Tuesday, October 20, 2009

Andainya Kamu Tahu...

Mungkin!
Mungkin sahabatku.
Ramai yang tidak mengerti betapa pentingnya kekuatan ruhani dalam menjalani kehidupan ini.

Boleh jadi ramai lagi yang terpesona dengan keindahan dan kehebatan lahiriah berbanding dengan keindahan dan kehebatan ruhani. Terkadang mereka terpukau lantas membiarkan ruhani kering dan terus kering hingga segala amalan dan perilaku untuk menghampiri Allah menjadi semakin jauh tanpa disedari dan kita tidak sedikit pun merasa kelazatan iman yang sebenarnya.

Apalah guna banyaknya amal kita dengan mengira rakaat rakaat yang kosong. Apalah guna tilawatul quran kita sekadar untuk menyahut panggilan fadhilat ramadhan yang tidak dapat membuahkan al-hubb kepada Allah. Tidak membuahkan pengajaran dan dapat mengambil panduan darinya.

Aku tidak menafikan dari sudut pahala. Kerana itu hak Allah diatas niat masing masing namun saban tahun dibulan mulia ini kita menjalani amal rutin ini tetapi tidak mendatangkan perubahan bagi diri dan iman malah terkadang amal amal ini menjadi tiket kita untuk lebih rakus lagi melayani hawa nafsu selepas ramadhan.
Aku tidak mengatakan sesuatu yang teori. Kerana perkara ini berlaku pada diri dan tidak mustahil pada kita semua! Sebab itu aku ingin kongsi akan peringatan ini kerana nafsu tidak pernah putus asa untuk menyesatkan kita apalagi apabila bertemu teman setianya syaitan laknatullah untuk menyesatkan kita dari jalanNya.
Saudaraku .

Kita tidak dapat menafikan kekuatan ruhani adalah kekuatan pokok dalam kita menghampiri Allah atau untuk Allah menghampiri kita. Kita memerlukan hati yang lembut dan sejuk untuk menyerapkan amal amal kita supaya sebati dengan ruh ubudiyah kita kerana hati yang keras tidak bisa diserap oleh iman dan kekusyukan amal.
Pernahkah dalam hidup kita kita terjumpa orang orang yag kuat ruhaninya? Pernahkah kita bergaul dan menumpang kejernihan hati mereka? Pernahkah kita lihat cara kehidupan mereka?

Andainya kamu tahu, sebenarnya tidak banyak bedanya kehidupan mereka dengan kita!
Mereka seperti kita. Mereka juga punya jamaah. Punya Usrah. Melalui proses tarbiyah.
Mereka juga memegang jawatan tinggi. Educated. Mempunyai kedudukan.
Apakah bedanya dengan kita?

Tidak lain tidak bukan adalah Kezuhudan. Zuhud dan Qanaah dengan hidup ini. Mereka hidup ala kadarnya. Punya rumah sekadar tempat berlindung. Punya kenderaan yang sekadar boleh berjalan. Berpakaian sekadar menutup aurat. Makan sekadar untuk beribadah. Bergaul dengan orang2 solih. Menuntut ilmu dan berdakwah hidup harian mereka.

Mereka juga bergaul dan bersocial tetapi semua itu menjurus kepada dakwah. Dimana mereka pergi, mereka membawa islam. membawa iman. Membawa risalah Nabi. Mereka senantiasa ingin menyelamatkan diri dan manusia lain. Hidup mereka sentiasa menjurus kepada akhirat dan sentiasa berhati hati!
Pernahkah kamu jumpa mereka ini? Mereka yang asing yang terpuji disisi Allah yang hidup mereka amat bahagia.

Kenapa aku sebut asing! Kerana jumlah mereka amat sedikit ditengah kita dan manusia yang banyak ini. Sehingga mereka digelar ‘ Ghuraba’ “ ( orang orang asing )

Nabi pernah bersabda
Beruntunglah orang orang asing. Sahabat bertanya, ” Wahai Rasullullah, siapakah orang orang yang asing itu?” Beliau menjawab, ” Orang orang yang bertambah Iman dan Takwanya ditengah ramai manusia yang kurang Iman dan Takwanya. ~ HR Ahmad
Bahagianya mereka kerana kedekatan hati mereka pada Allah. Ketakwaan mereka makin bertambah dengan amal amal solih yang mereka pertahankan ditengah arus perdana kebendaan yang menyilaukan kita. Disanalah kemuliaan kebesaraan jiwa dan kemuliaan yang mereka gapai disisi Allah.

Mereka seperti keadaan ikan yang berada ditengah air yang mengalir dan arus yang kuat. Ikan ikan itu semakin kuat dan besar kerana terbiasa melawan arus.
Begitulah jiwa mereka, tetap kuat bertahan melawan arus kebendaan dunia yang membadai.

Sesungguhnya memang kita sukar mengenali mereka kerana mereka amat sedikit dan banyak menyembunyikan amal.

Mereka tidak suka menunjuk nunjuk seperti kita kerana mereka tergugah dengan pesan Nabi

Sesungguhnya Allah menyintai hamba yang bertakwa, yang qanaah dan yang beribadah secara khafi sembunyi sembunyi ~ HR Muslim.

Andainya kamu tahu, tidak semesti amal amal solih harus disembunyikan kerana sebagai da’i terkadang kita perlu menjadi contoh untuk mad’u kita mencontohi amal yang kita lakukan. namun sebagai duat ini ada ibadah ibadah yang perlu kita rahsiakan dan sembunyi sembunyi dalam kerangka untuk memperkayakan ruhani kita agar lebih kukuh dan lebih tegar sehingga tidak terombang ambing oleh pesona dan gemerlapnya dunia.
Andainya kamu tahu, sebenarnya kita boleh jadi seperti mereka. Kerana mereka juga seperti kita dahulu. Bezanya adalah mereka sanggup melakukan perubahan diri untuk lebih mujahadah dan bersifat zuhud dan qanaah dalam hidup.

Marilah kita renung diri kita sendiri. Berapa lama lagi kita mampu menguak kehidupan dunia yang fana ini. Marilah kita tadabbur dan taffakur atau merenung dan berfikir sampai bila kita harus hidup dengan khayalan khayalan yang sonsang ini sehingga efeknya boleh membuat kita tersungkur dipintu nafsu yang akan meratah keimanan yang telah kita bina!

Wallahua'lam....

Perbaikilah Diri Hamba Ini....

Tiap kali aku menulis terlintas dihati ini agar ada insan yang mengigatkan dan menegur segala kesilapan dan kesalahan yang ku lakukan.

Aku menulis dengan hati ku kerana aku ingin ianya sampai dihati kamu semua. Semuanya yang baik. Dan tapisan yang tidak baik itu, aku mengharapkan teguran agar aku dapat menulis dengan baik lagi. Kiranya teguran yang ekstrim dan mengaibkan tegurlah melalui email. Aku mera’i dan mendambakannya.

Memanglah ini saja cara untuk aku memperbaiki karya karya dakwah ku. Agar karya dakwah ini menjadi pahala buatku.

Prinsip ku, aku suka mencari jalan keluar kepada sesuatu perkara yang memburukan keadaan hidupku biar pun perkara itu akan melukakan hati ku, kerana aku tidak mahu hidupku tidak boleh memanjat langit.

Aku ingin belajar dan terus berusaha untuk menginfak kan segalanya dalam hidup ini semata-mata untuk dakwah. Dan dakwah memerlukan jiwa dan ruh yang suci dan kesucian itulah sukar untuk aku raih tanpa membaiki diri ku dari masa ke semasa.
Inilah warisan tarbiyah yang ku belajar kerana aku ingin menjadi model dan bintang yang menyinar dalam cakrawala dakwah ini.

Aku ingin sekali dikenali dilangit dan tidak dibumi kerana dilangit itulah pesona kehidupan yang ingin ku ciptakan. Disanalah pejuang-pejuang dikumpulkan. Disanalah malaikat bersaf-saf mentaati Rabul jalil.
Disanalah aku ternampak berbagai keindahan yang tidak boleh ku bayang dan khayalkan dengan matahatiku.

Aku selalu merenung langit bila hati ku gundah gulana. AlMarhum guru ku berpesan, kiranya aku susah hati lihatlah kelangit kerana dilangit itulah ruh ruh syuhada’ dinaikan dengan sutera sutera putih, Dilangit itulah ketenangan kita, dilangit itulah kita nampak akan besarnya kekuasaan Allah. Dilangit itulah kita akan rasakan kekerdilan kita ini. Dilangit itulah kita akan rasakan bahawa kita hanyalah hama yang tiada nilai jika hidayah dan jalan dakwah ini tidak Allah kuniakan kepada kita. Dilangit itulah yang akan membuatkan nafsu besar dan cita cita kepada matabenda dunia ini menjadi pudar ….

Itulah langit yang Allah letakkan diatas kita supaya kita sentiasa mendongak dan menghinakan diri ini kepada Allah!

” Pasti hati mu lapang kerana ini adalah amalan2 pejuang ” kata guruku.
Langit banyak mengajar ku akan lapang dada. Banyak mengajar aku tentang bagaimana untuk mencipta cita cita. Dan cita cita ku tidak pernah tersangkut dibumi ini melainkan disyurga.
Rasullulah berpesan ” Jika kamu bercita citakan syurga, mintalah syurga yang tertinggi, syurga firdaus” .

Memang tidak akan tergapai cita2 itu mengikut logik akal kita namun wahyu dan rahmat tidak mengenal akal! Syurga hak Allah. Biarlah Allah dengan tugas dan hakNya.
Tugas kita teruskan bergerak mengikuti putaran bumi ini dengan risalah agung yang kita fahami ini.

” Inilah jalan Ku” kata Hasan AlBanna.
” Aku telah buat segalanya dari hidup ku untuk jalan ini ” Kata sayyid Qutub.
” Selepas menjadi khalifah aku inginkan syurga ” Kata Umar Abdul Aziz.
” Aku ingin panah ini kena dileherku” kata badui itu pada rasullulah.
Semua mereka ini bertemu cita-citanya. Cita-cita tidak menipu dan Allah akan membenarkan apa yang kita katakan. Itulah cita cita yang ku maksudkan.
Ghairahkan diri kita dalam perjuangan ini!

“ Ya Allah ambilah darah ku hari ini sekehendakMu samapai engkau redha pada ku ” Kata thalhah didlam perang uhud.
Apakah kita ada ghairah dalam dakwah ini?

Atau hanya ghairah bila bersama murabbi kita dan lemah bila keseorangan. Dimanakah kita letakkan ilmu tarbiyah yang telah dimasukan dalam jiwa kita oleh murabbi kita untuk kita pertahankan syaksiyah dan semangat ini dimana saja kita berada! Untuk kita kuatkan jati diri mengharungi semak semak djalan sukar ini?
Masihkah kita ingin berpaut dan bergantung dengan manusia lagi sepertimana kita bergantungan dicelah susuan ibu kita diwaktu kecil?
Kerdil sangatkah kita ini?

Aduhai … lamanya sangat kita berusrah, berjaulah dan berbagai program yang jamaah beri dan kita hadiri untuk kita bertambah qualiti lagi hingga program berganti program, sehingga gambar-gambar yang kita ambil dalam program yang kita hadiri untuk dibuat kenangan tidak muat untuk diisi di pendrive kita lagi kerana kegahirahan kita untuk gambar itu hingga kita lupa sepatutnya keghairahan itu kita patut channelkan untuk melaksanakan dakwah dengan jiddiyah yang berterusan tapi keghairahan kita hanyalah terhenti pabila tamatnya program kita. Apabila semua gambar2 kita telah kita downloadkan!
Lemahnya kita ikhwah dan akhawatku.
Betapa ruginya tarbiyah-tarbiyah yang kita lewati tanpa dapat meningkatkan performance kita sebagai da’i!

Dimana keghairahan dan cintamu pada dakwah dan deen ini?
Apakah pertemuan demi pertemuan yang kita aturkan dalam program-program kita hanya sebagai ukuhuwah yang kosong. Melepaskan rindu-rindu kita dengan kawan-kawan?
Jika inilah! Dimanakan kerinduan yang kita tahtakan dalam hati untuk tugas ini?
Dimana?

Inilah sebahagian dari pengalaman episod hidupku sewaktu aku masih mentah dengan tarbiyah. Berlumba-lumba tanpa keghairahan yang boleh membangunkan ruh jihadku! Sehingga aku terdampar dalam keletihan menghadiri program demi program tanpa dapat meningkatkan reputasiku sebagai duat yang bermanfaat!
Aku berkongsi denganmu supaya jangan kamu bazirkan usia ini dengan tarbiyah yang tiada natijahnya. Sampai bila harus begitu?

Ingat! keghairahan adalah syurga. Dan keghairahan itulah akan memberi kita kelazatan demi kelazatan dijalan ini. Mari kita letakan keghairahan ini ditempat yang benar. Agar keghairahan itu akan memanaskan darah mudamu untuk terus membakar bumi ini dengan lahar dakwah mu!

Inilah penangan keghairahan cintaku yang ingin kukembarkan dengan cintamu. Inilah suara nurani ku. Inilah suara hati ku. Inilah cetusan pengalamanku. Dari doa Rabithah yang sering aku kirimkan untukmu. Dari kemurnian jiwaku! Untuk kamu rasakan dalam helaan nafas jujurmu.

Ambillah setitik semangat ku ini untuk dijadikan lautan oleh mu.
Semangat yang telah lama ku peram sehingga aku lupa akan keletihan dijalan ini. Keletihan yang penuh nikmat yang tidak dapat aku bayangkan.
Pilihlah cita citamu. Jadilah pemimpin yang bijak. Biar getaran mimpi itu menjadi getaran yang meransangkan kesuma dan perjuangan mu.

” Mimpi hari ini adalah keyataan hari esok “ Kata Assyahid Albanna. Dijalan dakwah ini mungkin kita terjaga sebelum mimpi kita selesai. Dan tugas kitalah untuk segera bangun dan terus bangun tanpa tangguh untuk mneyelesaikannya dialam nyata ….
Jadikanlah mimpi kita seperti mimpi AsSyahid Ahmad Yasin yang bermimpi kakinya lumpuh. Dan lumpuhlah ia waktu berusia 16 tahun. Walaupun lumpuh zionis tidak dapat senyum dengan kelumpuhan itu malah saban malam zionis pula didatangi mimpi yang menakutkan.

Hingga Assyeikh bermimpi sekali lagi ……mimpi yang membawanya kelangit… dan mimpi itu pastinya akan berterusan kepada muridnya dan pejuang lainnya.
Semuga kita menjadi penyambung kepada mimpi itu agar bulu roma kita sentiasa meremang dengan semangat dakwah dan jihad yang berterusan terus mengejar kezaliman yang tidak pernah berhenti merosakan maya ini ….

Mengertilah Diriku.....!!!!!!

"Diriku,
Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
Kau terlupa membajai taman hatimu sendiri,
Agar ia sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
Tersentuh dengan daulat-Nya
Merasa terpikul amanah ad-deen ini.
Bukan kerana kau berjemaah,
Namun kerana engkau di bawah perintah-Nya.

Diriku,
Seringkah kau mencari jalan,
Agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya,
Agar sentiasa sedar akan keagungan-Nya,
Insafi kekerdilan, kelemahan, kealpaan & kesilapan dirimu.
Ketahuilah diriku,
Hatimu itu keras, khusyu'mu kurang,
Syukur & redhamu tidak banyak kau hadiahkan pada-Nya,
Terlalu banyak kurang & salahmu.

Diriku,
Tunaikanlah solatmu dalam khusyu' & tenang..
Muhasabahlah dirimu kala sunyi,
Selamilah kalam-kalam al-Quran yang kau perjuangkan,
Padanya ada bekalan
Untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini.

Diriku,
Pada nawafil & amalan sunat
Ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan Tuhanmu,
Pada qiamullail di keheningan malam,
Bersama bisikan doa & munajatmu,
Diiringi esak airmata keinsafan & keikhlasanmu,
Kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaran-Nya,
Di situ ada bekalnya...
Lazimilah awal dirimu dengan al-Mathurat,
Pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai daie.

Diriku,
Pada tawadhu', pada ukhwah fillah, pada infaq fi sabilillah,
Pada uzlah muhasabah diri, pada zikir selawat,
Ada ketenangan dan kekuatanmu...
Cekalkanlah hatimu wahai diriku........

Thursday, September 10, 2009

KAU SEMAKIN MENINGGALKANKU…….

Sedar tak sedar bulan ramadhan yang mulia telah hampir untuk melabuh tirainya. Sekarang telah masuk fasa yang ketiga yang mana Allah menjanjikan pembebasan api neraka untuk hamba2NYA. Adakah diri ini termasuk dikalangan hamba-hamba Allah yang bertuah itu? Perkara ini sering bermain di benak fikiranku. Apapun daku sentiasa harap dan takut pada pencipta. Kumengharapkan diri ini termasuk dikalangan insan-insan terpilih tersebut. Namun pada masa yang sama daku takut diri ini tidak diterima. Nauzubillah. Ntah mengapa, bila berada di pengakhiran ramadhan ini hatiku menjadi begitu sayu untuk berpisah dengannya. Mugkinkah ramadhan kali ini adalah ramdhan yang terakhir untuk ku? Sudah bersediakah utkku berjumpa dengan Sang Pencipat? Patutlah para anbia, dan kekasih Allah akan banyak menangis apabila berada di penghujung ramadhan. Amat berbeza dengan masyarakat sekarang yang begitu bergembira ketika ramadhan ingin melabih tirai disebabkan ingin menyambut hari raya. Sedangkan para kekasih Allah hanya menyambut hari raya sekadar ala kadar je, kerana bagi mereka hari raya yang sebenar adalah apabila berada di dalam syurga nanti.

Ya Allah, begitu jauhnya kehidupan orang-orang terdahulu dengan orang zaman sekarang. Engkau berilah taufik dan hidayah kepada hambaMU yang kerdil ini untuk mengikuti jejak langkah orang-orang yang terdahulu. Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan bagi memperolehi CINTANYA? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan memperolehi CINTANYA, kerana Allah sangat menyukai hamba-hambaNYA yang ingin hampir kepadaNYA..

Ayuhlah sahabat-sahabat, kita menganggap malam-malam yang belalu selepas ini merupakan malam Lailatul Qadar. Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah. Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan).

p/s Selamat menambah pecutan di malam-malam terakhir. Yang paling asas jaga solat Isyak dan Subuh berjemaah. Itu seolah-olah beribadah sepanjang malam. Demikian mafhum hadis. Insya-Allah teruskan tarawih, baca Quran, solat-solat nafil yang lain. Membaca dan tafakkur serta tadabbur juga diselangselikan. Insya-Allah.

Sunday, August 30, 2009

30 OGOS 2009 GENAP 25 TAHUN USIAKU….

Alhamdulillah….terlebih dahulu daku bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih lagi memberi peluang kepadaku untuk merasai nikmat Iman dan Islam serta masih memberi ruang kepadaku untuk memperbaiki Iman dan Amal. Alhmdulillah….di bulan yang mulia ini usiaku sudah genap 25 tahun. Namun terdapat persoalan yang selalu bermain di fikiran ini, selama 25 tahun Allah bagi kehidupan ini, sudah banyak manakah aku telah sumbangkan untuk islam. Bagaimana pula hubunganku dengan Allah, adakah semakin hari semakin meningkat atau sebaliknya yang berlaku. Ya Allah….ampunilah dosa-dosaku seandainya selama ini daku banyak lalai dan alpa dengan kehidupan dunia yang sementara ini.

Teringat pula nasihat ayah angkatku tentang kehidupan ini, katanya : zul, sebenarnya mati itu Allah telah tetapkan, cuma kita menanti masa yang ditentukan sahaja. Hari demi hari yang berlalu ini sebenarnya telah dekatkan diri kite untuk kembali pada Allah, cuma kita je tak sedarkan diri, kita sentiasa merasakan umur kita panjang. Lalu kita alpa tanpa membuatkan persediaan yang secukupnya. Bila kembali berjumpa dgn Allah, barulah kita menyesal kerana melihat betapa sikitnya bekalan yang kita bawa. Allah s.w.t sendiri telah menceritakan keadaan ini didalam surah as-sajdah. Beliau telah memberikanku satu zikir yang menjadi azimat buatku bila aku sedih dan berduka, mafhum zikirnya berbunyi Allah tengok aku, Allah bersamaku dan Allah sedang perhatikanku. Semoga Allah memberkati kehidupan Ayah angkatku yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membimbing diri ini kerah jalan yang diredhai Allah.

Justeru aku telah membuat dua fasa untuk diriku yang perlu aku capai, pertamanya fasa kehidupan dan kedua adalah fasa kematian . Untuk fasa kehidupan aku bahagikan kepada 3 bahagian iaitu ilmu pengetahuan, keluarga dan kerjaya. Sementara fasa kematian pula lebih fokus kepada ibadat dan sumbangan kepada masyarakat. Semua ini terkandung didalam master plan kehidupanku. Sebagai mana perancangan kita untuk berjaya didalam pelajaran, Sebagai seorang insan yang bergelar hamba Allah kita juga perlu ada perancangan untuk berjaya di akhirat. Di akhirat nanti kita akan berjaya sekiranya kite termasuk dikalangan ahli syurga, sebaliknya kite akan gagal sekiranya kita dihumban kedalam neraka.

Namun perjalanan untuk ke syurga penuh dengan mehnah dan tribulasi yang terpaksa ditempuhi. Walaubagaimanapun, daku telah nekad utk merempuh sahaja tembok2 yang menjadi penghalang untuk aku memperolehi keredhaan Allah. Biarlah aku mati untuk mempertahankan Islam, asalkan jangan Islam mati disebabkan perbuatanku. Lagipun segala apa yang ada pada diriku bukannya milik aku, sebaliknya ia adalah milik Allah. Apabila sudah tiba masa dan waktunya pasti Allah akan mengambilnya kembali daripadaku. Kadangkala daku semakin resah apabila melihat apa yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini, seolah-olah mereka tidak yakin akan kewujudan Allah s.w.t Sebagai contohnya bala H1N1 pada hari ini, masyarakat cuma nampak Virus tersebut berpunca daripada babi, sebaliknya mereka tidak nampak bahawasanya bala tersebut datang dari Allah s.w.t Daku cukup hairan kenapa manusia begitu takut kepada penyakit daripada pencipta penyakit itu sendiri. Sedangkan penyakit itu langsung tidak boleh memberi manfaat @pun mudarat melainkan dengan keizinan Allah s.w.t. Alangkah baiknya sekiranya ketakutan dalam hati kita itu hanya ada pada Allah.

Astargfirullah......betapa jauhnya keyakinan kami kepadamu yang Allah. Kadangkala daku termenung seorang diri memikirkan adakah daku layak untuk menjadi kekasih Allah, sedang tanggungjawabku sebagai hambaNYA pun belum dilaksanakan dengan sepenuhnya lagi....ya Allah!!! Ampunilah hambaMU yang dhaif ini. Janganlah engkau membiarkan daku keseorangan mengharungi liku-liku kehidupan ini,kerana aku yakin hanya engkau sahaja pembimbing yang terbaik untuk hambaMU ini. Sempena kedatangan bulan yang mulia ini, engkau tarbiyahlah diri hambaMU ini, supaya daku menjadi insan yang bertakwa kepadaMU. Sesungguhnya hanya Engkaulah segala-galanya buatku ya Allah, aku teringin untuk sentiasa bersamaMU....

Sunday, August 23, 2009

Kesilapan Yang Biasa Berlaku di Bulan Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan keperihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Friday, August 21, 2009

RAMADHAN YANG DIRINDUI SUDAH TIBA…..

Bismillahirrahmannirrahim…. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberi peluang kepada diri ini untuk meyambut bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Kedatangannya sentiasa dinantikan, namun pemergiannya membuatkan kita akan menangis untuk berpisah dengannya. Mungkin perasaan ini hanya wujud kepada mereka-mereka yang mencari cinta Allah. Sedangkan ahli maksiat tidak merasa apa-apa dengan kehadiran bulan ini. Bagi mereka mungkin bulan ramadhan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain.

Namun jauh di sudut hati, diriku terasa sebak apabila bulan ramadhan sudah tiba. Ntah mengapa aku pun tidak tau. Mungkin terkenangkan suasana bulan ramdhan yang lepas. Terasa rindu pulak suasana sewaktu aku bersama-sama dengan sahabat dan sahabiyah sama-sama bentang tikar untuk buat persiapan bagi ahli jemaah menunaikan solat sunat tarawikh dan iftar. Setiap petang begitulah rutin kami, bertugas mengikut jadual yang telah disediakan. Apapun aku mengharapkan ramdhan kali ini lebih baik lagi kepada diriku daripada ramdhan yang lepas. Mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah kepadaku dalam bulan ini, supaya daku dapat tingkatkan amal ibadahku, bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran, sebaliknya ingin meraih cinta Allah.

Kadangkala trasa sayu juga memandangkan ramadhan kali ini merupakan ramadhan yang terakhir aku berada di bumi UPSI. Selepas ini ntah dimana pula aku akan dipostingkan. Bagiku tidak kisah kemana sahaja dihantar, asalkan diriku hidup dengan peribadi seorang muslim serta melaksanakan amanah Allah sebagai hamba dan khalifahNYA di muka bumi ini. Insyaallah aku akan sentiasa berpegang teguh dengan prinsip diriku, iaitu ”Biarlah daku mati untuk Islam, asalkan jangan Islam mati disebabkan perbuatanku.”

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all