Perlu Dicari Akar Umbi Masalah
Semenjak demonstrasi yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mac yang lepas, isu PPSMI semakin hangat diperkatakan. Ada yang terus menyatakan bantahan dan ada juga yang mempertahankan keperluan dasar PPSMI. Namun, daripada pemerhatian peribadi, rata-rata pandangan yang mempertahankan dasar PPSMI dibuat berdasarkan kepentingan politik ataupun dengan berdasarkan pemikiran yang simplistik.
Harus difahami bahawa isu PPSMI bukan isu politik. Pihak yang berterusan membantah isu PPSMI juga bukanlah pihak yang mempunyai kepentingan politik. Seandainya ditelusuri sejarah isu ini, maka kita akan dapati bahawa pihak yang benar-benar berterusan memperjuangkan agar dasar PPSMI dimansuhkan, semenjak daripada mula-mula timbulnya cadangan untuk melaksanakan dasar ini, bukanlah parti-parti politik tetapi badan-badan bukan kerajaan (NGO), para sasterawan dan para intelektual negara. Hal ini bermakna bahawa bantahan yang dibuat bukanlah berdasarkan kepada apa-apa kepentingan sebaliknya hanyalah bertunjangkan rasa cinta kepada bangsa dan keprihatinan akan masa depan umat.
Adalah penting untuk difahami dengan jelas bahawa bantahan yang disuarakan terhadap dasar PPSMI tidak sama sekali bererti penolakan terhadap kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang penting di dunia pada hari ini. Secara umumnya boleh diperhatikan bahawa persepsi ini wujud; bahawa seolah-olah pihak yang membantah dasar PPSMI ini adalah pihak yang menentang Bahasa Inggeris. Hal itu tidak benar sama sekali. Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris tidak dinafikan, malah memang perlu digalakkan. Malangnya, pelaksanaan dasar PPSMI bukanlah langkah yang betul; bukan hanya pelaksanaan dasar ini tidak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar tetapi akan membawa kesan-kesan lain yang cukup kritikal, khususnya dalam konteks budaya dan pandangan alam.
Dasar PPSMI bukanlah penyelesaian untuk masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar kerana dasar ini lahir daripada corak pemikiran yang normal dan simplistik. Dasar ini tidak menyentuh permasalahan dasar. Dalam proses penyelesaian masalah, antara langkah awal yang penting adalah proses mengenalpasti punca masalah yang sebenar. Kegagalan mengenalpasti punca permasalahan yang sebenar akan menyebabkan tindakan yang salah diambil, lantas gagal menyelesaikan masalah. Cara berfikir secara simplistik, dengan gaya pemikiran yang normal yang biasanya akan mudah membuat sesuatu kesimpulan atau keputusan dengan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, akan menyebabkan punca masalah yang sebenar gagal untuk dikenalpasti.
Dalam isu yang sedang diperkatakan ini, masalah yang ingin ditangani adalah kelemahan para pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris, sekaligus menyukarkan mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan Sains dan Teknologi kerana kebanyakan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Setelah masalah dikenalpasti, langkah seterusnya adalah untuk mengenalpasti pula punca permasalahan yang sebenar. Dalam mengenalpasti punca masalah, adalah penting untuk kita tanyakan:
" Mengapakah para pelajar kita gagal menguasai Bahasa Inggeris walaupun setelah mereka mempelajari bahasa itu di sekolah semenjak Darjah 1 hingga Tingkatan 5 - sejumlah 11 tahun kesemuanya! "
Tempoh 11 tahun itu adalah satu tempoh yang sangat panjang untuk mempelajari bahasa. Bukankah perkara ini memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah? Seterusnya, kalaupun kita meletakkan kegagalan menguasai disiplin ilmu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai masalahnya, kita pasti akan bertemu dengan punca permasalahan yang sama apabila difikirkan secara rasional dan berdasarkan pandangan para intelektual.
" Apakah kegagalan menguasai Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu adalah disebabkan Bahasa Inggeris tidak dijadikan bahasa pengantar bagi pengajian kedua-dua subjek tersebut, ataupun disebabkan memang para pelajar tidak mahir berbahasa Inggeris? "
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Pelaksanaan dasar PPSMI dibuat dengan mengakui bahawa para pelajar kita pada hari ini tidak mahir berbahasa Inggeris. Nah, apakah mungkin para pelajar kita memahami konsep-konsep Sains dan Matematik yang diajar dalam satu bahasa yang mereka tidak mahir? Maka, akar permasalahannya adalah pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan rujukan bagi disiplin Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya di peringkat asas (sehingga ke peringkat pengajian SPM), kita sudah sedia mempunyai rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu. Perkara ini dinyatakan dengan tidak menafikan bahawa terdapat juga rujukan-rujukan bagi bidang Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi dalam Bahasa Melayu, walaupun bilangannya sedikit. Apa yang penting sekarang ini adalah, seandainya negara ini ingin melahirkan lebih ramai graduan yang mahir dalam disiplin Sains dan Matematik, konsep-konsep asas yang akan membawa kepada kefahaman dalam ilmu-ilmu Sains dan Matematik itu perlulah dikuasai oleh para pelajar. Untuk menguasai konsep itu pula, bahasa pengantar yang paling sesuai digunakan adalah Bahasa Melayu kerana itulah bahasa percakapan harian yang rasmi bagi masyarakat di negara ini. Justeru, apabila diajarkan sains dan matematik itu dalam Bahasa Melayu, para pelajar akan lebih mudah menangkap konsep-konsep yang perlu mereka fahami.
Kita tidak harus memandang rendah akan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lihatlah kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain universiti, bagaimana mereka telah melahirkan ramai graduan dalam bidang Sains dan Matematik serta mempunyai pensyarah-pensyarah yang berkelayakan dan universiti-universiti tersebut melaksanakan pengajiannya dalam Bahasa Melayu – sejak sekian lama! Mungkin akan timbul persoalan:
" Mengapakah kita masih jauh terkebelakang dalam sains dan teknologi? "
Sudah tentu adalah tidak adil, malah tidak wajar, untuk kita menyalahkan bahasa pengantar dalam hal ini. Ada banyak faktor yang lain yang perlu diberikan perhatian serius. Seperti:
" Adakah benar universiti kita mengamalkan sistem akademik yang benar-benar berdisiplin sehingga mampu melahirkan graduan yang mahir dan mampu bersaing di pentas antarabangsa? "
Kemudian, jika ada:
" Adakah kemahiran dan pengetahuan yang meluas di kalangan para graduan itu dimanfaatkan secara optimum dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi di negara ini? "
" Adakah kita masih tidak meyakini kemampuan anak tempatan, lantas masih menggunapakai pakar daripada luar negara? "
" Apakah para pelajar kita diberikan ruang dan kebebasan berfikir yang betul-betul luas sehingga mampu mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatifnya? "
" Adakah para pelajar kita sudah terdidik dengan sikap yang betul sebagai seorang penuntut ilmu? "
" Apakah kemudahan fasiliti dan peralatan yang diperlukan bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam disiplin ilmu sains dan matematik mencukupi di negara ini? "
Isu Dasar Menjadi Persoalan
Penentangan terhadap dasar PPSMI ini juga bukanlah semata-mata penentangan terhadap pelaksanaan dasar tersebut tetapi lebih kepada penentangan terhadap dasar itu sendiri. Soal pelaksanaan, dalam apa jua dasar dan pada apa jua peringkat, pasti akan punya kelemahan dan kekurangan kerana itulah sifat manusia. Justeru, soal pelaksanaan tidak memerlukan kepada penentangan yang terlalu agresif. Malah, seandainya isu ini adalah isu pelaksanaan, maka yang lebih sesuai adalah semua pihak duduk bersama-sama untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut. Namun, isu ini adalah isu dasar. Selain daripada ketidakmampuan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk membina kefahaman terhadap konsep-konsep dalam ilmu sains dan matematik, dasar PPSMI juga akan menyebabkan Bahasa Melayu menjadi semakin terpinggir. Hal ini merupakan satu hal yang cukup kritikal. Walaupun pihak yang mempertahankan dasar PPSMI berulang kali menegaskan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI tidak bermaksud untuk mengenepikan kepentingan Bahasa Melayu, namun itu sekadar alasan yang bersifat retorik semata-mata. Hakikatnya, apabila Bahasa Melayu dikeluarkan daripada pengajian sains dan matematik, maka di manakah kedudukan Bahasa Melayu? Di mana lagi Bahasa Melayu akan digunakan?
Ilmu Sains dan Matematik adalah ilmu asas yang akan mencapah kepada terlalu banyak bidang yang lain seperti kejuruteraan, komputer, perubatan, pelayaran, pemetaan, geologi dan lain-lain. Apabila Bahasa Melayu dibuang daripada pembelajaran ilmu-ilmu itu, maka bukankah Bahasa Melayu hanya akan digunakan di pasar-pasar dan di jalanan? Bukankah itu merendah-rendahkan martabat Bahasa Melayu? Maka, bagaimana mungkin kita mahu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi? Malah, untuk jangka masa yang panjang, dikhuatiri akhirnya Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan. Apabila keadaan ekonomi dan teknologi masyarakat sudah berkembang, siapakah agaknya yang masih mahu menggunakan Bahasa Melayu – sebuah bahasa jalanan dan bahasa pasar – sebagai bahasa pertuturan harian mereka?
Bahasa Dan Budaya
Penting untuk difahami bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Apabila Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris diangkat tarafnya terlalu tinggi, maka akhirnya budaya masyarakat Barat yang menggunakan Bahasa Inggeris itu akan menyerap masuk secara langsung ke dalam masyarakat di negara ini. Sememangnya tidak semua yang daripada Barat itu adalah negatif, banyak juga yang positif. Namun, lakukanlah penilaian secara objektif; unsur-unsur daripada Barat yang begitu banyak mendominasi kaca-kaca televisyen, corong-corong radio, halaman-halaman dalam majalah dan dada-dada akhbar, apa dia? Bukankah filem-filem daripada Hollywood, yang hampir kesemuanya pasti memaparkan pergaulan bebas lelaki dan wanita (paling tidak, pasti ada adegan bercumbu antara lelaki dan wanita), yang begitu banyak ditayangkan di panggung-panggung wayang? Ditambah lagi dengan VCD dan DVD yang boleh diperolehi dengan begitu mudah? Bukankah artis-artis daripada Barat yang tidak mampu menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada masyarakat di negara ini, begitu banyak menghiasi dada akhbar dan majalah, malah lagu-lagu mereka diputar berulang kali dalam radio? Ditambah lagi dengan teknologi Internet yang membolehkan masyarakat di negara ini mendapat capaian kepada pelbagai bahan yang tidak sihat, yang majoritinya daripada Barat. Kita tidak boleh memisahkan hal budaya ini daripada bahasa. Budaya bangsa Melayu, budaya bangsa lain, budaya bangsa Asia, adalah budaya yang sifatnya cukup lemah-lembut dan kaya dengan adab. Tetapi tunjangnya bukan Bahasa Inggeris! Lihatlah apa yang terjadi kepada jatidiri orang Melayu di Singapura apabila Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama mereka.
Perkaitan antara bahasa dan budaya ini dijelaskan secara terperinci dan jelas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, antaranya dalam karangannya yang berjudul ‘Risalah Untuk Kaum Muslim’. Bahasa itu bukanlah sekadar perkataan-perkataan kosong, tetapi bahasa adalah medium penyampaian mesej. Perkataan dan istilah dalam bahasa itu membawa makna yang tersendiri, dalam konteks yang tersendiri, yang akhirnya membawa kepada pembentukan pandangan alam seseorang itu.
Islamisasi dan Bahasa Melayu
Dalam konteks agama Islam pula, ada sebab yang cukup utuh mengapa Bahasa Melayu itu perlu dipertahankan. Selain daripada berbahasa Melayu itu digandingkan dengan beragama Islam sebagai ciri bangsa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang penting juga adalah Bahasa Melayu ini adalah sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi di rantau ini. Sebagai sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi, maka peranan Bahasa Melayu di rantau ini adalah sangat penting dalam pembentukan pandangan alam Islam seseorang itu. Begitu banyak perkataan dalam Bahasa Melayu adalah berakar daripada bahasa Arab yang Islamik. Istilah bahasa Arab yang Islamik digunakan di sini kerana bukan semua yang berbahasa Arab itu adalah orang Islam dan juga kerana bahasa Arab itu sendiri telah melalui proses Islamisasi tatkala Rasulullah Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan dengan membawa kitab Al-Qur’an.
Penggunaan istilah-istilah yang telah berakar teguh dalam Bahasa Melayu, tidak mungkin boleh digantikan dengan begitu sahaja oleh Bahasa Inggeris yang merupakan satu bahasa asing di rantau ini. Sebagai contoh, istilah “taqwa” tidak boleh disamakan dengan istilah “pious”, kerana sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Qur’an istilah “taqwa” terkait dengan kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan istilah “pious” adalah satu istilah yang terlalu umum yang malah digunakan dalam agama selain daripada Islam, selain daripada tidak membawa perkaitan dengan Tuhan. Begitu juga istilah “akhlak” tidak boleh disamakan dengan “ethic”, “ikhlas” tidak boleh disamakan dengan “sincere”, “adil” tidak boleh disamakan dengan “justice”; dan sebagainya lagi. Termasuklah, “Allah” tidak boleh diterjemahkan sebagai “God”. Apabila Bahasa Melayu sudah tidak lagi dianggap penting, maka istilah-istilah di atas akan terganti lantas merosakkan pandangan alam umat Islam di negara ini.
Ikutilah Yang Lebih Mengetahui
Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah, bahawa semenjak daripada mula-mula dasar PPSMI ini diperkenalkan, ramai di kalangan para intelektual yang telah membantah dasar ini. Nah, seandainya pandangan para intelektual yang didukungi oleh hujah-hujah mereka yang cukup kuat dan ilmiah tidak didengari, maka pandangan siapakah yang digunapakai? Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menyatakan bahawa apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan pakarnya, maka kita akan menghadapi saat kehancuran. Daripada disiplin Sains dan Matematik, kita ada pakar fizik bertaraf antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman (UKM) yang menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI. Daripada bidang bahasa pula, kita ada Profesor Bahasa Melayu dan ahli linguistik tersohor, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang berterusan membantah pelaksanaan dasar PPSMI. Maka, seandainya pandangan pakar-pakar seperti mereka tidak kita dengari, pandangan siapa lagi yang kita mahu ikuti?
Jawatan, pangkat dan kedudukan tidak menjamin tahap keintelektualan seseorang. Malah dalam Islam pun kita diajar bahawa seorang pemimpin itu (umara’) harus mendengar nasihat dan pandangan daripada seorang ilmuan (ulama’) dalam membuat keputusan dan tindakan. Bukanlah satu keaiban untuk mengaku bahawa kita tersilap dan memperbaiki kesilapan itu.
Ayuh, batalkan dasar PPSMI demi masa depan umat!
Allah jua Yang Maha Mengetahui!
(sekadar perkongsian)
Terus Bersama Mahasiswa Pendidik
Mujahid Jailulfatih
Kucing KesayanganKu
Anda Pelawat
Subhanallah...
Semoga hari ini lebih baik daripada semalam....
Informasi...
-
-
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni10 years ago
-
-
-
BANGKITLAH SEGERA.....
Mengapa kian malap bara juangmu....?
Dimana unggun yang menjulang itu..
Kemana pergi..?
Bangkitlah..
Hiraukan bayu yang menegur..
Takut nanti taufan hebat pula menampar..
Tidak sempat kau elak..
Usah goyah…
Usah lesu wahai pejuang..
Usah tunduk pada kekalahan..
Mana kau tahu itu penghujung segala..?
Bangkitlah segera anak dagang..
Jurangmu masih jauh berbeda..
Lupakah dikau pesanan ulama'..?
Muslim itu tidak boleh lemah..!
Tidakkah itu suatu kebenaran..?
Maka sahutlah..
Sambutlah kalimat itu..
Gapailah cita-citamu yang melangit tinggi..
Agar goyah kubu musuhmu..
Sekali rebah
takkan bisa melemahkan dayamu..
Kerana ia hanyalah
bak gigitan semut..
Bagi seorang pejuang yang utuh,
bekalkan jiwamu dengan makanan ilmu yang berguna.
Luangkan masamu
pada helaian kalimat Rabb
Kerana disitulah jalan bahagia bagimu...
....Laman Aktivis Mahasiswa.....
Labels
- cinta sejati... (1)
- Tinta Mujahideen (3)
TAUJIHAT DAKWAH...
“Perjuangan itu ibarat ranjau bertatah duri-duri yang mencengkam leluhur daging. Ditarik ia sakit, ditolak jadi nanah. Tapi bagi seorang pejuang, kesakitan itu ibarat tiupan lembut angin dari jannah dan tegukan air, penyejuk tekak di
“Allah menguji keikhlasan bila bersendirian, Allah memberi kedewasaan bila ada masalah, Allah melatih kesabaran dalam kesakitan, Allah tak pernah mengambil sesuatu yang kita sayang kecuali dengan menggantikan yang lebih baik”.
“Memulakan langkah memang perit, jatuh, dan bangun semula… kadang-kadang tanpa tangan menghulur bantuan. Terasa diri kembara sendirian… Mimpikan syurga idaman, sedangkan diri tidak tahan ujian. Kerdilnya diri bila menghitung keringat yang gugur… Titisan air mata kecewa rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu… Mekar dalam jambangan setia pada perjuangan Islam.”
Traffic Jam
Alim Ulamak
Sheikh Nuruddin
Tok Guru Nik Abdul Aziz
Tok Kenali
Wednesday, April 15, 2009
Dasar PPSMI Perlu Dimansuhkan....
Posted by
Mujahideen
at
9:06 AM
0
comments
Thursday, March 12, 2009
Sahabatku, Jalan ini Bukan Mudah.....
Sahabatku..
Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.
Sahabatku yang sangat aku cintai..
Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.
Sahabatku..
Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!
Amanah ini untuk kita,sahabatku. Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.
Sahabatku...
Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.
Sahabatku yang dikasihi..
Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.
Sungguh aku bersama mu.
Tulus,
Sahabatmu tercinta
Posted by
Mujahideen
at
12:29 AM
0
comments
Wednesday, February 25, 2009
IMPIANKU
Impianku ialah menjadi orang yang beriman
Disaluti rasa gerun dan taqwa kepada Allah
Jiwaku penuh penghayatan dan keyakinan terhadap Islam
Solatku lambang maruah diriku
Ilmu sentiasa diburu, disebar, dan diimarah
Sentiasa lapar dan dahaga akan pahala
Sentiasa bersama mujahid yang berjuang fiisabilillah
Tidak takut berkata benar
Tidak pernah gentar melawan nafsu
Impianku ialah menjadi orang yang menjaga tutur katanya
Tidak bermegah dengan ilmu di dada
Tidak menyombong dengan harta dunia yang dianugerahkan
Sentiasa berbuat kebajikan kerana mengejar sifat pemurah
Mempunyai ramai sahabat yang sentiasa bertambah
Impianku ialah menjadi seorang yang menghormati ibu dan ayah
Sentiasa berbakti kepada keluarga dan masyarakat
Memimpin dan menjaga kerukunan rumahtangga
Mendidik dan menyerapkan peradaban Islam ke dalam jiwa
Isteri tercinta dan anak-anak tersayang
Hidupku penuh kesederhanaan
Kerana dunia bagiku ialah rumah sementara
Dalam menuju akhirat hakiki
Impianku ialah menjadi orang yang sentiasa bersedia menjadi imam
Hidup di bawah naungan Al-Qur’an dan As-Sunnah rasulullah s.a.w
Mudah diajak berbincang dan berbicara
Sentiasa menundukkan pandangan
Sujudku membuahkan rasa hina diri sebagai hamba
Tulus ikhlas mengharapkan rahmat Allah
Impianku ialah peka dan optimis akan masa yang sentiasa mencemburui
Mataku layu kerana rakus menelaah
Suaraku lesu kerana keletihan mengaji dan berzikir
Tidurku lena bertemankan cahaya keimanan
Bangunku subuh ibarat harimau kelaparan
Buah tahajjud dan air mata tangisan menjadi hidangan
Kerana usiaku lanjut meniti kematangan
Impianku ialah peringatan mati sebagai teman sejati
Kerana bagiku dunia adalah ladang akhirat
Panorama kehidupan perlu dibaja dan disemai
Agar berputik tunas yang bakal bercambah menjadi baja yang berkualiti
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian
Impianku ialah menjadi orang yang tidak terlena dengan hambatan dunia
Kerana daku mengimpikan syurga firdausi
Di situlah rumahku kekal abadi
Perkenankan impianku Ya Allah…
Amen Ya Rabbal ‘Alameen…
Posted by
Mujahideen
at
8:33 AM
0
comments
Sunday, February 22, 2009
Aktivis Muslimah Harapan Rasulullah S.A.W...
Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah diseleksi oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat peduli terhadap muslimah.
Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak dua orang perempuan kemudian ia berbuat baik dalam berhubungan dengan keduanya akan bisa memasukannya ke dalam surga."
Di masa baginda hidup kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapatkan hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikata beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya. Kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai fitrahnya.
Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada ditengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mulai mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.
Ustadz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan ummat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki ummat."
Untuk menjadi muslimah yang disayang oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:
1. Faqihah Lidiiniha
Seorang muslimah hendaklah faqih (paham) terhadap din (agamanya). Selayaknya ia dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadits dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, karena dengan itu ia memahami keinginan Rasulnya untuk kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW.
Ia juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha banyak membaca buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlaq, fiqh, sirah, fiqh da'wah, Tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.
2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha
Seorang aktivis muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi seorang aktivis yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, sholat, puasa, dan sebagainya. Sehingga ia tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang nantinya anak-anak tersebut akan ia persembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya Allah kelak ia akan menjadi Ibu yang sukses seperti Hajar dan Khadijah ra.
3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha
Sebagai aktivis amal Islami, kepedulian kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi kepedulian terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Ia menjadi muslimah yang senantiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensholatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau karena tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini ia lakukan karena selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, istrinya.
4. Naafi'ah Fi Tagyiiri Biiatiha
Ia selalu peduli terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat solat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan solat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assolah, Assolah!!!'
Demikian semoga dengan empat hal ini kita dapat menjadi aktivis Muslimah yang di cintai Rasulullah SAW. Amin.
Posted by
Mujahideen
at
8:10 PM
0
comments
Monday, February 9, 2009
Punca Segala Masalah Mahasiswa....
Auku itu punca segala masalah.. kan? Terlebih dahulu saya meminta ampun dan maaf sekiranya persoalan yang saya lontarkan agak terbuka dan juga tidak berlapis.Bagaimana ya untuk afdhal menjadi rasional dengan isu tersebut sedangkan ia adalah satu hakikat yang anda perlu terima? Jangan katakan kita pergi terlalu jauh untuk penghapusan akta universiti dan kolekj universiti(AUKU)? Kerana ia sememangnya tembok pertama yang perlu kita runtuhkan dalam mengembalikan kebebasan mahasiswa. Contoh pertama, kita bercakap mengenai suasana selesa yang di hadapi mahasiswa dan juga graduan akibat pembangunan ekonomi dan kemajuan pesat negara, ini satu kesilapan kerana puncanya, kita mahasiswa lebih suka melepak di mid valley, dan KLCC ,yang paling uptodate The PAVILION kerana ia kononnya lambang pembangunan pesat negara, sedangkan mereka sepatutnya pergi melihat bagaimana kehidupan masyarakat bawahan di sepanjang jalan Kelang Lama. Kita dan kawan-kawan lebih merasa senang membayar rm5 sejam untuk menyewa kereta untuk membawa teman-teman dan paling tidak teman wanita keluar makan di Sri Hartamas, Bangsar, daripada membeli majalah ilmiah di pasaran sebagai bahan bacaan tambahan.Kenapa ya saya dan kawan melakukan ini semua? bukan kah ia pengaruh dari AUKU yang menutup ruang untuk golongan mahasiswa berfikir dan bertindak lebih meluas lagi?
Apabila wujudnya kumpulan tertentu menganjurkan program yang mahu mendekatkan mahasiswa dengan kehidupan masyarakat bawahan hari ini, mereka sukar untuk meluluskannya, kerana ia di anggap program luar universiti.Mengapa ia ditolak? Agenda berkaitan jumlah graduan yang mengangur yang semakin hari semakin ramai juga berpunca dari "hantu raya" yang sama.Graduan hari ini ramai yang gagal mendapatkan pekerjaan kerana kita tidak berfikir sebagai seorang graduan bagaimana kita berusaha unutuk mendapatkan pekerjaan.Ia juga berpunca dari Auku yang membelengu pemikiran kita.Sebagai contoh,graduan dalam bidang pendidikan hanya akan memikirkan tawarannya di terima atau tidak oleh pihak KPM untuk menjadi guru semata-mata. Kenapa tidak kita persiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan yang lain? Dengan berfikir secara terbuka bahawa di malaysia ini terdapat pelbagai bidang kerja untuk di ceburi dan di terokai sebagai cabaran.Pelbagai bidang masalah yang memerlukan cerdik pandai,pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang memerlukan pemikir,penggerak dan juga penyokong sebagai nafas baru . Oleh kerana sejak meja universiti lagi kita semua sudah di belenggu untuk berfikir dengan satu arah,maka apabila tamat pengajian,kita hanya mahu berfikir untuk mendapat pekerjaan "yang sesuai dengan kelulusan" -membeli kereta kancil dan seterusnya meminang teman wanita kita untuk hidup aman damai tanpa memikirkan nasib masyarakat kita.
Apa rasionalnya kita membicarakan sudut pidato umum di Hyde Park dengan situasi mahasiswa di malaysia? Apakah dengan pidato umum sahaja pandangan kita dapat di ketengah kan? Hanya itukah cara untuk kita bertindak? Membantu masyarakat? atau memberi sumbangan bersesuaian dengan "kelulusan anda"? Kesemua ini akan membawa kita menyalahkan auku semula yang menjadi punca kepada semua masalah tersebut. Kerajaan memang tepat mengatakan mahasiswa hilang kreativiti dan malas berfikir,tapi itu adalah salah satu kejayaan auku..ia bukan bermaksud malas berfikir dan hilang kreativiti secara total tetapi kita semua hilang kreativiti bagaimana untuk bertindak selaku mahasiswa di sebalik konkongan Auku, dan anda malas berfikir bagaimanakah cara untuk “beraksi” selaku mahasiswa di sebalik pemantauan HEP.
FIKIRKAN DENGAN RASIONAL !
Posted by
Mujahideen
at
9:05 PM
0
comments
Wednesday, February 4, 2009
SEKADAR MUHASABAH DIRI.....
Hari berganti hari, tanpa kita sedari semakin dekat diri kita dengan kematian, Umur yang kita menjangka panjang, tanpa kita sedari, seiring dengan waktu sebenarnya ia semakin berkurang.
Berapa ramai orang yang telah hidup sebelum kita, namun sekarang mereka hanya tinggal tulang belulang yang sudah hancur dimakan tanah, Kita juga tidak lama lagi pasti akan menyusul jejak langkah mereka. wahai saudaraku, kita sudah sedia maklum bahawa kita juga pasti akan berakhir seperti mereka, kita adalah kematian yang hanya menunggu waktu, ketika waktu itu sampai tidak seorangpun diantara kita yang mampu menolaknya.
Saudaraku,
Berapa ramai manusia diantara kita yang merasa ketakutan ketika kematian menghampirinya. Keringat dingin bercucuran, seluruh tubuh mengigil kesakitan. Air mata bersimbah kerana merasa belum bersedia menghadap Allah. Kerana merasa belum siap untuk mempertanggungjawabkan semua perbuatan maksiat yang pernah dilakukan.
Apakah kita nantinya akan seperti mereka???
Berapa ramai manusia yang ketika hidup di muka bumi, mereka terlena dengan kenikmatan dunia? Mereka lupa akan tujuan hidup mereka, bahkan mereka sombong atas pemberian Allah yang hanya pinjaman yang sementara untuk mereka,
Saudaraku apalah ertinya senyum sesaat, seandainya harus ditebus dengan tangisan seumur hidup?
Saudaraku, kemarin telah berlalu, hari ini juga akan berakhir, dan esok juga akan pergi. Sungguh tak ada kepastian dalam kehidupan ini, kepastian dalam kehidupan hanyalah perubahan, selagi kita masih hidup, maka sama2lah kita islah diri kita, atau kematian yang akan merubah kehidupan kita.
Ketika pertama kali kita dilahirkan dimuka bumi ini, semua orang disekitar kita tersenyum, semua orang tertawa dan bahagia, terutama kedua orang tua kita,
Namun usahakanlah ketika kita akan meninggalkan dunia ini, semua orang menangis, dengan tangis keredhaan, namun kita tetap tersenyum bahagia, kerana kita akan berjumpa dengan kekasih hati yang selalu mencintai kita, yaitu Allah SWT.
Saudaraku, di kehidupan dunia yang cuma sementara ini, sudah tentu kita tidak ingin gagal disebabkan hidup kita disini hanya cuma sekali sahaja, tentunya kita ingin pulang dengan selamat dikampung halaman kita yaitu akhirat, tentunya kita ingin pulang dalam keadaan bersih menghadap Allah yang maha suci, tentunya kita ingin menghadap Allah dalam keadaan pasrah dan terlepas dari semua dosa-dosa.
Saudaraku
Semoga Allah SWT mempertemukan kita dalam jalan yang sama di jannahnya bersama dengan para syuhada dan para Nabinya... Ameen...
Posted by
Mujahideen
at
9:27 PM
0
comments
Sunday, February 1, 2009
BEKALAN PARA DAI'E : SUKARNYA MENDIDIK HATI UTK MENERIMA SEBUAH TEGURAN....
Kita sesungguhnya sebagai insan, adalah makhluk yang sangat lemah. Allah s.w.t. sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firmanNya yang bermaksud ; “dan manusia dijadikan bersifat lemah” [Surah An-Nisaa’ ayat 28].. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja… dan sesiapa sahaja… termasuklah seorang daie itu sendiri.
Catatan saya kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya para duat atau daie ilalLah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai daie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana EGO.
Lantaran kita sahaja yang sering membimbing dan mendidik, memimpin dan menunjuk, sering menyampaikan nasihat dan bertazkirah.. ia boleh menimbulkan sejenis penyakit sampingan yang terkadang tidak disedari kecuali oleh mereka yang mendapat taufik Allah s.w.t. iaitu penyakit sukar menerima teguran, nasihat mahu pun kritikan.
Secara lisan memang mudah untuk seorang yang telah memiliki kedudukan tertentu di mata manusia untuk menyatakan bahawa “kita mestilah boleh menegur dan ditegur!” namun, secara hakikatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu bagaimana sukarnya membuang bisikan mazmumah ketika diri kita ditegur dan dikritik.Di antara kuman atau virus biasa yang akan mendampingi kita (daie, murabbi, qiyadah dsb) tatkala ditegur, dinasihati ataupun dikiritik ialah ;
* Sukar menerima kesilapan dan kesalahan yang dikritik
* Mencari justifikasi untuk membenarkan atau mempertahankan kesalahan tersebut
* Segera berpaling kepada kelemahan dan keburukan yang ada pada si penegur
* Mempertahankan kesalahan sendiri dan memburukkan peribadi si penegur
Kuman-kuman dan virus tersebutlah sekiranya tidak dihapuskan dengan segera akan mendedahkan kepada situasi yang lebih buruk sehingga membawa kepada terkoyaknya persaudaraan Islam dan timbulnya bibit-bibit permusuhan. Bagaimanakah cara untuk mencegah diri dari ditimpa oleh risiko penyakit jiwa yang merbahaya ini? Di antara tips nya ialah :
* Sewaktu menerima kritikan dan teguran di atas kesalahan yang memang kita lakukan, berfikirlah dengan dengan akal dan jiwa yang waras, tidak emosional dan dikuasai perasaan.
* Berusaha melihat sesuatu dengan berjiwa besar dan berpandangan luas (big picture). Sekiranya timbul perasaan malu dan jatuh maruah ketika ditegur, yakinkan diri dengan segera bahawa orang yang berlapang dada dengan teguran akan lebih dihormati.
* Segera bersangka baik bahawa si penegur yang menasihati kita tersebut sebenarnya sangat sayang akan kita sehingga ia sangat berharap perubahan yang positif dari tegurannya, bukan merendahkan kita.
* Anggaplah bahwa kejadian ditegur atas kesilapan ini adalah cara Allah s.w.t. mendidik kita secara langsung. Allah sangat sayang kepada kita sehingga ditakdirkan ada orang yang berani menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Nikmatilah tarbiyah Allah ini..
* Bersyukur lantaran ada orang yang menegur agar kita tidak semakin leka, lalai dan terseleweng. Bayangkan jika kita terus di atas jalan kesilapan tersebut.. bagaimana natijahnya?
Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. juga ditegur oleh Allah s.w.t. dalam peristiwa bersama Abdullah bin Ummi Makhtum yang buta. Tatkala Rasulullah s.w.t. sibuk melayani kalangan pimpinan dan pembesar kafir Quraisy sehingga merasa agak tidak selesa dengan kedatangan Sahabat yang buta lagi miskin ini datang untuk meminta pengajaran. Allah s.w.t. lantas menegur Nabi s.a.w. di atas perkara tersebut. Selepas turun surah ini, Rasulullah s.a.w. terus menyebarkannya agar dijadikan iktibar kepada umat yang lain. Dan jika Baginda bertemu dengan Abdullah bin Ummi Makhtum, baginda akan menyapanya dengan berkata: " Selamat bertemu dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku". Inilah tarbiyah Allah s.w.t.
Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia melakukan penyelewengan. Kata beliau, “andainya aku melakukan kebaikan, bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku… patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi…”
Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab juga berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan beliau supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".
Jika Rasulullah s.a.w. juga boleh ditegur, para sahabat besar juga bersedia ditegur.. siapalah kita untuk membesarkan diri (ego) dari menerima teguran??? Firman Allah S.W.T. :
"Dan apabila orang-orang yang apabila ia melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakh lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain dari Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan dari Tuhan mereka dan balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal."[Surah Ali 'Imran: ayat 135-136]
Posted by
Mujahideen
at
10:57 PM
0
comments
Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi
Dulu, Kini dan Selamanya...
### salam ukhwah ###....
- Mujahideen
- Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
MUTIARA KATA
Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)
bicara siswa
Laman Ilmu....
-
-
Hello world!9 months ago
-
Mampukah PAS pertahan Kelantan PRU-13?13 years ago
-
Mauris ut mauris15 years ago
-
Aidilfitri bersama Menteri Besar Kelantan17 years ago
-
BAKAL PENDIDIK DAN FAHAMI KONSEP SIASAH ISLAM17 years ago
-
-
-
-
sahabat
sahabiyah
-
DUNIA BLOG YANG DIRINDUI7 years ago
-
Shepherd Rescue North Carolina11 years ago
-
Entry baru, masih belum terlambat13 years ago
-
Kembali Menyusun14 years ago
-
-
Jemari Kaku Kembali Menari14 years ago
-
-
Tak takutkah dengan hukuman Allah?15 years ago
-
Melangkah Satu Tangga Lagi15 years ago
-
TERKINI16 years ago
-