hala tuju perjuangan dakwah kepada Allah s.w.t sahaja.

Peringatan Bagi Pejuang Islam...

Berkata As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna:

1. Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi Inayah dan Hidayah oleh Allah.

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qashash:56)


"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam" (Al-Ankabut:6)


2. Sesungguhnya ujian-ujian Allah adalah PROSES PENAPISAN, untuk menapis orang yang benar dan yang bohong; orang yang beriman dan Munafik; orang yang sabar dan gopoh.


"..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" (Ali-'Imran:141)


"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar" (Ali-'Imran:179)


"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antar kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu" (Muhammad:31)


"Musa berkata kepada kaumnya:'Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'Raaf:128)


3. Sesungguhnya da'wah berdiri di atas keazaman, bukan di atas kemudahan.


"Allah berfirman:'Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mu'jizat-mu'jizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan)," (Asy-Syu'araa':15)


4. Orang yang beriman apabila diganggu Syaitan, mereka cepat sedar dan kembali kepada Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Dan teman-teman mereka(orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya(menyesatkan)" (Al-A'raaf:201-202)


Wahai saudaraku, hendaklah kita tetap berada di atas Jalan Da'wah ini. Sesungguhnya janji-janjiNya adalah benar.

Sahabatku, Jalan ini Bukan Mudah....

Sahabatku..

Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.

Sahabatku yang sangat aku cintai..

Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.

Sahabatku..


Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu?
Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!

Amanah ini untuk kita,sahabatku. Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.


Sahabatku...

Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.

Sahabatku yang dikasihi..

Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.

Sungguh aku bersama mu.

Tulus,

Sahabatmu tercinta

Tuesday, October 28, 2008

Membela Kebenaran Adalah Tanggungjawab Perjuangan

Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.

Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan yang meminta saya menggunakan nama dan pengaruh saya dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mereka mendapat faedah kewangan yang banyak.

Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi saya belum bersedia untung melelong agama. Nas-nas Allah dan rasulNya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia yang sementara. Keadaan yang seperti ini juga menjadikan ramai mereka yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan yang sangat berbeza.

Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka yang bertukar-tukar cakap dan prinsipnya. Kesemuanya akan dijawab; “ini keputusan parti”.

Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

(maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.

Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya)

“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Maka, Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah pada hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama. Seseorang muslim itu kelihatan hilang atau tiada langsung sifat kecemburuan atau semangat dalam mempertahan dan membela kebenaran.

Sesetengah pihak itu seakan menjadikan Islam sekadar untuk dikatakan dia mempunyai agama, atau membolehkan dia berinteraksi dengan masyarakat. Tidak pernah diambil pusing tentang apakah dasar dan prinsip Islam. Apatah lagi untuk membela dan mempertahankannya. Firman Allah: (maksudnya)

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (dalam perjuangan)? (surah Ali ‘Imran ayat 142).

FirmanNya juga:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kesusahan dan kemudaratan, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir. (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Barangkali ramai di kalangan umat Islam yang dimabukkan dengan anggapan bahawa beragama itu memadailah dengan mengamalkan beberapa amalan dan kemudian biarlah dunia ini apa pun akan berlaku.

(sekadar renungan dari hamba Allah yg dhaif)

Monday, October 27, 2008

BUATMU PARA PEJUANG.....

hari ini hatiku tergerak menyapa,

tersapa membicara tentangmu,

kerna jiwa ini sudah bosan dengan mainan lakonanmu,

gah berdiri dihadapan manusia,

dengan hebatnya dalil tuhanmu,

dengan main kata-kata seiring dusta,

mencorak insan yang hanya tipuan belaka,

dan nantikanlah suatu masa

dihadapan tuhanmu untuk berbicara..

wahai pengelar pejuang,

kau kata hidupmu kerna yang Atas,

kau bicara cita-citamu syahid dijalanNya,

kau ungkap dirimu, hanya untuk jihad kepadaNya,

namun wahai pengelar pejuang,

angananmu itu kosong belaka,

hanya debu yang berterbangan,

dibawa angin lakonan,

kerna kau sebenarnya patung hidup,

yang berbicarakan kosong,

dengan jiwa yang lompong..

dengarlah pejuang,

tatkala kau hebat bermain dimedanmu,

di saat kau berbicara petah membenarkan hadis Rasulmu,

kau sudah lupa akan dirimu,

membiarkan dirimu terkapai-kapai,

terumbang ambing dibawa kealpaan,

hanya kerna satu hamparan ujian, diberi kabar keduniaan,

hingga kau lentuk dengan bayangan keindahan,

dibuai bisikan si laknat yang durjana,

hingga kau tersujud melayan cinta leka,

membuai si nafsu saat itu menjadi tuhan,

tanpa ingat akan dalilmu jua,

yang kau bicara dahulu,

pada insan yang bernama manusia,

dengan gahnya kau bernama pejuang..

yang sebenarnya hanya sia-sia...

pasang pemikiranmu wahai pelakon kosong,

dalam masa kau petah berbicara mencorak ummat,

dalam masa kau hebat membetulkan kesalahan insan,

dalam masa lidahmu mengatakan aku pejuang,

sedarkah dirimu kau hanya penentang dirimu sendiri,

kau hanyalah insan yang merobek tubuhmu sendiri,

kau hanyalah jiwa yang membunuh jiwamu sendiri,

kerna apa wahai pelakon kosong,

kau hanya pandai berbicara tanpa berbuat,

kata-katamu pada manusia tidak pernah seiring perbuatanmu,

dalil tuhanmu pada manusia tidak mengambarkan dirimu,

kerna wahai pejuang, kau sebenarnya hanyalah seorang pelakon kosong,

yang membodohkan dirimu sendiri,

yang menyumbat hatimu saat mengetahui ayat yang Maha hidup,

iaitu "wahai orang beriman,mengapa kamu berkata,

tetapi kamu tidak melakukan?"

telitikan ini wahai pembunuh diri,

saat tuhanmu mengujimu dengan dunia,

mulalah kau menjadi lupa,

diberi harta, anak dan isteri untuk menghias hidup,

tapi kau jadikan ia tujuan hidup,

kau sudah lupa urusan dakwahmu,

kau terleka dibuai cinta si pesona dunia,

kau termakan dengan harapan si cahaya,

kau tertidur mengejar si harta dunia,

hingga hilang pemikiran dakwahmu,

hingga hilang izzah kehidupan pejuangmu,

apa ini wahai pejuang? inikah perjuanganmu?,

mana letaknya janji-janji manismu?

inikah yang kau katakan cita-citamu?

sungguh Allahlah sebaik-baik pembalas wahai dai,

bukankah firman tuhanmu jelas yang mereka pemfitnah,

kau juga yang sentiasa ingatkan manusia,

tapi kau alpa dengannya,

mengejar mimpi ke arah neraka,

hingga hilang arah ke syurga...

perhatikan ini wahai si penipu diri,

aku bosan dengan jalan layar tipuanmu,

yang pandai menipu manusia dengan lakonanmu,

yang hebat didepan pentas keduniaan,

yang dihadapan insan, teratur sekali ibadahmu,

di hadapan insan, gah sekali dirian solatmu,

di hadapan insan, hebat sekali dalil tuhanmu,

hinggakan si alam juga terpukau melihat lakonanmu,

tapi bila di belakang insan,

mulalah terbuka tembelang si penipu diri,

di belakang insan mula terlerai aturan ibadahmu,

di belakang insan mula hilang kusyuk solatmu,

di belakang insan mula hancur binaan imanmu,

hingga membenarkan kau sebagai pembohong ummat..

dan wahai pengelar pejuang,

wahai pelakon kosong,

wahai penipu diri,

hatiku sentiasa sedih dengan karaktermu,

sering hampa dengan lakonan tipuan dirimu,

sering lemah melihat mainan cinta teratasmu,

hingga terkadang menitis air mata memikirkan dirimu,

yang hanya suratannya indah tapi siratannya punah..

tapi wahai pejuang,

kata-kataku bak bilahan pedang yang tajam dihadapanku,

yang sentiasa menanti untuk menikamku semula,

kerna aku jua wahai pejuang,

adalah sepertimu,

memikul urusan ummat dibahuku,

hingga cukup takut dengan diriku,

andai diri ini hanya menjadi pengelar,

andai diri ini hanya menjadi pelakon,

andai diri ini hanya menjadi penipu diri..

namun wahai pejuang,

aku juga mengetahui fitrahnya insan terleka,

lumrahnya manusia itu pelupa,

tapi itu bukan alasannya, malah sebagai pengingat alpa,

untuk tidak menyamai lagi dengan pengelar itu,

yang hanya pandai mengelar dirinya pejuang,

untuk tidak menyamai lagi dengan pelakon itu,

yang hanya suka berlakon kosong dihadapan manusia,

untuk tidak menyamai lagi dengan penipu itu,

yang hanya hebat menipu diri sendiri,

tapi wahai pencinta kebenaran,

jadikan dirimu bak cahaya suci yang memberi sinar erti pejuang,

jadikan dirimu seperti rama-rama yang menghiasi dihati ummat,

jadikan dirimu seakan manusia yang berdiri teguh,

memandang tepat ke arah syurgaNya,

dengan mengalir darah cinta teratas,

tanpa pernah merasa tempias keduniaan,

sambil berkata...

aku menjual diri ini untukMu, wahai kekasih hati..

saksikan cintaku untuk agamaMu....

ayuh selamatkan ummatmu wahai pejuang...

nukilan,

pecinta dakwah

Thursday, October 23, 2008

KEPUTUSAN RASMI PRK UPSI...

KEPUTUSAN RASMI PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR

SESI 2008/2009

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS


WAKIL UMUM


1. AKMAL BIN MADZIR

2. NOR’AIN BINTI A. RAZAK

3. ARIF BIN MOHAMAD

4. MUHAMAD NAZARUL HAZWAN BIN ABD RAZAK

5. NUR AQILAH HANIS BINTI MOHD YUSOFF



WAKIL FAKULTI


FAKULTI PERNIAGAAN & EKONOMI


1. SYAIFFULDIN BIN MOHAMAD

2. NURUL ILLYANA BINTI MOHAMAD


FAKULTI SAINS & TEKNOLOGI


1. MOHD HANIF AZWAN B AB RAHMAN

2. NORHAFIZAWATI BINTI MAHMAD ROZALI


FAKULTI SAINS KOGNITIF & PEMBANGUNAN MANUSIA


1. MOHD FITRI BIN AMIL

2. MOHD ZULHILMI BIN MOHD NOOR


FAKULTI SAINS SOSIAL & KEMANUSIAAN


1. MUHAMMAD ASREE BIN ABDUL AZIZ

2. ADRIYANI BINTI YAMIN


FAKULTI TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI


1. MOHD RAZIK BIN KHALID

2. MUZAITUL AKMAR BINTI MOHAMMAD



CALON – CALON YANG MENANG TANPA BERTANDING


FAKULTI BAHASA


1. MOHD HAIRIE BIN ABDULLAH

2. SITI KHAIRIAH BINTI JAJULI


FAKULTI SAINS SUKAN


1. SITI NOR HAZLIZA BINTI ROSLI

2. MOHD NOR FAIZ BIN MAT ALI


FAKULTI SENI & MUZIK


1. MOHD FIRDAUS BIN MOHD FAUZI

2. NORHISHAM BIN CHE HAMID



* KEPUTUSAN RASMI INI DI KELUARKAN OLEH PENGARAH SURUHANJAYA PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR SESI 2008 / 2009

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all