Friday, October 10, 2008

Pendedahan Terkini : PRK Tidak Akan Diadakan Serentak !!!

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TTNC dan Dekan HEP) supaya mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) dua kali pada tarikh yang berbeza tentulah sukar untuk mereka menolaknya.

Pertama kali dalam sejarah IPTA, PRK tidak diadakan serentak. Tarikh pertama PRK tahun ini ialah pada 16 Oktober 2008 melibatkan IPTA di Pantai Timur sahaja (UMT,UMP, UMK dan UDM ). Manakala IPTA lain akan diadakan pada bulan Januari 2009.

Sudah tentu media, masyarakat dan mahasiswa sendiri akan tertanya-tanya mengapakah arahan ini dikeluarkan oleh KPT?

Ironinya, pertanyaan-pertanyaan seumpama inilah yang sangat dibimbangi KPT!

Satu perjumpaan sulit telah diadakan oleh KPT, dihadiri oleh Dato Idris Haron Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Prof Madya Dr Muhammad Hussin dari UKM, Prof Azali dari UPM dan sebahagian TTNC dan Dekan HEP bertempat di Rumah Melaka, Jalan Bellamy Kuala Lumpur bertarikh 6 Mei dan 16 Julai 2008.

Mereka menamakan diri sendiri sebagai ‘Sekretariat Kampus’ (‘nama underground’ kata Dato’ Idris) telah merancang pelbagai strategi terkini terutama dalam menyekat kebangkitan mahasiswa terutama yang tidak menyokong Barisan Nasional.

Jemputan mesyuarat sulit ini hanya dijemput melalui SMS. Tidaklah diketahui bagaimana TTNC dan Dekan HEP ini hendak membuat tuntutan perjalanan dan penginapan tanpa melalui kelulusan Naib Canselor dan tanpa surat jemputan rasmi.

Perjumpaan sulit ini hanya mampu diadakan dua kali berbanding tahun-tahun yang lalu yang berjumlah lapan ke sembilan kali. Sebenarnya perjumpaan jam 2 pagi ini mendapat tentangan dari sebahagian besar TTNC dan Dekan HEP kerana segala strategi KPT didalangi oleh Mat Hussin yang ‘comeback’ selepas Dato’ Mustapa Mohamed bertukar ke Kementerian Pertanian. Kelibat Mat Hussin sahaja mengundang rasa mual dan jelik TTNC dan Dekan HEP. Sejarah mereka diarah-arah seolah“diketuk ketampi” Mat Husin amat menyerikkan!

Di antara keputusan yang telah dipersetujui dalam perjumpaan sulit ini ialah mengadakan PRK tidak secara serentak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Alasan utama KPT mengarahkan PRK diadakan secara berasingan ialah untuk mengelak dari PRK menjadi perhatian media, rakyat, parti pembangkang dan mengelakkan kebangkitan mahasiswa. Sepatah kata Dato’ Idris “Kalau boleh buatlah PRK secara senyap-senyap, jangan sampai diketahui sesiapa terutama media!” Apakah ini ‘standard’ pemikiran seorang Timbalan Menteri di negara kita?

Beberapa strategi-strategi lain untuk melumpuhkan kebangkitan mahasiswa telah disenarai panjang dengan begitu terancang sekali. Sukar hendak dipercayakan, kerana seperti kata Dr Siddiq Fadhil “Umpama seorang ayah merancang untuk mencacat anaknya sendiri!”

1. KPT mengarahkan istilah ‘Pilihanraya Kampus’ hendaklah ditukar kepada ‘Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.’ Istilah ‘Pilihanraya’ bagi KPT adalah setanding dengan Pilihanraya Umum dan bakal membangkitkan kepimpinan dan semangat juang mahasiswa. Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana Pilihanraya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, sekadar merasa seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.

2. KPT mengarahkan poster-poster calon hanya dikeluarkan oleh HEP sahaja. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bertaraf kertas A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!

3. KPT mengarahkan perkataan ‘Mahasiswa’ itu sendiri hendaklah ditukar kepada ‘Pelajar’ sahaja. Perkataan mahasiswa itu sahaja bagi KPT boleh membangkit rasa ‘self esteem’ yang tinggi di kalangan mahasiswa. Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama ‘Majlis Perwakilan Pelajar’ bukan lagi ‘Majlis Perwakilan Mahasiswa.’ Mahasiswa dilarang menunjukkan ‘taring’ sebaliknya hendaklah siap sedia akur dan jangan melawan pentadbiran universiti dan kerajaan Barisan Nasional.

4. KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk diadakan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK. Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianak tirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan ‘gentleman’?

Sebenarnya setiap tahun semenjak KPT ditubahkan lagi, bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP dengan wang tunai berjumlah ribuan ringgit. Oleh itu jangan hairan kalau calon Aspirasi Kerajaan berupaya memenangi banyak kerusi PRK kerana dibelakang mereka adalah KPT itu sendiri yang diberselindung disebalik topeng munafik. Bagaikan yahudi yang menaja calon-calon presiden di Amerika Syarikat. Siapakah yang boleh memberi jaminan wang tunai yang berjumlah ribuan ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Saya cabar Canselor dan Naib Canselor menyiasat kenyataan ini.

5. KPT mengarahkan HEP supaya calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah “double standard” HEP kepada mahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.

Dalam masa yang sama, HEP secara terbuka membentuk dan menaja calon-calon Aspirasi secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera. Semua maklum, HEP adalah Suruhanjaya Piliharaya (SPR) di Kampus. Bayangkan HEP yang membuat peraturan pilihanraya tetapi merekalah juga yang menodai dan mencabuli peraturan tersebut!

Strategi terbaru KPT untuk meraih kemenangan calon-calon Aspirasi Kerajaan ini akan mengundang beberapa persoalan yang menambah kekalutan dan keresahan dikalangan media dan mahasiswa di kampus. Beberapa persoalan wajar dijawab KPT dan HEP demi menjamin maruah dan harga diri mahasiswa yang diinjak-injak ini dapat diperkasa dan dibela.

1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) jelas menyatakan “Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja.”

Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan “HENDAKLAH” membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal mereka cukup satu tahun. Perkataan “HENDAKLAH” tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera KPT. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian. Namun di atas faktor kelompok sempit, KPT tetap ingin melanjutkan jawatan MPP melebihi setahun iaitu Januari 2009.

2. Mengapakah KPT takut dan bimbang sangat dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya KPT berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.

Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah KPT juga mahu mahasiswa mampu menjadi jurubicara ummah? Atau sebenarnya KPT hanya ingin melahirkan ‘mahasiswa itik gembol-gembol’ tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?

3. Apakah visi dan misi KPT sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah KPT merasakan polisi terbaru KPT terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar gemburkan selama ini?

Mahasiswa hari ini merasakan KPT tidak lebih hanya mempunyai visi dan misi untuk “menternak” dan memperbodohkan mahasiswa dengan idea-idea ‘canggih’ yang layak dilakukan oleh yahudi ke atas pemuda-pemuda.

4. Mengapakah KPT begitu merestui dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kouta diberi kepada mahasiswa bukan Bumiputera? Ironinya, dalam masa yang sama KPT melarang mahasiswa lain mengadakan demonstrasi dalam isu-isu yang lebih releven.

Hakikatnya, KPT begitu arif berapakah jumlah sebenar mahasiswa bukan Bumiputera di USM dan di UPM. Ianya bukan rahsia lagi. Tetapi KPT buat-buat pekak. Peningkatan mahasiswa bukan Bumiputera di IPTA berkenaan tidak pula dikawal. Janganlah ‘double stardard.’ Kokoknya berdegar-degar tetapi ekor bergelumang najis!

5. Mengapa KPT begitu menekan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan? Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan? Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit KPT sahaja.

Senario yang didedahkan ini wajar dihapuskan. Bayangkan apa akan terjadi kepada bakal pimpinan negara sekiranya KPT masih meneruskan polisi dan “strategi” yang bakal merosakkan pemikiran dan sikap anak bangsa mereka sendiri. Cabaran masa depan negara dan era gobalisasi yang semakin getir memerlukan anjakan pradigama oleh KPT sendiri. Janganlah membawa nilai ‘politik kampungan’ di menara gading.

Jika beginilah cara pentadbiran KPT, jangan terkejut mahasiswa sendiri akan bangkit bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Mungkin ini sahaja jalan keluar bagi mahasiswa untuk keluar dari kezaliman KPT.

Mahasiswa sudah sekian lama disakiti. Apakah yang paling sakit bagi seorang yang bergelar ‘mahasiswa tulen’ di menara gading? Tidak lain dan tidak bukan ialah DIPERBODOHKAN!

Seruan saya kepada semua media, parti pembangkang, masyarakat dan mahasiswa: Gembar gemburlah PRK yang bakal diadakan. Juga dedahkanlah segala pencabulan dan kebejatan KPT dan HEP kepada mahasiswa kerana mahasiswa hari ini sebenarnya sangat memerlukan pembelaan dari cengkaman ‘seorang ayah yang tidak bertanggungjawab!’

sumber :
Pengerusi PRO M nasional-Pengerusi Pro M Uni.Malaya

Jangan Merajuk Wahai Da'ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...

"Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya
"

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.
Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah:
"Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya"

(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim"
(Al-Anbiyaa':87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…

Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...



sumber : bahantarbiyyah

Kuasa Hal Ehwal Pelajar (HEPA) perlu diberikan kepada mahasiswa

Kita sedia maklum bahawa, Hal Ehwal Pelajar (HEP) merupakan badan bertindak untuk mengawal segala aktiviti mahasiswa. HEP juga merupakan badan yang terlibat secara langsung dengan Pilihanraya Kampus dan menjadi Suruhanjaya Pilihanraya di setiap kampus di Malaysia.Untuk pengetahuan sahabat mahasiswa, mahasiswa di luar negara mampu membuat syarikat sendiri, mampu untuk mencetak surat khabar edisi mahasiswa sendiri dan mampu untuk mengeluarkan pendapat dalam setiap debat yang dijalankan dalam universiti. Namun mahasiswa di Malaysia, dengan wujudnya AUKU menyebabkan hampir kebanyakkan mahasiswa sudah menjadi budak sekolah kembali ataupun ayam yang diternak sehingga gemuk. Mahasiswa sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup luar biasa. Kebanyakkan ahli akademik dan juga ahli politik akur dengan idealisma mahasiswa kerana mampu menjadi agen masyarakat. Contohnya, demonstrasi Baling yang cukup membuktikan mahasiswa mampu memperjuangkan hak rakyat pada tempat. Namun mahasiswa kini?

Kita tertanya-tanya adakah dengan terpindanya AUKU semasa sidang Dewan Rakyat berlangsung mampukah mengembalikan kekuatan kuasa mahasiswa sebagai juru bicara ummah?. Teman mahasiswa, selama 34 tahun AUKU diperkenalkan saya akui satu masa yang agak panjang untuk mahasiswa ingin kembali berkuasa seperti dulu. Sistem pendidikan yang melatih mahasiswa kini cukup jelas menyebabkan mahasiswa kini lebih kepada akademiknya. Saya tidak menyalahkan mahasiswa dengan buku-bukunya, tapi yang saya kesali hanya semasa zaman mahasiswa sahajalah masa kita untuk menimba pengalaman yang banyak bukan sekadar membaca buku di perpustakaan dan masuk ke tutorial.

Sewajarnya HEP dihapuskan dalam kamus Universiti jika mahukan kuasa autonomi penuh diberikan kepada universiti. Perkara yang remeh temeh tidak dapat diselesaikan, seperti kertas kerja (KKD) program tidak diluluskan HEP. Kekadang hanya tersilap ejaan, program mahasiswa terpaksa dibatalkan. Adakah ini kuasa HEP yang kita mahukan? Duit persatuan juga mestilah melalui HEP, kekadang ketika pergi ke pejabat HEP, kerani bertugas pula tiada ( terutamaya semasa pilihanraya umum). Saya ingin bertanya, adakah perangai tak ambik kisah dan sambil lewa ini ingin diteruskan? Fikirlah sendiri.. Pernah saya terfikir, kekadang semasa pilihanaraya semasa Pro-Mahasiswa dan juga ASPIRASI (jika tidak ditukar nama lagi) seperti membuang masa mahasiswa. Betul tak?. Bayangkan sewajar dan sepatutnya, mahasiswa berlawan dengan HEP bukan sesama mahasiswa. HEP yang mengeluarkan peruntukkan, HEP yang meluluskan aktiviti mahasiswa, HEP yang mengawal segala perjalanan mahasiswa. Habis itu, kenapa mahasiswa sesama sendiri ingin bertempur? Bukankah cukup jelas masalah bagi universiti adalah HEP itu sendiri?

Oleh yang demikian, cuba koreksi kembali kelebihan dan kekurangan mahasiswa kini. Pro-Mahasiswa akan mengatakan dialah yang paling hebat dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa. ASPIRASI pula akan mengumumkan mereka masih relevan untuk memimpin mahasiswa, dan HEP hanya ketawa melihat gelagat mahasiswa. Kebajikan? Perpaduan? Intelektual? Semua ditentukan oleh HEP. Percayalah, selagimana kuasa tidak diberikan kepada mahasiswa untuk menentukan masa depan universiti, universiti di Malaysia tidak akan dapat mencabar universiti-universiti yang lain di luar negara. Lupakan sahaja rangking university di THES

Saturday, September 13, 2008

ILAL LIQA' YA RAMADHAN.....

Salamullahi ‘Alaikum

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Pentadbir sekalian alam,Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad rasul utusan Allah,kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda seluruhnya.


Alhamdulillah, sudah masuk second-half ramadhan tahun ini. Pasti ada di kalangan kita semua semakin gembira kerana hari raya akan menjelang tiba, dan pastinya amat sedikit di kalangan kita yang bersedih untuk meninggalkan ramadhan yang akan pergi, kerana tidak pasti lagi sama ada akan bertemu lagi ramadhan tahun hadapan.

Seperti lazimnya suatu perlawanan bola sepak, apabila masuknya second-half, para pemain akan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gol bagi mencari kemenangan,tanpa menghiraukan rasa letih dan ‘pancit’. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Pertama,ganjaran yang akan menunggu mereka jika mereka memperoleh kemenangan dan kedua, penghayatan mereka terhadap sukan ini amat tinggi, sehingga ada yang berkata sanggup mati demi bola (seperti yang ditonjolkan dalam filem Green Street Hooligans)

Inilah yang sepatutnya terjadi kepada seseorang yang mengaku dirinya sebagai MUSLIM dan MUKMIN. Tatkala ramadhan kian melabuhkan tirainya, masih ramai lagi umat Islam yang lalai dan leka untuk menunaikan ibadat seolah-olah ramadhan tiada erti baginya. Sedangkan dalam al-Quran Allah telah memberi jaminan ketaqwaan bagi mereka yang berpuasa dan menghayati ibadah. Amatlah rugi bagi mereka yang melepaskan peluang keemasan ini. Kita harus sedar, yang menentukan kedudukan hamba di sisi Allah ialah taqwa, dan yang menentukan destinasi kita di akhirat nanti juga adalah taqwa.

Apabila kita menghisab diri kita, barulah disedari mengapa susah untuk mendapatkan ‘taqwa’. PENGHAYATAN. Rupa-rupanya kita kurang menghayati ibadah yang kita lakukan. Kita hanya solat kerana Allah suruh, bukan lahir dari rasa bertanggungjawab untuk menunaikan solat. Kesannya, solat yang ditunaikan amatlah ‘ringkas’, seperti kata ustaz Hasrizal, ‘solat professional’. Dan sebab itulah juga puasa yang dilakukan sekadar mendapat letih dan dahaga.

Bagi mereka yang menghayati sesuatu perkara yang dilakukan, mereka akan berasa seronok dan suka akan perkara tersebut. Sebagai contoh, remaja yang sedang asyik bercinta. Tiap detik dan tiap waktu terbayang-bayang wajah orang tersayang. Rasa rindu membuak-buak di kalbu. Alangka baiknya jika rasa rindu kepada kekasih ini ditukar dengan rasa rindu kepada KEKASIH. KEKASIH inilah yang akan menunaikan setiap permintaan kita, yang akan memberi pertolongan di kala kita susah,berbanding dengan kekasih.

Satu lagi contoh ialah pelajar perubatan. Jika seseorang pelajar perubatan itu menghayati ilmu yang ditimba, maka akan semakin dekatlah dirinya dengan Allah. Jika seorang pelajar perubatan merokok atau meminum minuman keras, ini menunjukkan penghayatannya terhadap bidang ini adalah kosong. Inilah yang dikatakan ‘ilmu tanpa amal umpama pokok yang mandul’. Saya teringat kata-kata seorang ophthalmologist dari HUKM, Professor Dr.Muhaya, yang memberi ‘amaran’ kepada pelajarnya yang merokok,”You won’t be a doctor unless you quit smoking”.

Begitulah betapa pentingnya penghayatan dalam kita melakukan sesuatu perkara. Untuk menghayati sesuatu ibadah, perlu adanya persediaan. Sepatutnya sebelum ramadhan menjelang, kita sudah melatih diri kita dengan berpuasa sunat.

Sebelum kita menunaikan solat fardhu, kita tunaikan solat sunat terlebih dahulu dan sebaik-baiknya kita rancang surah apa yang akan dibaca semasa solat nanti. Luangkan sedikit masa untuk membuka kitab tafsir al-Quran untuk mengetahui maksud ayat yang akan dibaca nanti. Jika cara ini diamalkan, insya Allah solat yang akan didirikan akan lebih khusyuk. Apabila solat kita khusyuk, maka kemungkaran akan semakin jauh daripada kita.

Para sahabat juga dilarang oleh rasulullah daripada mengkhatamkan al-Quran dalam masa sehari dan tempoh paling singkat untuk khatam al-Quran adalah setiap tiga hari. Hal ini disebabkan rasulullah pentingkan penghayatan dan juga kualiti ibadah yang dilakukan.

Justeru, sementara ramadhan masih lagi di sisi, marilah kita semua meningkatkan penghayatan terhadap ibadah yang kita lakukan agar kualiti amalan kita semua ditingkat dari masa ke masa . Semoga amalan-amalan kita semua akan diterima oleh-Nya dan syurga-Nya nanti jadi destinasi kita semua di akhirat. Salam Lailatul Qadr.

Wednesday, September 10, 2008

PERJALANAN KEHIDUPANKU.....

Suatu masa dulu…
Hamba Mu ini hanyut dalam arus kehidupan,
Begitu sibuk mengejar impian,
Dengan harapan mendapat penghormatan dan kemewahan,


Dunia yang fana ini menjadi matlamatku,
Cinta berteraskan nafsu menjadi buruanku,
Perihal akhiratku tiada ku endahkan,
Perintah dan larangan Mu tidak ku hiraukan,
Azab dan seksaan Mu tidak ku risaukan,
Syurga dan neraka tidak ku fikirkan…


Sehinggalah pada suatu hari…
Engkau menguji ku dengan kegagalan,
Yang memusnahkan segala harapan,
Menjadikan hamba Mu ini bergelut dengan kesedihan…


Ya Rahman…
Di saat itu sangat sukar bagi ku menerima kenyataan,
Ku bertanya di mana kesilapan dan kesalahan,
Hingga ku persoalkan apa yang telah Engkau takdirkan,
Ku menjerit di mana keadilan dan belas kasihan Mu oh Tuhan!


Dan kini...
Barulah ku sedari,
Pada kegagalan yang ku anggap suatu ketidakadilan itu,
Terselit nikmat kasih sayang Mu ya Rahim,
Kerana melalui kegagalan itulah aku mula mengenali Mu,
Disebabkan kegagalan itulah aku menyedari bahawa
Dunia tidak patut dijadikan matlamat,
Cinta berlandaskan nafsu tidak patut dijadikan buruan,
Lantas aku berpaling darinya dan berlari ke arah cinta Mu,
Hanya keredhaan Mu sahajalah yang ingin ku raih kini...


Ya 'Azim...
Inginku luahkan kesyukuranku kepada Mu,
Kerana di antara berjuta manusia,
Engkau telah sudi memilih diriku yang hina dina ini,
untuk menerima taufiq dan hidayah dari Mu
dan menghijrahkan diriku dari alam jahiliyah
ke alam uluhiyyah dan ubudiyyah...


Ya Allah...
Aku amat berterima kasih kepada Mu
Kerana Engkau tidak pernah membiarkan diriku terus tersesat
Dalam kehidupan yang serba sementara ini,
Meskipun ketika itu aku sering terlalai dari mengingati Mu...


Memang tidak dapat dinafikan lagi,
Bahawa sesunggungnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…


Ya 'Aziz…
Izinkanlah aku untuk terus berada di dalam jalan Mu ini
untuk selama-lamanya,
Janganlah Engkau kembalikan aku ke lorong gelap
yang membawa kepada kesesatan,
Ampunkanlah kejahilan dan kelalaianku selama ini,
Pimpin dan bimbinglah hamba Mu yang lemah ini ke arah cinta Mu,


Ku mohon agar Engkau teguhkanlah tugu keimanan ku,
Benarkanlah aku untuk merasai halawatul iman,
Anugerahkanlah kepada ku kekuatan dan kesabaran,
Pekakkanlah telinga ku dari sebarang sindiran dan ejekan,
Kebalkanlah jasadku dari segala kesakitan,
Dalam menjalankan amanah yang Engkau pikulkan di bahu ku…


Ya Khaliq...
Jadikanlah setiap hembusan nafasku,
Setiap kelipan mataku,
Setiap degupan jantungku,
Setiap helaian rambutku,
Setiap bait perkataanku,
Setiap hayunan tanganku,
Setiap langkah kakiku
Dan setiap titisan darahku,
Hanyalah untuk Mu…


Sebelum tiba ajalku,
Ingin ku merayu kepada Mu,
Bukakanlah pintu hati insan di sekelilingku,
untuk mengampuni dosa-dosaku terhadap diri mereka,
Lancarkanlah lidahku untuk menjawab soalan malaikat utusanMu,
Luaskanlah dan terangilah tempat pembaringanku,
Meriahkanlah pusaraku dengan ayat-ayat suci Mu,
Permudahkanlah perjalanan ku di alam seterusnya...


Curahkanlah redha Mu terhadapku sepanjang hayatku
Dan izinkanlah aku untuk mengadapmu Di dalam Jannah yang serba indah...


Dan esok, Andainya aku tidak bernafas lagi,
Sampaikanlah ucapan selamat tinggalku kepada insan yang ku sayangi,
Bimbinglah mereka sepertimana Engkau telah sudi membimbing diri ini,
Agar dapat ku bertemu dengan mereka lagi,
Di pertemuan yang hakiki,
Di dalam syurga yang kekal abadi...

YA ALLAH......YA RAHMAN....

Ya Allah, jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu,
agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.

Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku padaMu.
Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripadaMu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang yang merindui jihad dan syahid di jalanMu.
Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya
agar tidak lalai aku merindui syurgaMu.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasihMu,
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya
bermunajat di sepertiga malam terakhirMu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
janganlah biarkan aku tertatih dan terjatuh
dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
jangan biarkan aku melampaui batas
sehingga terlupa pada kasihMu yang hakiki dan abadi.

Lembaran Baru...


Lembaran Baru...
Fajar subuh menyingsing,
suria mula menyinari bumi,
namun sinarannya malap,
bayunya lebih dingin,
tak seperti di tanah itu, tanah kelahiranku....

Lembaran tahun ini,
ku buka di bumi asing,
jauh dari keluarga,
jauh dari semua...

Seketika aku termenung,
mengimbau segala kenangan semalam,
saat aku masih di tanah itu,
tika aku sudah bergelar perantau,
terukir senyuman yang entah apa maknanya...

Seketika ku bermonolog,
walau kadang tidak ku mengerti
mengapa begini perjalanan hidupku,
namun ku pasti ini terbaik buatku,
kerna al-Khalid lebih memahami diriku,
dari aku sendiri,
kerna dia Penciptaku..

Terukir lagi senyuman di bibir,
onak duri sakit semalam,
segalanya hanya ujian seketika,
tanda kasih ar-Rahim buatku,
mengingatkan aku tika lupa,
mengejutkan aku tika lena,
Alhamdulillah tanda bersyukur...

Pandangan ku lempar jauh,
terbayang kisah suka semalam,
manis sehingga kini masih terasa,
senyuman terukir lagi,
tidak pernah putus rahmat yang Esa,
sungguh aku bahagia,
dipinjamkan mereka dalam hidupku,
keluarga, teman setia, walau jauh beribu batu, hati kita tetap satu...

Ku tundukkan pandangan,
ku renung batu-batu hitam di jalanan,
terkenang hitam noda yang ku lakukan semalam,
terhapus senyuman,
sungguh aku hamba kerdil yang hina,
tidak bisa lari dari dosa dan noda...

Ku hela panjang nafasku,
ku lempar jauh-jauh pandanganku,
Allah masih meminjamkan aku usia,
tiada guna hanya bersedih atas noda semalam,
jika tiada disusuli taubat,
jika tiada perubahan...

Sedarlah penawar,
kehidupanmu di dunia hanya fana,
yang kekal di akhirat sana,
manfaatkanlah usia yang dipinjamkan ke jalanNya,
oraklah langkah ke arah kebaikan,
jauhilah kemungkaran,
biarlah lembaran tahun ini lebih bermakna,
usahalah mengejar nur hidayahNya,
pasti kau akan lebih bahagia...

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all