Wednesday, November 4, 2009

Rumahtangga Islam Pencetus Generasi Pejuang

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah, merupakan dua kewajipan asasi di atas jalan dakwah wajib kepada setiap muslim lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya. Iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang lelaki aqidah yang wajib dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut di ikuti. Kita sangat memerlukan rumah tangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan kepaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di masa pembentukan dan persediaan. Rumahtangga lah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Setiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapanya lah yang menjadikan Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi¡¨

Hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan pembangunan rumahtangga, tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu makalah atau dua makalah sahaja akan tetapi perlulah kita merujuk kepada kitab-kitab dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu Cukuplah di sini kita menerangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.


A: Pemilihan:

Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah, wajib lah ke atas keduanya, masing-masing memilih pasangannya. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang salihah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang salih, sebagai kongsi hidup suami isteri.Dari awal-awal lagi hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya,memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Iaitu seorang penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi markas dakwah dan
jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepada yang demikian dengan sabda baginda:

”Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".

Oleh kerana itu Rasulullah (s.a.w.), tidak mengakui hak wali yang menikahkan puterinya dengan seorang lelaki yang tidak di sukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang salih. ( didalam keadaan yang menepati syarat-syarat nya)


B: Beriltizam Dengan Batas-Batas Islam:

Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin\baharu atau berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak. Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala atau pun yang menjadi rintangan di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak di laksanakan akad-nikah itu di Masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari segala sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar. Akad nikah di dalam Mesjid tidak di gemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam. Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan juga akad nikah itu di dalam mesjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi perkara lumrah dan di sukai oleh manusia. Sesungguhnya itu lah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan.Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

C: Kebahagiaan Rumahtangga Yang Di Cita-Citakan:

Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.
Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir” (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.


D: Perkahwinan Itu Ibadat:

Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah. Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.


Oleh itu putera puteri Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang bermaksud:

" Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)


E: Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai:

Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh
dan ke pura-puraan. Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin
dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.


F: Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin Oleh Suami:

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura', tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ
وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ
”Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya; dan suami mempunyai satu kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah : 228)


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى
بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

”Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kuam wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan juga kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan harta mereka”. (An-Nissa': 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam. Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolak bandingnya hingga ke hari ini.


G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ
وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

”Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (At Tahrim : 6)

Rasulullah s.a.w bersabda:
” Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta'aala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:

" Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai
pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.


Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w. Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

I: Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya :

Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.


Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. La menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara
satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang
mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.

Untuk itu, mujahid mujahidah Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

TEGAKKANLAH RUMAH TANGGA MUSLIM
Jalan Dakwah
Mustaffa Masyhur

Sunday, November 1, 2009

JANGAN MERAJUK WAHAI DUAT

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup bukanya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah. Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya

Sembahlah Allah Yang Maha Esa

Tinggallah berhala yang tidak bernyawa

Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima

Nabi diejek dan Nabi dihina

Baginda tidak berputus asa

Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa

Umatnya masih menderhaka

Lalu dia pergi membawa hati

Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang

Membawa diri ke rantau orang

Malangnya laut bergelombang

Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan

Terjun ke laut penuh bergelora

Baginda ditelan ke perut Ikan Nun

Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya

Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa

Menangislah Nabi penuh duka

Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah Kisah seorang Nabi

Diuji Allah begitu sekali

Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang engkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: “Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya.”(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (Al-Anbiyaa’:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali-‘Imran:139)

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

Sunday, October 25, 2009

Perhentian Sejenak Seorang Da’i.

Berhenti bukan kerana letih tapi berfikir untuk meneruskan perjalanan. Agar perjalanan dan musafir dakwah yang dilakukan tidak lari dari asal tujuan. Apalagi jalan yang telah dilalui sarat dengan ujian. Tak tahan. Perit dan terluka. Memang selalu selalunya …

Haru …syahdu, emosi hati sentiasa memerangkap dalam jurang perjalanan. Siapa yang boleh tahan. Sebab kita manusia. Mau rasanya kita tinggalkan dakwah ini. Jamaah ini yang banyak kerenahnya. Dijerut kita dengan program program tarbiyah yang menyiksa batin kita. Dipaksa mematuhi arahan arahan hingga membengkakkan jiwa dan nafsu kita untuk mematuhinya.

Namun kita masih disini. Bersama kafilah ini kerana kita bukan manusia biasa.Kita adalah manusia da’i yang faham dan tak mungkin kita tinggalkan jalan yang telah kita rentas ini sekalipun remuk redam hati ini kerana kita tahu disinilah pengabdian sebenarnya kita kepada Allah. Disinilah tercanainya kalimah tauhid yang sering kita ucapkan saban waktu. Disinilah berkampungnya kita menyatukan hati untuk bersama bekerja dan berusaha mengejar matlamatnya. Samada terciptanya atau syahidnya kita bersama!

Jangan kita jadi orang awam kembali setelah kita dikisar dan diblender dengan usul Isyrin. Di hembus dan dijampi dengan AlMuntalaq, dilembutkan dengan AlRakaiq dan diingatkan dengan AlMutasafitun a’ala tarikuddakwah. Supaya apa? Supaya kita ingat kembali akan tujuan kita supaya kita tidak jadi orang islam yang makan minum berkeluarga dan tunggu mati.

Islam kita bukan hanya berulang alik ke surau dan masjid. Atau berulang alik keprogram program tarbiyah saban waktu. Atau menadah kitab untuk menuntut ilmu sahaja tapi Islam kita adalah islam kaaffah. Dengan cita cita besar untuk mendaulatkan hukumiyah Allah. Kita ingin merasa duduk di bawah naungan khalifah. Ingin menyumbang dan mengabdikan diri dibawah daulah islam yang penuh rahmat.

Duhai adik adik ku dijalan dakwah ini ………dimana saja kamu berada dan sentiasa menjengah ke blog ini!

Perbaharuilah selalu iman dan semangat dakwah serta perjuangan kamu. Mungkin ada diantara kamu sedang sibuk belajar dan bergelut dengan exam namun dakwah jangan kamu tinggalkan kerana asbab kejayaan kamu mungkin disebabkan oleh rahmat dakwah ini! kamu tidak tahu. hanya Allah yang tahu.

Rasullulah bersabda ” Jalanilah hidup dengan keras kerana kenikmatan tidak abadi”
….dan biasakanlah hidup dengan keadaan yang keras. Memang terkadang kamu rasa amat letih tapi hendaklah kamu kurangi kenikmatan dunia ini untuk memungkinkan kamu untuk sabar terhadap beban berat yang kamu kendong dalam tempoh hidup yang terhad ini.
Marilah kita kembalikan Thiqah kepada diri kita sendiri dan membuang rawasib rawasib jahiliyah berupa mencintai kerehatan kerana kelak kita akan dikerumuni oleh angan angan bercampur nafsu sehingga kita meninggalkan dakwah ini!

Galilah kembali kefahaman yang kamu dapatkan dari tarbiyah terdahulu justru untuk menjadi da’i yang memiliki performance adalah da’i yang melalui himpitan kesulitan dan bukannya buaian kemanjaan.
Insyaalah.

Tuesday, October 20, 2009

Andainya Kamu Tahu...

Mungkin!
Mungkin sahabatku.
Ramai yang tidak mengerti betapa pentingnya kekuatan ruhani dalam menjalani kehidupan ini.

Boleh jadi ramai lagi yang terpesona dengan keindahan dan kehebatan lahiriah berbanding dengan keindahan dan kehebatan ruhani. Terkadang mereka terpukau lantas membiarkan ruhani kering dan terus kering hingga segala amalan dan perilaku untuk menghampiri Allah menjadi semakin jauh tanpa disedari dan kita tidak sedikit pun merasa kelazatan iman yang sebenarnya.

Apalah guna banyaknya amal kita dengan mengira rakaat rakaat yang kosong. Apalah guna tilawatul quran kita sekadar untuk menyahut panggilan fadhilat ramadhan yang tidak dapat membuahkan al-hubb kepada Allah. Tidak membuahkan pengajaran dan dapat mengambil panduan darinya.

Aku tidak menafikan dari sudut pahala. Kerana itu hak Allah diatas niat masing masing namun saban tahun dibulan mulia ini kita menjalani amal rutin ini tetapi tidak mendatangkan perubahan bagi diri dan iman malah terkadang amal amal ini menjadi tiket kita untuk lebih rakus lagi melayani hawa nafsu selepas ramadhan.
Aku tidak mengatakan sesuatu yang teori. Kerana perkara ini berlaku pada diri dan tidak mustahil pada kita semua! Sebab itu aku ingin kongsi akan peringatan ini kerana nafsu tidak pernah putus asa untuk menyesatkan kita apalagi apabila bertemu teman setianya syaitan laknatullah untuk menyesatkan kita dari jalanNya.
Saudaraku .

Kita tidak dapat menafikan kekuatan ruhani adalah kekuatan pokok dalam kita menghampiri Allah atau untuk Allah menghampiri kita. Kita memerlukan hati yang lembut dan sejuk untuk menyerapkan amal amal kita supaya sebati dengan ruh ubudiyah kita kerana hati yang keras tidak bisa diserap oleh iman dan kekusyukan amal.
Pernahkah dalam hidup kita kita terjumpa orang orang yag kuat ruhaninya? Pernahkah kita bergaul dan menumpang kejernihan hati mereka? Pernahkah kita lihat cara kehidupan mereka?

Andainya kamu tahu, sebenarnya tidak banyak bedanya kehidupan mereka dengan kita!
Mereka seperti kita. Mereka juga punya jamaah. Punya Usrah. Melalui proses tarbiyah.
Mereka juga memegang jawatan tinggi. Educated. Mempunyai kedudukan.
Apakah bedanya dengan kita?

Tidak lain tidak bukan adalah Kezuhudan. Zuhud dan Qanaah dengan hidup ini. Mereka hidup ala kadarnya. Punya rumah sekadar tempat berlindung. Punya kenderaan yang sekadar boleh berjalan. Berpakaian sekadar menutup aurat. Makan sekadar untuk beribadah. Bergaul dengan orang2 solih. Menuntut ilmu dan berdakwah hidup harian mereka.

Mereka juga bergaul dan bersocial tetapi semua itu menjurus kepada dakwah. Dimana mereka pergi, mereka membawa islam. membawa iman. Membawa risalah Nabi. Mereka senantiasa ingin menyelamatkan diri dan manusia lain. Hidup mereka sentiasa menjurus kepada akhirat dan sentiasa berhati hati!
Pernahkah kamu jumpa mereka ini? Mereka yang asing yang terpuji disisi Allah yang hidup mereka amat bahagia.

Kenapa aku sebut asing! Kerana jumlah mereka amat sedikit ditengah kita dan manusia yang banyak ini. Sehingga mereka digelar ‘ Ghuraba’ “ ( orang orang asing )

Nabi pernah bersabda
Beruntunglah orang orang asing. Sahabat bertanya, ” Wahai Rasullullah, siapakah orang orang yang asing itu?” Beliau menjawab, ” Orang orang yang bertambah Iman dan Takwanya ditengah ramai manusia yang kurang Iman dan Takwanya. ~ HR Ahmad
Bahagianya mereka kerana kedekatan hati mereka pada Allah. Ketakwaan mereka makin bertambah dengan amal amal solih yang mereka pertahankan ditengah arus perdana kebendaan yang menyilaukan kita. Disanalah kemuliaan kebesaraan jiwa dan kemuliaan yang mereka gapai disisi Allah.

Mereka seperti keadaan ikan yang berada ditengah air yang mengalir dan arus yang kuat. Ikan ikan itu semakin kuat dan besar kerana terbiasa melawan arus.
Begitulah jiwa mereka, tetap kuat bertahan melawan arus kebendaan dunia yang membadai.

Sesungguhnya memang kita sukar mengenali mereka kerana mereka amat sedikit dan banyak menyembunyikan amal.

Mereka tidak suka menunjuk nunjuk seperti kita kerana mereka tergugah dengan pesan Nabi

Sesungguhnya Allah menyintai hamba yang bertakwa, yang qanaah dan yang beribadah secara khafi sembunyi sembunyi ~ HR Muslim.

Andainya kamu tahu, tidak semesti amal amal solih harus disembunyikan kerana sebagai da’i terkadang kita perlu menjadi contoh untuk mad’u kita mencontohi amal yang kita lakukan. namun sebagai duat ini ada ibadah ibadah yang perlu kita rahsiakan dan sembunyi sembunyi dalam kerangka untuk memperkayakan ruhani kita agar lebih kukuh dan lebih tegar sehingga tidak terombang ambing oleh pesona dan gemerlapnya dunia.
Andainya kamu tahu, sebenarnya kita boleh jadi seperti mereka. Kerana mereka juga seperti kita dahulu. Bezanya adalah mereka sanggup melakukan perubahan diri untuk lebih mujahadah dan bersifat zuhud dan qanaah dalam hidup.

Marilah kita renung diri kita sendiri. Berapa lama lagi kita mampu menguak kehidupan dunia yang fana ini. Marilah kita tadabbur dan taffakur atau merenung dan berfikir sampai bila kita harus hidup dengan khayalan khayalan yang sonsang ini sehingga efeknya boleh membuat kita tersungkur dipintu nafsu yang akan meratah keimanan yang telah kita bina!

Wallahua'lam....

Perbaikilah Diri Hamba Ini....

Tiap kali aku menulis terlintas dihati ini agar ada insan yang mengigatkan dan menegur segala kesilapan dan kesalahan yang ku lakukan.

Aku menulis dengan hati ku kerana aku ingin ianya sampai dihati kamu semua. Semuanya yang baik. Dan tapisan yang tidak baik itu, aku mengharapkan teguran agar aku dapat menulis dengan baik lagi. Kiranya teguran yang ekstrim dan mengaibkan tegurlah melalui email. Aku mera’i dan mendambakannya.

Memanglah ini saja cara untuk aku memperbaiki karya karya dakwah ku. Agar karya dakwah ini menjadi pahala buatku.

Prinsip ku, aku suka mencari jalan keluar kepada sesuatu perkara yang memburukan keadaan hidupku biar pun perkara itu akan melukakan hati ku, kerana aku tidak mahu hidupku tidak boleh memanjat langit.

Aku ingin belajar dan terus berusaha untuk menginfak kan segalanya dalam hidup ini semata-mata untuk dakwah. Dan dakwah memerlukan jiwa dan ruh yang suci dan kesucian itulah sukar untuk aku raih tanpa membaiki diri ku dari masa ke semasa.
Inilah warisan tarbiyah yang ku belajar kerana aku ingin menjadi model dan bintang yang menyinar dalam cakrawala dakwah ini.

Aku ingin sekali dikenali dilangit dan tidak dibumi kerana dilangit itulah pesona kehidupan yang ingin ku ciptakan. Disanalah pejuang-pejuang dikumpulkan. Disanalah malaikat bersaf-saf mentaati Rabul jalil.
Disanalah aku ternampak berbagai keindahan yang tidak boleh ku bayang dan khayalkan dengan matahatiku.

Aku selalu merenung langit bila hati ku gundah gulana. AlMarhum guru ku berpesan, kiranya aku susah hati lihatlah kelangit kerana dilangit itulah ruh ruh syuhada’ dinaikan dengan sutera sutera putih, Dilangit itulah ketenangan kita, dilangit itulah kita nampak akan besarnya kekuasaan Allah. Dilangit itulah kita akan rasakan kekerdilan kita ini. Dilangit itulah kita akan rasakan bahawa kita hanyalah hama yang tiada nilai jika hidayah dan jalan dakwah ini tidak Allah kuniakan kepada kita. Dilangit itulah yang akan membuatkan nafsu besar dan cita cita kepada matabenda dunia ini menjadi pudar ….

Itulah langit yang Allah letakkan diatas kita supaya kita sentiasa mendongak dan menghinakan diri ini kepada Allah!

” Pasti hati mu lapang kerana ini adalah amalan2 pejuang ” kata guruku.
Langit banyak mengajar ku akan lapang dada. Banyak mengajar aku tentang bagaimana untuk mencipta cita cita. Dan cita cita ku tidak pernah tersangkut dibumi ini melainkan disyurga.
Rasullulah berpesan ” Jika kamu bercita citakan syurga, mintalah syurga yang tertinggi, syurga firdaus” .

Memang tidak akan tergapai cita2 itu mengikut logik akal kita namun wahyu dan rahmat tidak mengenal akal! Syurga hak Allah. Biarlah Allah dengan tugas dan hakNya.
Tugas kita teruskan bergerak mengikuti putaran bumi ini dengan risalah agung yang kita fahami ini.

” Inilah jalan Ku” kata Hasan AlBanna.
” Aku telah buat segalanya dari hidup ku untuk jalan ini ” Kata sayyid Qutub.
” Selepas menjadi khalifah aku inginkan syurga ” Kata Umar Abdul Aziz.
” Aku ingin panah ini kena dileherku” kata badui itu pada rasullulah.
Semua mereka ini bertemu cita-citanya. Cita-cita tidak menipu dan Allah akan membenarkan apa yang kita katakan. Itulah cita cita yang ku maksudkan.
Ghairahkan diri kita dalam perjuangan ini!

“ Ya Allah ambilah darah ku hari ini sekehendakMu samapai engkau redha pada ku ” Kata thalhah didlam perang uhud.
Apakah kita ada ghairah dalam dakwah ini?

Atau hanya ghairah bila bersama murabbi kita dan lemah bila keseorangan. Dimanakah kita letakkan ilmu tarbiyah yang telah dimasukan dalam jiwa kita oleh murabbi kita untuk kita pertahankan syaksiyah dan semangat ini dimana saja kita berada! Untuk kita kuatkan jati diri mengharungi semak semak djalan sukar ini?
Masihkah kita ingin berpaut dan bergantung dengan manusia lagi sepertimana kita bergantungan dicelah susuan ibu kita diwaktu kecil?
Kerdil sangatkah kita ini?

Aduhai … lamanya sangat kita berusrah, berjaulah dan berbagai program yang jamaah beri dan kita hadiri untuk kita bertambah qualiti lagi hingga program berganti program, sehingga gambar-gambar yang kita ambil dalam program yang kita hadiri untuk dibuat kenangan tidak muat untuk diisi di pendrive kita lagi kerana kegahirahan kita untuk gambar itu hingga kita lupa sepatutnya keghairahan itu kita patut channelkan untuk melaksanakan dakwah dengan jiddiyah yang berterusan tapi keghairahan kita hanyalah terhenti pabila tamatnya program kita. Apabila semua gambar2 kita telah kita downloadkan!
Lemahnya kita ikhwah dan akhawatku.
Betapa ruginya tarbiyah-tarbiyah yang kita lewati tanpa dapat meningkatkan performance kita sebagai da’i!

Dimana keghairahan dan cintamu pada dakwah dan deen ini?
Apakah pertemuan demi pertemuan yang kita aturkan dalam program-program kita hanya sebagai ukuhuwah yang kosong. Melepaskan rindu-rindu kita dengan kawan-kawan?
Jika inilah! Dimanakan kerinduan yang kita tahtakan dalam hati untuk tugas ini?
Dimana?

Inilah sebahagian dari pengalaman episod hidupku sewaktu aku masih mentah dengan tarbiyah. Berlumba-lumba tanpa keghairahan yang boleh membangunkan ruh jihadku! Sehingga aku terdampar dalam keletihan menghadiri program demi program tanpa dapat meningkatkan reputasiku sebagai duat yang bermanfaat!
Aku berkongsi denganmu supaya jangan kamu bazirkan usia ini dengan tarbiyah yang tiada natijahnya. Sampai bila harus begitu?

Ingat! keghairahan adalah syurga. Dan keghairahan itulah akan memberi kita kelazatan demi kelazatan dijalan ini. Mari kita letakan keghairahan ini ditempat yang benar. Agar keghairahan itu akan memanaskan darah mudamu untuk terus membakar bumi ini dengan lahar dakwah mu!

Inilah penangan keghairahan cintaku yang ingin kukembarkan dengan cintamu. Inilah suara nurani ku. Inilah suara hati ku. Inilah cetusan pengalamanku. Dari doa Rabithah yang sering aku kirimkan untukmu. Dari kemurnian jiwaku! Untuk kamu rasakan dalam helaan nafas jujurmu.

Ambillah setitik semangat ku ini untuk dijadikan lautan oleh mu.
Semangat yang telah lama ku peram sehingga aku lupa akan keletihan dijalan ini. Keletihan yang penuh nikmat yang tidak dapat aku bayangkan.
Pilihlah cita citamu. Jadilah pemimpin yang bijak. Biar getaran mimpi itu menjadi getaran yang meransangkan kesuma dan perjuangan mu.

” Mimpi hari ini adalah keyataan hari esok “ Kata Assyahid Albanna. Dijalan dakwah ini mungkin kita terjaga sebelum mimpi kita selesai. Dan tugas kitalah untuk segera bangun dan terus bangun tanpa tangguh untuk mneyelesaikannya dialam nyata ….
Jadikanlah mimpi kita seperti mimpi AsSyahid Ahmad Yasin yang bermimpi kakinya lumpuh. Dan lumpuhlah ia waktu berusia 16 tahun. Walaupun lumpuh zionis tidak dapat senyum dengan kelumpuhan itu malah saban malam zionis pula didatangi mimpi yang menakutkan.

Hingga Assyeikh bermimpi sekali lagi ……mimpi yang membawanya kelangit… dan mimpi itu pastinya akan berterusan kepada muridnya dan pejuang lainnya.
Semuga kita menjadi penyambung kepada mimpi itu agar bulu roma kita sentiasa meremang dengan semangat dakwah dan jihad yang berterusan terus mengejar kezaliman yang tidak pernah berhenti merosakan maya ini ….

Mengertilah Diriku.....!!!!!!

"Diriku,
Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
Kau terlupa membajai taman hatimu sendiri,
Agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
Tersentuh dengan daulat-Nya
Merasa terpikul amanah ad-deen ini.
Bukan kerana kau berjemaah,
Namun kerana engkau di bawah perintah-Nya.

Diriku,
Seringkah kau mencari jalan,
Agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya,
Agar sentiasa sedar akan keagungan-Nya,
Insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan & kesilapan dirimu.
Ketahuilah diriku,
Hatimu itu keras, khusyu'mu kurang,
Syukur & redhamu tidak banyak kau hadiahkan pada-Nya,
Terlalu banyak kurang & salahmu.

Diriku,
Tunaikanlah solatmu dalam khusyu' & tenang..
Muhasabahlah dirimu kala sunyi,
Selamilah kalam-kalam al-Quran yang kau perjuangkan,
Padanya ada bekalan
Untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini.

Diriku,
Pada nawafil & amalan sunat
Ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan Tuhanmu,
Pada qiamullail di keheningan malam,
Bersama bisikan doa & munajatmu,
Diiringi esak airmata keinsafan & keikhlasanmu,
Kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaran-Nya,
Di situ ada bekalnya...
Lazimilah awal dirimu dengan al-Mathurat,
Pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai daie.

Diriku,
Pada tawadhu', pada ukhwah fillah, pada infaq fi sabilillah,
Pada uzlah muhasabah diri, pada zikir selawat,
Ada ketenangan dan kekuatanmu...
Cekalkanlah hatimu wahai diriku........

Thursday, September 10, 2009

KAU SEMAKIN MENINGGALKANKU…….

Sedar tak sedar bulan ramadhan yang mulia telah hampir untuk melabuh tirainya. Sekarang telah masuk fasa yang ketiga yang mana Allah menjanjikan pembebasan api neraka untuk hamba2NYA. Adakah diri ini termasuk dikalangan hamba-hamba Allah yang bertuah itu? Perkara ini sering bermain di benak fikiranku. Apapun daku sentiasa harap dan takut pada pencipta. Kumengharapkan diri ini termasuk dikalangan insan-insan terpilih tersebut. Namun pada masa yang sama daku takut diri ini tidak diterima. Nauzubillah. Ntah mengapa, bila berada di pengakhiran ramadhan ini hatiku menjadi begitu sayu untuk berpisah dengannya. Mugkinkah ramadhan kali ini adalah ramdhan yang terakhir untuk ku? Sudah bersediakah utkku berjumpa dengan Sang Pencipat? Patutlah para anbia, dan kekasih Allah akan banyak menangis apabila berada di penghujung ramadhan. Amat berbeza dengan masyarakat sekarang yang begitu bergembira ketika ramadhan ingin melabih tirai disebabkan ingin menyambut hari raya. Sedangkan para kekasih Allah hanya menyambut hari raya sekadar ala kadar je, kerana bagi mereka hari raya yang sebenar adalah apabila berada di dalam syurga nanti.

Ya Allah, begitu jauhnya kehidupan orang-orang terdahulu dengan orang zaman sekarang. Engkau berilah taufik dan hidayah kepada hambaMU yang kerdil ini untuk mengikuti jejak langkah orang-orang yang terdahulu. Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan bagi memperolehi CINTANYA? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan memperolehi CINTANYA, kerana Allah sangat menyukai hamba-hambaNYA yang ingin hampir kepadaNYA..

Ayuhlah sahabat-sahabat, kita menganggap malam-malam yang belalu selepas ini merupakan malam Lailatul Qadar. Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah. Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan).

p/s Selamat menambah pecutan di malam-malam terakhir. Yang paling asas jaga solat Isyak dan Subuh berjemaah. Itu seolah-olah beribadah sepanjang malam. Demikian mafhum hadis. Insya-Allah teruskan tarawih, baca Quran, solat-solat nafil yang lain. Membaca dan tafakkur serta tadabbur juga diselangselikan. Insya-Allah.

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all