Friday, August 29, 2008

Warkah buat Ibu


Menemui bonda yang dikasihi, semoga sentiasa dalam kesejahteraan dan limpah rahmat kasih sayang-Nya. Anakanda doakan mudah-mudahan dirimu terus tegar dan tabah dalam menghadapi keperitan dan ranjau kehidupan yang kian mencabar.

Bonda tersayang,Sesungguhnya tiada kata yang dapat anakanda lafazkan. Tiada lukisan yang dapat dilakarkan dan tiada tulisan yang dapat dititipkan untuk melahirkan rasa penghargaan buatmu ibu, melainkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kerana dikurniakan ibu seperti mu. Sedar tidak sedar, kini usiaku telah genap 24 tahun. Hari ini merupakan sejarah dalam hidup anakkandamu ini kerana menyambut ulang tahun ke 24thn sempena ambang kemerdekaan dan bulan ramadhan yang diberkati. Tidak dapat kugambarkan betapa keperitan yang ibu rasakan ketika bertarung nyawa melahirkanku. Ibu berkorban segala jiwa dan raga demi melihat sinar hidup anakmu. Hanya Dia yang layak membalasnya.

Bonda,
Seketika aku terkenang firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya hingga berpisah selama 30 bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya menjangkaui 40 tahun, dia berdoa:

Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku beramal soleh yang Kau redai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang berserah diri."Firman-Nya lagi: "Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amalan kebaikan yang mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang telah dijanjikan kepada mereka." (Surah al-Ahqaf, ayat 15 hingga 16)Aku terharu.

Tanpa disedari, air bergenang di kelopak mataku. Betapa tingginya kedudukanmu di sisi Tuhan. Betapa mulianya tugasmu ibu hingga disebutkan dalam al-Quran. Betapa Dia menjanjikan keampunan dan syurga buat mereka yang mentaati ibu bapa. Dalam ayat lain pula, firman-Nya bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita kelemahan atas kelemahan dan berpisah (melahirkan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu." (Surah Luqman, ayat 15)Nabi Muhammad SAW juga amat memuliakan diri insan bergelar ibu. Sabda Baginda bermaksud: “Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah, lalu dia bertanya: Siapakah orang yang paling layak untuk aku berbuat baik? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Bapamu.”(Muttafaqun 'alaih)Urwah, sahabat Rasulullah berkata: "Tunduklah kamu di hadapan ibu bapamu sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di hadapan tuannya."Kata Atha' bin Rabah: "Janganlah kamu mengangkat tangan apabila sedang bercakap dengan kedua-dua ibubapamu."

Imam Hassan al-Banna berkata: "Hendaklah si anak itu bercakap kepada orang tuanya: Wahai ibu! Wahai ayah! Dan jangan sesekali memanggil dengan menyebut nama mereka."

Apabila dikenang kembali waktu kecil, hatiku sering memberontak lantaran rasa kebebasan diri disekat. Tidak seperti orang lain yang mudah memperoleh apa saja yang diinginkan. Namun, kini aku sedari bahawa tindakanmu ibu, bukan untuk menyakiti diriku, bukan juga untuk mendera. Jauh sekali untuk membalas dendam terhadap apa yang pernah ibu rasakan.

Tindakan itu untuk mendidik diriku menjadi seorang insan yang bakal berjuang untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Terima kasih ibu, ayah.Namun ibu, aku berduka cita melihatkan fenomena dunia kini.
Tamadun manusia semakin meningkat, kemajuan di sana sini, namun hakikatnya jiwa dan rohani mereka kian mundur. Demi mengejar kemajuan kebendaan dan mengagungkan nafsu menyesatkan, mereka sanggup mengetepikan arahan Tuhan.

Bukankah Dia Yang Maha Mulia memerintahkan agar sekalian manusia berlaku ihsan terhadap ibu bapanya yang bersusah payah melahir dan membesarkannya? Bukankah Dia memberi amaran keras terhadap mereka yang mengabaikan kedua-dua ibu bapanya? Lupakah mereka pada kisah Alqamah, sahabat Rasulullah yang menghadapi kesulitan untuk mengucap syahadah ketika ajal menjemput lantaran mengutamakan isteri melebihi ibunya?Apakah manusia tidak ingin mengambil iktibar terhadap kisah pemuda yang diselamatkan Allah daripada terperangkap dalam gua hanya kerana bakti dan pengorbanan terhadap kedua-dua orang tuanya?
Adakah mereka sangka bahawa mereka dapat membalasnya dengan nilaian wang dan harta?

Duhai ibu, semoga Allah melindungi diriku daripada bersifat sebegitu. Ibu, sampaikan salam hormatku buat sekalian sahabatmu. Anakmu yang kerdil ini mendoakan agar ibu sekalian dikurniakan ketabahan seperti tabahnya Maryam, ibu Nabi Isa. Allah memilihnya untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah sebagai seorang ibu, meskipun tanpa kehadiran suami. Begitu juga kepahitan yang dirasakan oleh bonda Rasulullah, Aminah binti Abdul Wahab ketika dibawa berita gembira mengandungkan Baginda, suami tercinta pula dipanggil mengadap Yang Esa. Ketabahan dan keutuhan peribadi mereka akhirnya melahirkan peribadi unggul, insan pilihan yang membawa manusia kepada Penciptanya.

Ibu tercinta, anakanda memohon keampunan atas segala kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan selama ini dalam sedar atau tidak. Ketahuilah ibu, sesungguhnya anakmu ini tidak ingin melukai hati suci ibu. Anakanda tidak ingin menjadi seorang anak derhaka. Ibu, anakanda akan berusaha menjadi seorang anak terbaik buat ibu dan ayah, contoh cemerlang buat keluarga. Doakan anakmu ini berjaya mencapai cita-cita, dan menjadi penyejuk hati kedua-dua ibu dan ayah. Sebelum berundur, dari jauh anakanda titipkan petikan kata-kata nasyid ini buat mu.Ibu...Bergenang air mataku.

Terbayang wajahmu yang redup sayu. Restumu dan kasihmu kuharapkan kerana di situ letak syurgaku.Ibu...Kau ampunilah dosaku. Andainya ku pernah menghiris hatimu Kasihanilah Wahai Tuhan…Ibu yang telah melahirkan diriku. Dengan kepayahan sewaktu kecilku. Moga bahagiamu di dunia dan di akhirat sana...





Thursday, August 28, 2008

Andai Ini Ramadhanku Yang Terakhir

Marhaban Ya Ramadhan oleh Ar-Royan



Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi


Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir kali
Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian...adalah sesuatu yang pasti.....

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
"a'la bizikrallahi tat mainnal qulub"
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu...
Kepada-NYA Tuhanku yang satu...


Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai...
Sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil...
Menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]


Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang...bakal ku syairkan


Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu aku sibukkan dengan
Berterawih...
Berqiamullail...
Bertahajjud...
Mengadu...
Merintih...
Meminta belas kasih....
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MUtapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Oleh itu duhai Ilahi...
Kasihanilah daku hamba-MU yang...
Hina..
Dhaif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yg dirindui oleh nabi dan sahabatNya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di ramadhan ini..


ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR………

Ramadhan Yang Merdeka




'Allahumma baariklana fi rajaba, wa sya'abana, wa balighna fi Ramadhan'

Alhamdulillah, setinggi -tinggi kesyukuran mari sama-sama kita rafa'kan kepada Sang Pencipta yang sehingga kini masih lagi membuka ruang dan peluang buat kita meniti saat-saat akhir sebelum menjejakkan kaki ke Ramadhan yang Mulia. Ucapan terima kasih sekali lagi kita sembahkan pada Pemilik Agung Alam Semesta yang Maha Kasih pada hamba-hambanya, sehingga saat ini kita dilimpahi dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga.


Ramadhan vs Merdeka


Balai cerap seluruh negara akan menjalankan tugas masing-masing bagi menentukan tarikh 1 Ramadhan 1429 H yang dijangka jatuh pada 1 September 2008, Isnin depan. Namun persoalan yang ingin dilontarkan untuk percambahan minda bersama, sejauh mana persiapan ke arah memasuki bulan yang mulia ini telah kita persiapkan pada diri kita. Para sahabat didikan Nabi Muhammad s. a. w. yang tidak lekang dari bibir mereka kalimah zikir pada Allah, tidak melepaskan peluang 6 bulan sebelum Ramadhan dijadikan waktu untuk mensucikan diri dan membersihkan hati dari segala kotoran duniawi sebelum menyambut kehadiran bulan yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Mungkin itu persoalan biasa yang dilemparkan kepada kita selaku insan awam yang kerap leka dan lalai untuk mengabdikan diri padaNya. Masalah kedua pula yang timbul adalah kehadiran Ramadhan kali ini bakal disambut secara besar-besaran oleh seluruh pelusuk masyarakat Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, agama dan bangsa.

Tidak salah untuk masyarakat beragama lain meraikan kedatangan Ramadhan yang suci ini, tetapi apa yang dibimbangi dan menghantui penulis sehingga kini adalah sambutan secara besar-besaran yang bakal diadakan ini bukanlah untuk Ramadhan tetapi tarikh penting dalam negara iaitu Hari Kemerdekaan.

Saya bukanlah rakyat Malaysia yang anti-nasionalisme, bukan juga mereka yang tidak berjiwa merdeka dan jauh sekali untuk dikatakan sebagai makhluk jumud, malah prinsip dan etika hidup mengajar saya untuk menghayati bagaimana untuk mendalami erti kemerdekaan yang sebenar.

Saban tahun kita saksikan masyarakat Malaysia yang mengisytiharkan diri mereka 'merdeka' menyambut Hari Kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah menodai nilai kemerdekaan yang ada pada tarikh bersejarah itu.

Malam 31 Ogos sering kali menjadi tarikh penting untuk muda mudi berpesta dan bersuka ria berlatar belakangkan persembahan konsert daripada artis-artis yang berpakej menyimpang dari norma kehidupan sebagai seorang warganegara Malaysia yang merdeka. Penganjuran program sambutan kemerdekaan yang berwajahkan aktiviti yang tidak menghargai penat lelah pejuang-pejuang kemerdekaan sering kali mendapat kutukan dan hamburan sinis dari sesetengah pihak yang ada nilai kesedaran dalam diri mereka, namun teguran dan nasihat sebegini dijadikan bahan gelak tawa mereka bahkan ada yang melabelkan nasihat tersebut sebagai 'musuh negara'.

Terang lagi bersuluh perkara yang sama bakal kita hadapi hanya beberapa hari yang akan mendatang. Sambutan ini bukan hanya mendapat penganjuran besar-besaran diperingkat nasional, malah sehingga peringkat akar umbi termasuk kampus-kampus yang menjadi kilang pemimpin masa depan turut dididik dengan budaya merosak dan menghina nilai kemerdekaan negara.

Selingan doa selamat dan nyanyian patriotik lagu-lagu kebangsaan sudah cukup untuk mengaburi mata rakyat dalam menyatakan pemimpin-pemimpin negara kita pemimpin yang berjiwa merdeka, sedangkan terlalu banyak aktiviti yang dijalankan telah menodai kesucian sebuah kemerdekaan. Inilah dia gambaran sebenar senario politik negara yang menjual maruah negara tanpa kita sedari walhal minda dan akhlak kita sedang dijajah oleh agenda Yahudi laknatullah.

Paling menyentuh hati dan membuatkan iman meronta apabila memikirkan persoalan 'Merdeka' yang bakal diasimilasikan bersama kehangatan sambutan 'Ramadhan'. Mungkin ada dikalangan mereka yang beragama Islam seperti yang tercatat di atas kad pengenalan mereka, sedang sibuk membantu menghiasi suasana untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuhnya sehari sebelum kehadiran Ramadhan.

Saya amat pasti dan yakin ada di antara mereka tidak langsung mempersiapkan diri untuk bersama-sama dgn Ramadhan, bahkan boleh dikatakan ada yang tidak sedar pun akan bahang dan kehangatannya merapati kita. Sungguh malang jadi orang Islam. Hal ini terbukti dan jelas berlaku dihadapan saya sendiri apabila seorang insan bergelar 'mahasiswa' terpinga-pinga dan membilang hari apabila saya nyatakan padanya kita akan berpuasa Isnin depan. Malang yang berganda.


Ramadhan Yang Merdeka


Mujur masih ramai di kalangan ummat Islam di Malaysia hari ini diberi sentuhan hidayah dari Allah untuk merasai bayu Ramadhan yang bakal menjelma ini. Mengapa saya tajukkan artikel ini sebagai Ramadhan yang merdeka? Apakah ia membawa erti seperti kupasan saya sebentar tadi proses mengasimilasikan kehadiran Ramadhan bersama Hari Kemerdekaan??

Jauh panggang dari api. Sebenarnya ada dua pengertian secara pandangan peribadi terhadap ungkapan ini. Kedua-duanya mungkin membawa makna yang berbeza tapi tujuannya tetap sama.

Yang pertama 'Ramadhan Yang Merdeka' ini, suka untuk saya ertikan sebagai suatu platform kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini untuk sama-sama kita merdekakan diri sendiri dari dibelenggu segala macam kekusutan duniawi sebelum kaki melangkah memasuki rumah Ramadhan yang mendatang. Kalau selama ini kita bergelumang dengan sampah maksiat, ambil peluang yang ada untuk memohon taubat dari Allah mensucikan diri dan hati. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui dapat kita kecapi kemanisannya dengan penuh penghayatan dalam keadaan diri yang telah disucikan.

'Ramadhan Yang Merdeka' ini juga sebenarnya membawa suatu makna tersirat yang signifikan. Pada hemat saya ia menjelaskan pada kita betapa kasihnya Allah pada hambanya dengan menyediakan satu bulan tarbiyyah sebagai medan untuk kita service kembali iman serta menjadikannya ia bekalan taqwa untuk kita tempuhi 11 bulan yang akan datang dalam keadaan diri kita merdeka dan bersih dari segala dosa dan noda. Graduan yang berjaya dengan cemerlang hasil didikan University of Ramadhan ini akan merasakan diri mereka merdeka daripada dibelenggu hasutan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa mencari ruang untuk melalaikan kita.


Kata Akhir

Sebagai menggulung daripada apa yang terlintas di hati untuk dibincangkan bersama ini, marilah sama-sama kita hayati erti kemerdekaan sebenar dalam fasa menyambut tetamu Shahru Ramadhan yang didalamnya memiliki seribu satu nikmat dan rahmat dari Allah bagi mereka yang tahu menilainya. Selaku umat Islam yang bertamadun dan merdeka, seharusnya kita menjuarai persoalan sikap, akhlak dan etika dalam apa jua bidang kerana kita dibekalkan manual kehidupan yang cukup agung iaitu Al-Quranul Karim, Kalamullah.

Justeru jadikan kemerdekaan kali ini sebagai platform awal untuk kita berubah dan merubah ke arah suatu yang lebih synergic untuk membangunkan ummat Islam. Apa salahnya kita jadikan solat hajat dan juga munajat kepada Allah sebagai hiburan kita sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita dan juga ketibaan Ramadhan. Semoga usaha kita mencegah diri kita dan saudara muslim kita yang lain dari melakukan kemaksiatan kepada Allah diawal-awal Ramadhan ini bakal mendapat ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.

Sunday, August 24, 2008

UMAT HILANG DUA KENIKMATAN SELEPAS RAMADHAN...

SEMINGGU lagi Ramadan akan beransur pergi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian, keadaan ini belum tentu kita akan temui lagi tahun depan.

Sementara kita masih ada peluang yang hanya beberapa hari ini, kita hirup udara malamnya. Kita sedut udara sahurnya. Kita kini sedang berada pada hari perpisahan yang sangat memilukan. Perpisahan dengan bulan mulia yang hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk." (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Bagaimana dengan kualiti ibadat solat tarawih yang sudah kita lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, bermakna kita akan kehilangan pahala solat tarawih satu malam suntuk.

Jika salafushalih, selama sebulan Ramadan ini berlumba-lumba membanyakkan membaca al-Quran, Malaikat Jibril memperdengarkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, Usman bin Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, Imam Asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat, bagaimana dengan ibadat membaca al-Quran yang kita lakukan?

Apabila Ramadan berlalu, bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperoleh keberkatan sangat istimewa daripada membaca al-Quran pada bulan mulia ini.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita terlepas kesempatan tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan detik perpisahan ini. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan, kita kejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Demi perpisahan ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya"...

LIMA ASAS PENTING JIWA REMAJA MERDEKA....


PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.



Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting, pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.






Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.

Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.

Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: "Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...." (An-Nisa': 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.

Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.

Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.

Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.

Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.

Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang soleh dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.

Sunday, August 17, 2008

MUNAJAT PERJUANGAN.....

Allahumma ya Allah
Ridhailah kami
yang berada dalam naungan perjuangan-Mu ini
terimalah amal ibadah kami
jadikanlah perbuatan-perbuaan di tempat ini Kau Redhai

Allahumma YaAllah
berikanlah barakah dalam perjuangan kami ini
agar sentiasa mendapatkan hidayah dan inayah-Mu
sentiasa dalam iman
senantiasa hidup dalam islam
sentiasa hidup dalam ihsan

Ya Allah bimbing kami
agar mampu menjaga amanah-Mu yang mulia ini
Hindari kami dari fitnah
Hindari kami dari cubaan-cubaan
yang tidak ampu kami tanggung
Hindari kami dari beban
yang tidak mampu dipikul

Ya ALLAH
NABI MUHAMMAD-Mu pernah berkata: Ikutilah Jejakku
13 tahun baginda berjuang di kota Makkah
Menghadapi kaum Quraisy
10 tahun ia berjuang di Madinah
Melewati masa-masa yang berat dan penuh tentangan

Ya Allah
Berikanlah kami kekuatan mengikuti ajakannya
Berilah kami kemampuan untuk mengikuti jejaknya
Baru sedikit waktu kami dalam perjuangan
Namun terasa berat perjuangan ini
Baru sedikit langkah kami
namun terasa panjang perjalanan ini
Air mata bercucuran mengingat semua ini
Kami mohon perlindungan dan kekuatan ya Rahim
Selawat dan salam untuk Rasulullah imam mujahideen

Ya Allah kabulkanlah doa kami
Ajarkan kami redha dan ikhlas
Jadikanla hati kami hanya dipenuhi cinta kepada-Mu
Mencari kurnia-Mu dan mencari Rahmat-Mu

Allahumma Ya Allah
Hari esok hari kami berjuang kembali
kami akan melangkah Ya Allah
Jangan eENGKAU goyahkan hati ini
Jangan ENGKAU cabut iman kami
Jangan ENGKAU cabut keyakinan ini

Ya Allah
tambahkanlah keimanan di dalam hati kami
Tambahkanah keyakinan di hati kami Ya Allah
Teguhkanlah hati kami
teguhkanlah diri kami
agar kami mampu tegak berdiri dengan gagah
membawa panji-panji-Mu

Ya Allah
lindungilah kami dengan nur-Mu
di depan dan dibelakang kami
di atas dan di bawah kami
Berikanlah kami cahaya Ya Allah
Ya Allah kami tidak tahu akan berapa lama lagi kami berjuang
kerana engkau akan mematikan kami dengan tiba-tiba
tanpa kami ketahui

Ya Allah
apabla Engkau mematikan kami esok
matikanlah ami dalam khusnul khatimah
Pabila engkau mematikan kam tahun depan
Maka matikanlah kami dengan rasa rindu pada-Mu

Ya Allah
Datangkanlah orang -orang
yang akan melanjutkan perjuangan ini
orang-orang yang tawadu'
orang-orang yang ikhlas
orang-orang yang telah diberi oleh-Mu ilmu

Ya Allah
kami hanya mempunyai waktu yang sedikit lagi
di muka bumi ini
mungkin tidak sepuluh tahun
atau bahkan kurang dari satu tahun
tapi kami minta YA RAHMAN
agar sisa hidup yang ENGKAU berikan kepada kami
menjadi amal ibadah
untuk memuliakan engkau YA ALLAH
untuk mengabdikan diri pada engkau
untuk mengagungkan Nabi Muhammad-Mu
untuk mengagungkan para Rasul- MU

YA ALLA
berikanlah kami
iman yang teguh
islam yang kaffah
ihan yang kaffah

Duhai ALLAH
Kabulkanla doa dan permintaan kami
Sesungguhnya kami hanya mempu berdoa
kerana kami tidak memiliki apa-apa

YA ALLAH
Jadikanlah kami
generasi membanggakan MUHAMMAD
Siramilah seluruh persada dunia
dengan kalimah LAAILAHAILLALLAH...
tanamilah bibit-bibit cinta pada nabi-MU MUHAMMAD
di setiap penjuru
tidak ada suatu tempat kecuali menyebut LAAILAHAILLALLAH

penuhilah dada kami dengen keyakinan
kami ingin memiliki satu keyakinan
seperti keyakinan Nabi Musa
yang tersungkur di bukit THURSINA
seperti keyakinan Nabi Ibrahim
ketika dibakar dalam api yang menyala-nyala
seperti keyakinan RASULULLAH
yang tersungkur di GUA HIRA'

Tambahkanlah keyakinan bulat di dalam dada kami
keyakinan yang lebih kukuh
hingga kaki kami patah
tangan kami patah
kepala kami pecah
tulang belulang kami remuk
semuanya remuk
dihina dicerca demi menegakkan yang haq

tapi YA ALAH
janganlah engkau remukkan keyakinan kami
keyakinan engkaulah RABBULA'LAMIN
RAJA LANGIT DAN BUMI

perjuangan kami ini bukan perjuagan peribadi
kerana kami tidak mempunya apa-apa
perjuangan ini bukan kehendak kami
kerana kami tidak punya lagi
kehendak terhadap dunia
pejuangan ini adaah kehendak MU
kerana semua kehendak kemuliaan adalah milik-MU
oleh itu kami mohon
warisi cahaya keyakinan di dalam hati kami
cahaya yang gemerap
cahaya yang kemilau
cahaya yang datang
kemudian masuk ke dalam rongga dada
cahaya yang akan bersnar di dalam diri kami cahaya yang akan membimbing kami
dalam perjuangan ini

YA ALLAH
jangan biarkan rasa sakit menghentikan kami
jangan biarkan kepedihan menghentikan langkah kami
jangan biarkan apapun menghentikan langkah kami

YA RAHMAN
maafkanlah kami
kami tidak mampu menjadi
anak yang soleh dan solehah kepada umi dan aby
dan tidak mempu menjaga kebajikan emak dan abah
serta menjadi anak
yang memberi kasih sayanng kepada keluarga
kerana memenuhi tuntutan dan panggilanMU
kami serahkan mereka kepadaMU

YA ALLAH
kami sedekahkan apa yang kami perolehi
sepanjang di jalan perjangan ini kepada
emak dan abah yang kami rindui...
sebagai tebusan daripada bakaran api neraka jahanam!

kelak apabila kami mati
kami tidak akan menyesal
bahawa kami pernah hidup
kelak apabila kami mati
kami tidak pernah menyesal
dengan waktu-waktu yang kami lalui
kami akan beristireha selama-lamanya
kami ingin bertemu dengan MU
kami rindu untuk berjumpa dengan Rasullullah
dan nabi-nabi-MU

INILAH CITA-CITA KAMI
INILAH MATLAMA HIDUP KAMI
INILAH IMPIAN KAMI
INILAH PERJUANAGAN KAMI...



PERKENANKANLAH YA WADUD,...

MUHASABAH SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Sesungguhnya puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu syiar yang menyatukan kaum muslimin. Ini mengingatkan mereka bahawa Rab mereka adalah satu, deen mereka satu, kiblat mereka satu, dan tujuan mereka juga satu. Lebih daripada itu, Ramadhan membuktikan bahawa mereka adalah umat yang satu, berbeza daripada umat manusia yang lain. Ia juga mengingatkan mereka bahawa umat yang berselerak ini tidak boleh kekal dalam perpecahan menjadi lebih dari 50 buah negara boneka yang kecil. Mereka juga tidak boleh kekal tanpa Khilafah yang menyatukan mereka, serta tidak boleh terus-menerus hidup tanpa penerapan syariat Islam yang menjadikan mereka kuat dan mulia.

Dengan datangnya bulan Ramadhan yang diberkati, sepatutnya kaum Muslimin berfikir sejenak sebagaimana yang dilakukan setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan dengan melakukan pembaikan diri (muhasabah) dan pengkajian. Perbaikilah diri kita sebelum kita dihisab oleh Allah Subhanahu wa Taala. Apakah jasa dan sumbangan yang telah kita berikan terhadap Islam sehingga saat ini? Adakah kita telah berusaha menghidupkan semula hukum-hukum Islam yang telah hilang? Adakah kita telah mematikan bid’ah dan menghidupkan sunnah? Adakah kita telah melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar? Adakah kita turut serta dalam mengembangkan dakwah Islam serta menggabungkan diri dalam aktiviti-aktiviti untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah? Atau adakah kita hanya redha dengan keadaan yang ada dan berdiam diri dengan sistem kufur yang diamalkan? Dan adakah kita langsung tidak mahu terlibat dengan aktiviti-aktiviti untuk menerapkan syariat Islam, sebaliknya pasrah hidup di bawah syariat (hukum) kufur?

Umat Islam pada ketika ini ditekan dan dizalimi dengan lebih dahsyat jika dibandingkan dengan waktu-waktu sebelum ini. Pada masa yang sama, umat Islam merasakan seolah-olah sudah tidak ada sesiapa pun yang dapat melepaskan diri mereka daripada keburukan yang menimpa selain Allah Subhanahu Wa Taala. Umat merasakan bahawa kini semua pihak telah datang mengerumuninya dengan rakus, merobek dan memakan dagingnya. Hal ini telah dikhuatiri dan disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabdanya:

“Kelak bangsa-bangsa lain akan datang mengerumuni kalian sebagaimana orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan”. [HR Abu Daud daripada Tsauban].

Setelah memuhasabah diri, kaum Muslimin wajib mengkaji keadaan mereka pada saat ini lalu membandingkannya dengan keadaan yang mereka alami pada Ramadhan yang sebelumnya, iaitu mengkaji perkara-perkara yang menguatkan dan yang melemahkan diri mereka. Mereka hendaklah memahami unsur-unsur yang mampu meninggikan, memuliakan dan membangkitkan diri mereka serta mendorong ke arah cita-cita bahawa pertolongan Allah itu adalah dekat. Di samping itu menjauhkan diri daripada unsur-unsur kemunduran, kehinaan dan ketinggalan yang boleh melambatkan sampainya pada keberhasilan, bahkan yang boleh menjadi penghalang kepada jalan kejayaan. Umat wajib meneliti sebab-sebab tersebut sehingga mereka dapat menghindari perkara-perkara yang melemahkan atau yang menghina diri mereka atau yang dapat menghalang datangnya pertolongan Allah ke atas mereka, lalu mengambil sebab-sebab yang dapat menguatkan, meninggikan dan memuliakan mereka.


Bertaqwa Kepada Allah

Allah telah mewajibkan kita berpuasa agar kita menjadi hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu Wa Taala:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (TMQ al-Baqarah [2]:183).

Allah telah menentukan hikmah bagi orang yang berpuasa iaitu ‘taqwa’. Taqwa seperti yang didefinisikan oleh sebahagian Salafus Sâlih adalah: ‘Takut kepada Allah Yang Maha Agung (al Jalîl), menerapkan wahyu yang diturunkan (at Tanzîl), dan mempersiapkan diri terhadap hari keberangkatan/kematian (ar Rahîl). Takut kepada Allah mampu menjadikan seseorang individu

itu dekat kepada Allah dan tunduk kepadaNya. Ia diselimuti oleh suasana penuh keimanan yang kuat. Ketahuilah bahawa peperangan terbesar yang pertama di dalam Islam adalah perang Badar yang ditempuhi oleh kaum Muslimin pada bulan Ramadhan ketika perasaan mereka diliputi oleh taqarrub (dekat) kepada Allah. Berkenaan dengan hal ini, Allah telah berfirman:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (TMQ al-Baqarah [2]: 216).

Akan tetapi para sahabat radhiallahu anhum telah memikul beban yang berat itu dengan rasa tenang dan gembira. Dalam hal ini para sahabat radhiallahu anhum merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Mereka adalah generasi terbaik daripada umat terbaik yang diturunkan untuk seluruh manusia. Puasa mereka sedikitpun tidak menghalang untuk menjalankan kewajiban-kewajiban lain yang lebih berat, seperti berperang dan perbuatan-perbuatan berat lagi mulia yang lain. Bahkan perkara-perkara tersebut semakin mendekatkan diri mereka kepada Allah dan menambahkan lagi dorongan pada diri mereka untuk berkorban, baik harta ataupun nyawa. Sejarah telah mencatatkan bahawa perang Badar Kubra terjadi pada bulan Ramadhan. Begitu juga dengan penaklukkan kota Makkah al-Mukarramah yang juga terjadi di bulan yang diberkati ini.

Para sahabat memahami bahawa Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan ke atas kaum Muslimin serta menjadikannya sebagai bulan untuk berlumba-lumba melakukan amal kebaikan dan amal soleh. Mereka sangat berpegang teguh dengan sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam:

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah membukakan (dan menurunkan) untuk kalian rahmat, mengosongkan (menghapuskan) kesalahan-kesalahan, mengabulkan doa. Allah subhanahu wa taala melihat persaingan antara kalian dan para Malaikat menyenangi kalian. Allah akan menyirami kalian dengan kebaikan. Dan sesungguhnya celakalah bagi sesiapa yang telah diharamkan ke atasnya rahmat Allah ‘azza wa jalla. [HR Thabrani daripada Ubadah bin Shamit].

Itulah yang diraih oleh orang-orang yang bertakwa daripada generasi salaf umat ini, yakni berupa keagungan dan kemuliaan daripada Allah ke atas amal-amal mereka. Hal ini telah termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ketahuilah bahawa pertolongan/kemenangan yang Allah janjikan kepada mereka terjadi di bulan Ramadhan dan ia merupakan kemenangan/pertolongan yang paling besar iaitu penaklukkan kota Makkah. Itulah yang diberitakan oleh Allah di dalam kitabNya yang mulia:


“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu melihat manusia memasuki deen Allah dengan berbondong-bondong”.
(TMQ an-Nashr [110]: 1-2).

Dan firmanNya lagi: “Dan Allah menolong kamu terhadap mereka serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. (TMQ at-Taubah [9]: 14).

Demikianlah hal ini telah menunjukkan pengajaran bahawa Allah Subhahu Wa Taala akan menolong orang-orang yang menolongNya, yakni Dia menolong orang-orang yang berpegang teguh kepada deenNya.


Turunnya al-Quran

Allah Subhanu Wa Taala telah menurunkan al-Quran di bulan Ramadhan. Allah memberi petunjuk melalui al-Quran tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengikutinya, dan menyesatkan sesiapa sahaja yang menyimpang daripadanya. Di dalam al-Quran itu terdapat petunjuk dan penjelasan kepada petunjuk (berisi keterangan-keterangan tentang hukum), dan juga sebagai pembeza (antara haq dan batil). Allah berfirman:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan tentang petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)”. (TMQ al-Baqarah [2]: 185).

Lebih daripada itu, Allah juga telah menjelaskan tentang segala sesuatu sehingga tidak ada satu masalah pun kecuali ada hukum yang menjelaskan berkenaannya, walaupun masalah tersebut sentiasa muncul dan jenisnya bermacam-macam. Allah berfirman:


“Dan Kami turunkan kepadamu al-kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu”.
(TMQ an-Nahl [16]: 89).

Allah telah mensyariatkan Islam kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai satu-satunya agama yang benar, bukan seperti yang disangka oleh kaum kafir. Islam adalah deen yang mengatur hubungan manusia dengan Rabnya, yang mengatur hubungan dengan dirinya sendiri, dan yang mengatur hubungannya dengan sesama makhluk baik manusia mahupun makhluk-makhluk yang lain. Aktiviti menerapkan wahyu yang diturunkan oleh Allah termasuklah penerapan hukum-hukum syariat (Islam) secara total di pelbagai aspek kehidupan manusia, baik secara individu, berkelompok mahupun bernegara dan ini merupakan penyebab hakiki untuk kemuliaan Islam serta kaum muslimin. Di dalam penerapan itulah terdapat keagungan dan kewibawaan mereka di hadapan musuh-musuhNya. Allah berfirman:


“Padahal kekuatan (kemuliaan) itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui”.(TMQal-Munafiqun[63]:8).

Sebaliknya, semakin jauhnya kaum muslimin daripada Islam dan hukum-hukumnya, itulah penyebab hakiki kelemahan mereka, kemunduran dan kenestapaan diri mereka. Firman Allah:

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” (TMQ Taha [20]: 124).

Sekarang kaum muslimin telah pun sedar bahawa Islam bukanlah semata-mata syiar-syiar ibadah ritual, tetapi ia merupakan deen yang sempurna. Ia merangkumi akidah, syariat, hukum, politik, dan risalah ke seluruh dunia. Berkenaan hal ini Allah subhanuwataalaberfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu deenmu, dan telah Aku cukupkan ke atasmu nikmatKu, dan Aku meredhai bagimu Islam sebagai deenmu”.(TMQal-Mâidah[5]:3).

Kaum muslimin juga telah sedar tentang kewajiban menegakan Khilafah yang akan menerapkan Islam secara total. Begitu juga kaum muslimin kini telah sedar bahawa kafir Barat telah membuat pelbagai tipu daya terhadap Islam serta hendak memadamkan cahayanya. Akan tetapi, merugilah usaha Barat dan seluruh kekufurannya itu kerana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (deen) Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain daripada menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan deen yang benar untuk dimenangkanNya ke atas segala deen (agama dan ideologi), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.(TMQat-Taubah[9]:32-33).

Semoga laknat Allah sentiasa menimpa golongan kuffar musuh-musuh Islam dan semoga pertolongan serta rahmatNya sentiasa tercurah ke atas golongan yang berusaha meninggikan agamaNya.
Amin ya Rabbal ‘alamin.

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Mahasiswa Pendidik Pencetus Revolusi

Dulu, Kini dan Selamanya...

Dulu, Kini dan Selamanya...

### salam ukhwah ###....

My Photo
Mujahideen
Dilahirkan pada 30 Ogos 1984, anak ke 2 dr 6 adik bradik. sekarang menuntut di Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam,program pendidikan moral. erm...stakat tu je kot :-) "kadangkala kite perlu menangis supaya kite sedar hidup ini bukan sekadar utk ketawa, namun, kite juga perlu ketawa, supaya kite sedar betapa bernilainya setitis air mata...."
View my complete profile

MUTIARA KATA

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah." - (Riwayat Muslim)

bicara siswa

Followers

Nasyid FM

Template by - Abdul Munir - 2008 - layout4all